Sunday, February 6, 2011

yang bakal tiba, harus bersedia...


Bismillahirrahmanirrahim...

Perkataan perkahwinan sering dikaitkan dengan kebahagiaan dan keindahan. Istilah raja sehari amat sinonim untuk pengantin baru yang menjejaki hari pertama alam rumahtangga. Ianya kelihatan begitu manis dan indah. Ya, perkahwinan itu indah jika kena pada letak tempatnya yang sebenar. Lurusnya peranan si suami dan isteri itulah yang menjamin indahnya sesebuah perkahwinan. Oleh itu, proses meluruskan peranan itu semestinya tidak berlaku dalam waktu yang singkat, sebaliknya memakan masa yang panjang dan juga memerlukan kekuatan hati yang tinggi. Malah tugas yang terpenting adalah mendidik diri memahami bahawa perkahwinan itu sebagai suatu ibadah kepada Allah


Proses meluruskan peranan ini bermula sebelum majlis perkahwinan itu lagi. Ia bermula pada diri individu yang akan berkahwin itu. Persediaan dari sudut rohani dan jasmani amat penting untuk menjamin keutuhan sesebuah perkahwinan. Itulah persediaan memperbaiki diri, sifat dan akhlaq. Malah perlu diberi perhatian juga adalah kemampuan individu tersebut untuk menunaikan tanggungjawab terhadap pasangannya. Kemampuan dari sudut ilmu pengetahuan, dan juga kewangan perlu dipertimbangkan sebaiknya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:


persiapan perkahwinan yang memerlukan bajet yang agak tinggi dan membazir haruslah dielakkan.

gambar hiasan.


Wahai para pemuda, barang siapa di antara kamu ada yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya berkahwin itu dapat, menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, sebab berpuasa itu sebagai benteng (dapat menahan nafsu)”

Setelah seseorang itu mempunyai kesediaan baik dari segi mental dan fizikal serta ilmu pengetahuan, maka proses pencarian calon yang sesuai adalah amat penting. Islam menggariskan beberapa panduan dalam pemilihan calon isteri dan juga suami. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah r.a. katanya; ”Wanita itu dikahwini kerana 4 perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya maka utamakanlah kerana agamanya nescaya engkau bahagia.” (Hadith Sahih Muslim.)


Dapat diperhatikan daripada hadith di atas bahawa pemilihan bakal suami dan isteri itu mestilah dilihat daripada sudut agamanya terlebih dulu, sebagai suatu keutamaan yang dijanjikan oleh Rasulullah nescaya akan mendapat kebahagiaan. Seterusnya barulah dilihat pada kecantikan, keturunan dan hartanya. Semua ini boleh diketahui dan dikenalpasti melalui proses risikan. Jika jelas istikharahnya, maka bermulalah apa yang disebutkan peminangan.

Keserasian antara dua insan yang bakal disatukan ini juga amat penting bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan sesebuah institusi perkahwinan. Oleh itu, Islam mensunatkan pertunangan sebagai tempoh untuk keserasian pasangan terbabit. Malah, mereka boleh saling kenal mengenali dengan lebih baik namun terjaga batasannya sepanjang tempoh ini. Tempoh pertunangan sebaiknya tidaklah terlalu panjang kerana dibimbangi akan membawa masalah yang tidak dijangka. Rasulullah bersabda : Diriwayatkan oleh Jabir daripada Rasulullah s.a.w

“ Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seseorang perempuan dan kamu berupaya melihatnya yang boleh mendorong kamu untuk menikahinya maka lakukanlah”.

Setelah pasangan terbabit mulai cenderung hatinya antara satu sama lain, maka eloklah disegerakan akadnya, iaitu perkahwinan. Rasulullah pernah bersabda

“ tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah” (riwayat Suyuti)

Saat ijab dan Kabul dilafazkan merupakan saat yang paling utama dalam sesebuah perkahwinan kerana ia adalah titik permulaan kehidupan yang baru dalam kehidupan pasangan terbabit. Malah itulah detik bahagia yang sukar dijelaskan oleh kata-kata. Detik peralihan tanggungjawab oleh seorang bapa kepada suami, detik seorang gadis mulai menggenggam tanggugjawab sebagai isteri dan detik ini akan diingati sepanjang hayatnya.

Perkahwinan yang bertujuan menjaga kesucian perhubungan manusia semestinya akan menghindarkan daripada fitnah. Oleh itu, Islam menganjurkan majlis walimah sebagai mengisytiharkan perkahwinan itu. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Aisyah katanya, Rasulullah bersabda bermaksud :

“Isytiharkan perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana.”

Hadith di atas membawa maksud bahawa perkahwinan itu perlu diisytiharkan bagi mengelakkan fitnah. Namun, majlis itu hendaklah menghindari pembaziran dan hiburan yang melalaikan serta perlulah mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Paluan rebana yang dimaksudkan disini bukanlah nyanyian ataupun bunyi-bunyian yang melampau tetapi lebih menjurus kepada hiburan yang selaras dengan syariat Islam seperti paluan kompang.


Allah S.W.T berfirman di dalam kitabNya :


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)


21. Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

(Ar-Ruum : 21)


Ayat di atas menerangkan secara jelas bahawa perkahwinan adalah salah satu daripada jalan sakinah yakni ketenangan yang diberikan Allah kepada hambaNya. Namun, jika diperhatikan situasi pada hari ini, berlaku peningkatan yang membimbangkan terhadap kes-kes penceraian dan sebagainya. Oleh itu, amatlah penting untuk setiap individu yang ingin melangkah ke gerbang perkahwinan untuk memahami konsep perkahwinan yang sebenarnya.


Setiap individu perlu jelas bahawa tugas utama manusia wujud di muka bumi ini adalah sebagai hamba dan khalifah Allah. Oleh itu, setiap hal yang ingin dilakukan mestilah berkaitan dengan matlamat utama kejadian manusia. Dalam hal perkahwinan, kita mestilah memandangnya sebagai satu medium ibadah dan dakwah yang secara langsung merupakan satu “hadiah” ketenangan yang Allah kurniakan kepada hambaNya. Demikian, permulaan kepada perkahwinan itu hendaklah di dasari sepenuhnya kepada syariat yang ditetapkan dengan mengetengahkan taqwa sebagai paksi utamanya.


Persediaan sebelum perkahwinan amatlah perlu terutamanya dari sudut ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan alam rumah tangga. Dari sudut sosialnya, perancangan kewangan juga amat penting bagi mengelakkan sebarang masalah kepada pasangan pengantin. Mereka yang faham dan jelas dengan kehendak agama pastinya akan mengadakan majlis dalam keadaan yang seadanya dan tidak membebankan diri mereka sendiri. Demikianlah sesebuah perkahwinan itu bakal menjadi taman sakinah yang akan membuahkan keluarga bahagia, insyaALLAH.


p/s: di edit daripada tugasan pendidikan kekeluargaan.


***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Ameen ya Rabbal ‘Alamin.

0 sahabat/iah: