Showing posts with label cinta. Show all posts
Showing posts with label cinta. Show all posts

Friday, June 28, 2013

Semoga~~


Assalamualaikum...

Dalam hidup ini, jika kita terlalu mengejar kesempurnaan, maka kita akan jadi seperti pengejar yang berlari terus. Tanpa ada penghujung yang pasti. Kita akan jadi seperti seorang yang terlalu haus dan terus mencari minuman terbaik, sempurna. Kehausan yang boleh menyebabkan kita hilang pertimbangan dan tenggelam dalam dunia sendiri. Ya, tenggelam.

Sedangkan manusia diciptakan dengan kelemahan juga kelebihan masing-masing. Dan untuk kesempurnaan, manusia tidak boleh bersendirian kerana DIA menetapkan hati manusia itu memerlukan pasangan. Jadi, jika kita mencari kesempurnaan pada pasangan, kit
a tak akan pernah jumpa. Dia tidak sempurna, kita tidak sempurna, namun dia ada kelebihannya dan kita ada kelebihan kita. Itulah yang menjadikan hidup ini sempurna dalan nada dan gaya ketenangan kita.


i made this by myself, hoping it will cherish.. happy teacher day. Moga ALLAG berikan yang terbaik dalam perjalanan hidup ini. Ameen.


Baiklah, moga Allah memberkati kalian yang telah menemui pasangan masing-masing, Moga Allah temukan kalian dengan yang terbaik buat yang belum bertemu, dan moga Allah gantikan yang lebih baik buat yang pernah kehilangan, serta moga DIA isikan hati yang pernah tercuri dengan rasa ketenangan dan kebahagian yang jauh lebih indah dari segalanya. Ameen

p/s: Pesanan penting untuk diriku sendiri.. moga bermanfaan jua buat yang lain.

************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Tuesday, August 23, 2011

Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbir~~~


Tolong jangan datang

Sekadar untukmenyakitkan,

Walau tanpa sedarmu.

Hingga aku sesak

Lantas kerap aku lari

Agar kau tidak kelihatan lagi..


Bunyian unggas malam mengamit pendengaranku untuk menjadi lebih peka. Cenggerik yang berbunyi, desir-desir angin yang menyapa, menjadikan hutan di malam hari tidaklah sesunyi mana. Namun iramanya tenang sekali berbanding keriuhan malam di desa. Kakiku semakin lemah, terasa menggigil dan kesejukan yang teramat. Penat sudah mulai menguasai hingga akhirnya sudah tidak lagi sedar dimana ku berdiri.


Siang harinya, wajah datuk menyapa pandangan pertamaku. Ya, agaknya semalam datuklah yang membawaku pulang. Berjalan di hutan rimba seperti itu adalah kemahiran datukku. Abah pernah bercerita bahawa datuk sangat mahir dengan selok belok hutan belantara di pergunungan ini. Nenek pula tak sudah-sudah mengetawakanku. Katanya sikit sahaja berjalan sudah penat, gelap sahaja sudah takut. Bagaimana mahu menempuh hidup tanpa kemewahan dan tanpa kesenangan suatu hari nanti?


Bisanya biar ketemu harimau dahulu, baru pengsan, ini ngak..laju aja jatuhnya sedar-sedar sudah ke tanah..” ujar nenek sambil tersenyum kepadaku. Aku hanya membalas senyum. Malu juga bila pengsan begitu, Nampak benar lemahnya.


Jatuh itu biasa. Kadang-kadang kita capet bangat, tapi jangan ajarin diri untuk lari, jangan biasain jatuh..nanti jadi habit..” Giliran datuk menyapaiku. Aku angguk-angguk.


Seperti itu juga jangan lari dari masalah, tiada yang susah, ttiada yang mudah..hadapinya baru bisa selesai” Datuk menambah tuturnya. Mukaku kelat. Ya, benar kata datuk itu. Aku rasa datuk dan nenek tahu kenapa aku tiba-tiba sahaja ingin bercuti di kampungg bersama mereka. Masalah! Pandai benar nenek dan datuk membaca hatiku. Mungkin mereka cuma tidak tahu masalah apa yang aku hadapi..


Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbirnya, sebab itu pergaulan harus dijagain, di teliti, terutamanya dengan anak laki-laki,” Aku tergamam, nenek membaca hatiku bagai buku.


Malam itu, nenek dan datuk bercerita lagi, pasal kehidupan, pasal dongengan, pasal ketaatan dan pasal pegangan. Kata mereka, Allah jadikan kita dengan hati, yang merupakan suatu kekuatan bagi kita. Namun kadang-kadang hati juga jadi kelemahan. Apatah lagi jika gagal mentadbirnya. Cuma anehnya, kadang-kadang kita mampu menawan hati orang lain, tetapi kita juga tidak mahu mentadbirnya. Maka timbullah masalah seperti apa yang sedang aku hadapi ini.

Jagain akhlaqnya, pergaulannya..” itu pesan terakhir nenek ketika menghantarku di perhentian teksi. Aku mahu pulang hari ini. Mahu menghadapi masalah supaya mampu untuk ku selesaikan.


Perasaanku pada seorang teman membuatku buntu. Hatiku sudah ditawannya, tetapi dia tidak mahu mentadbirnya. Sedang, aku sendiri sudah menawan hati orang lain tanpa sengaja. Dan bila dimaklumkan, aku melarikan diri juga kerana tidak mahu mentadbirnya. Salah aku atau siapa dalam hal seperti ini?


"Barisan yang paling baik bagi lelaki ialah yang paling hadapan sekali dan barisan yang paling tidak baik ialah yang di penghabisan (paling dekat dengan barisan wanita) dan barisan yang paling baik bagi wanita ialah yang paling belakang dan yang sebaliknya ialah yang hadapan (yang hampir belakang lelaki)."

(Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa'I, Ahmad)


Aku sebak. Mungkin pergaulanku selama ini yang telah menjeratku ke lembah ini. Aku yang sering tersenyum riang di depan mereka. Aku yang melayan mereka dengan sebaiknya, hingga mudah sekali perasaan itu tumbuh di dalam hati. Sama seperti dia yang melayanku begitu, aku menganggap dia juga selesa denganku. Tidak terduga tiba-tiba temanku pula menjadi pilihannya, dan dia pula menyampaikan hasrat teman yang lain kepadaku. Aku sakit. Hingga aku lari jauh ke pergunungan itu, bertemu datuk dan nenek, mencari ketenangan di rimba yang menghijau.

“Tidak salah lelaki dan perempuan saling bantu membantu, Allah sendiri mengatakan bahawa lelaki yang beriman dan perempuan beriman itu adalah pembantu antara satu sama lain. Namun, batasannya tetap perlu dijaga. Hati mudah tertawan dengan kebaikan, mudah terluka juga kerana mentadbirnya kadang-kala perlu lebih daripada seluruh tenaga yang ada..” Usrah petang itu mengetukku berkali-kali. Aku lemah terus! Tapi aku tetap ingin bangun!



Jika tersenyum,

Biarlah pada tempat dan waktunya

Kerana aku enggan lari lagi

Bila hati tertawan tanpa tadbiran

Juga enggan menyakiti hati yang kutawan tanpa sedar

Namun tak mampu pula kumentadbirnya

Andai sayang simpanlah

Jangan pamerkan pada yang tiada kelayakan

Cukup-cukuplah dosaku menadahkan keriangan pada kesilapan

Moga-moga Allah ampunkan,

Jadi pedoman pada masa depan

Dan ditemukan dengan insan pilihan…

Yang menawan hati dengan tadbirannya jua..




P/s : Dalam ibadah juga kita di ajar agar menjaga pergaulan sebaiknya, apatah lagi dalam kehidupan harian.

***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”


Sunday, July 31, 2011

Ramadhan menemani..

“Adik, bangun..dah subuh” Aku menggosok-gosok kaki adik. Adik bergerak-gerak sedikit sebelum membuka matanya. Lalu aku beredar pula kepada emak yang berada disudut bilik itu. Mak sudah bangun dan menunggu aku datang kepadanya. Aku mencapai bekas air di sudut bilik, perlahan-lahan, airnya ku tuang sedikit-sedikit ke dalam bekas yang sudah siap tertadah. Menyapu muka emak dan juga kedua tangannya. Lalu ku usap kepalanya dan juga kakinya ku jirus air. Selesai membantu emak berwudhuk, aku segera menyarungkan telekungnya. Emak seperti biasa, tenang sekali menunaikan kewajipannya sebagai hamba.



Kakak, cikgu dah bertanya pasal yuran yang adik minta haritu. Erm, boleh ke akak?” Adikku mengajukan soalannya lambat-lambat ketika bersarapan. Tanganku terhenti daripada menyodok nasi ke dalam termos. Kebiasaanku memasak semenjak pagi. Semua makanan ku simpan dalam termos dan ditempatkan berdekatan emak. Tengah hari nanti, jiranku Kak Latifah akan membantu untuk menyuap emak yang sedang terlantar sakit. Aku hanya sempat menyuap emak pada waktu pagi dan malam sahaja, kerana kerjaku yang sehari-harian. Adik pula, kadang-kala pulang lewat petang kerana sedang bertungkus lumus untuk menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.



InsyaALLAH, mungkin sehari dua lagi akak dapat gaji. Boleh ke bayar lewat sikit?” Aku memaniskan muka memandang adik. Adik angguk-angguk sambil tersenyum tawar. “Maaf ya kakak, kalau adik membebankan akak”, suaranya lirih kedengaran.


“Ish, apa pula macam tu, tak ada apalah adik. Adik tu belajar sungguh-sungguh! Pasal kosnya serahkan akak. InsyaALLAH rezeki Allah ada dimana-mana” Aku bersungguh-sungguh meyakinkan adik meski aku sendiri agak gusar mengenainya. Semenjak peristiwa kemalangan yang telah “merebut” ayah daripada kami dua tahun lalu, aku menggantikannya sebagai ketua keluarga. Emak yang turut sama terlibat dalam kemalangan itu, hanya terlantar tanpa mampu berbuat apa-apa. Mungkin inilah takdir yang telah ditentukan untuk kami. Dugaan hidup yang tiba-tiba terjadi. Mujur adik dapat segera menyesuaikan diri, walaupun pelajarannya agak terjejas, namun adik mampu segera bangkit semula daripada trauma itu.



Selepas menghantar adik ke sekolah, aku meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Rahmah, kawan sekerjaku sudah ada disana.


“Su,..hari ini kita dapat gaji Su!” Rahmah menjerit keriangan menyambut kedatanganku. Aku menghitung-hitung.


“Eh, kan sepatutnya lusa?” Aku menyoalnya kembali. Rahmah tersenyum kepadaku, “kau lupa? Kan dah nak puasa ni…Bos awalkan gaji untuk persediaan Ramadhan, temasuk bonus lagi!!” Subhanallah..hampir aku sebak. Ramadhan sudah nian bertamu rupanya.


Ramadhan, kuranglah sedikit belanja dapur, kecuali untuk emak yang sememangnya dilarang untuk berpuasa oleh doktor. Aku menghitung sendirian, jumlah bayaran fidyah yang perlu aku keluarkan untuk mengganti puasa emak. Hampir sama sahaja dengan bulan-bulan lain. Aku tidak mengeluh, sekurang-kurangnya hanya itulah baktiku yang termampu kulakukan untuk emak.




Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah, 2 : 183)


“Ramadhan adalah suatu hadiah yang Allah berikan kepada ummat nabi Muhammad. Dalamnya ada pelbagai ganjaran pahala. Siang dan malam, diberikan peluang ibadah dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ada kesihatan, ada keberkatan. Allah janjikan pintu-pintu syurga yang terbuka luas, dan pintu-pintu neraka ditutup. Subhanallah, Ramadhan adalah pesta ibadah kepada umat Islam” Ustaz Syauqi memberikan tazkirah Ramadhan pagi itu.



“Paling istimewa, puasa ini adalah ibadah yang khusus untuk ALLAH. Ia mengajar kita erti jujur dan ikhlas. Ia juga lambang keadilan dalam Islam! Orang kaya dan miskin sama-sama kena puasa, sama-sama berbuka dan bersahur pada waktu yang sama. Sama-sama dalam satu saf solat. Allah buka seluas-luasnya pintu rahmat untuk hambaNya tidak kira siapa dia, apa darjatnya,”


Petang itu sebelum balik aku dipanggil oleh Encik Hassan,majikanku yang asangat kuhormati. Dia sudah berumur, orangnya jujur dan baik sekali.



“Apa khabar Sumayyah hari ini? Ramadhan dah nak tiba, macam mana persiapan?” Encik Hassan menyapaku lembut. Isterinya Puan Hasnah turut bersamanya petang itu.



“Alhamdulillah sihat encik, persiapan biasa-biasa saja,” Aku membalas lembut sedikit lesu. Puan Hasnah tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.



“Sumayyah suka kalau ada yang memberi hadiah?” soalan Puan Hasnah membuatku berfikir. Aku angguk-angguk, erm, apakah maksudnya?



“Sepatutnya Su gembira dengan kehadiran Ramadhan, kerana ia adalah hadiah daripada ALLAH untuk kita” Ucapan itu menyentap hatiku. Arh, bukan aku tidak gembira, tapi semuanya seakan sama sahaja. Semenjak ayah tiada, sudah tiada bezanya hari-hari yang kami lalui. Aku tersenyum lembut.



“Untuk setiap hambaNya, Ramadhan adalah hadiah, rahmat dan keampunan daripada ALLAH. Ha, bulan inilah kita nak berpesta, mengejar cinta dan rahmat ALLAH, disamping menyampaikan cinta dan rindu buat insan yang dikasihi” tutur Puan Hasnah lembut menangkap hatiku.



“Menyampaikan cinta dan rindu untuk yang dikasihi?” Aku mengulang kata-katanya dalam bentuk persoalan. Pelik, jarang ku dengar perkara seperti ini. Puan Hasnah menganguk-angguk.


“Sampaikan rindu dan cinta kepada ibubapa, baik yang masih ada ataupun sudah tiada. Amal ibadah seorang anak yang solehah kan sampai kepada ibubapanya? Kita mengejar keampunan dan rahmat Allah pada bulan ini bukan sekadar untuk diri sendiri Sumayyah, bahkan juga untuk ibubapa kita. Bukankah doa anak yang soleh solehah itu sampai kepada ibubapanya? Nah, Ramadhan menggandakan semua yang kita lakukan pada hari-hari selainnya. Ia Rahmat untuk yang hidup dan juga yangtelah tiada.” Puan Hasnah tersenyum lembut memberikan penerangan. Hatiku hampir pecah mendengarkan kata-kata itu. Subhanallah, aku alpa ya ALLAH. Sejauhmanakah rupanya selama ini aku mengetahui dan mensyukuri keistimewaan Ramadhan yang ALLAH kurniakan kepadaku?



“Bukankah kita sepatutnya teruja menyambut Ramadhan? Ia ibarat tiket kepada kita untuk mencapai keredhaan ALLAH. Ha,itu sebagai anak, sebagai hamba dan ummat macam mana? Hidup tetap menuju kematian, nak menghadap ALLAH, nak bertemu Rasulullah. ALLAH beri kita hadiah, macam mana kita terima dan hargai terpulang kepada kita”. Encik Hassan yang mendengar sedari tadi menyampuk perbualan kami. Aku kelu. Allah…Allah, apa persediaanku menyambut Ramadhan?



Petang itu, adik menyambutku dengan penuh keriangan di depan pintu. Katanya, yuran sudah dibayar oleh seorang hamba ALLAH yang baik hati, tak tahulah siapa. Ada barang dapur yang disampaikan sebagai persediaan Ramadhan. Tapi bukan itu puncanya yang membuatkan adik terlalu gembira. Bila aku bertanya, adik menjawab dengan mudah, “Dapat hadiah dari ALLAH SWT” Aku terpana. Rupa-rupanya adik maksudkan Ramadhan. Katanya ustazahnya memberitahu bahawa Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan seribu satu keistimewaan daripada ALLAH. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.



“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)



Adik memberitahuku lagi, bahawa pada sahur itu ada keberkatannya, ada barakahnya.
“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.

(hadis Riwayat Ahmad)



Ustazahnya juga memberitahu bahawa setiap amalan orang yang berpuasa itu dikira berpahala.
"Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan"

(Riwayat Ibnu Mandah daripada Ibnu Umar al-Dailami)


“Ustazah kata, tujuan dan matlamat akhir hidup kita adalah kehidupan selepas kematian. Mati adalah kunci pintu menemui Allah, jadi ayah dan pergi jumpa ALLAH kan kakak? Cuma ustazah tanya, kalau nak jumpa ALLAH kita nak bawa apa? Setiap hari kita beribadah, tapi umur kita tak panjang macam umat nabi lain, jadi ALLAH berikan Ramadhan kepada kita, ada malam lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Kalau kita dapat, wah..bestnya, untung besar kita kat Akhirat!” Adik beria-ia bercerita. Aku tersenyum.



Ramadhan bukan untuk orang kaya atau orang miskin, tapi untuk hamba ALLAH, umat Nabi Muhammad, ia ajar kita bersyukur apa yang kita ada. Puasa mengajar kita jadi lebih ikhlas atas segala kurniaan ALLAH” Akhirnya aku bersuara juga, dengan sebak di dada. Aku lihat adik angguk-angguk dan tersenyum. Kesempitan hidup hampir mematikan hatiku daripada melihat kurniaan ALLAH selama ini. Aku hampir kandas dalam kekuatan yang aku gagahi. Kini, kunjungan Ramadhan kali ini menjentik hatiku berkali-kali, aku terasa sepi itu mulai menghilang, Ramadhan sudah datang untuk menemani. Moga di Akhirat nanti puasa Ramadhan akan menemaniku lagi.



'"Aku melihat seorang laki-laki dari umatku terengah-engah kehausan, maka datanglah kepadanya puasa bulan Ramadhan lalu memberinya minum sampaikenyang "

(HR. At-Tirmidzi, Ad-Dailami dan Ath-Thabarani dalam Al-Mu'jam Al- Kabir dan hadits ini hasan).



***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Sunday, June 19, 2011

sacred? (I)


Mimpi dan angan-angan kerapkali buat kita bahagia

Bila memikirkannya, mengenangkannya

Impian kehidupan dan kejayaan

Kita berusaha bersunggguh-sungguh deminya

Ingin benar menggapainya demi bahagia.

Tapi entah bila

Akan datang suatu masa

Bila impian dan angan-angan itu gagal dikecapi

Dan kita miliki suatu yang lain

Kita masih lagi tetap BAHAGIA…

------------------------

tapi, kalau kita dah ada perasaan suka pada seseorang, maka esok kalau kita kahwin dengan orang lain, hati kita dah tak sacred lagi la kan..” ujarnya penuh kesedihan. Sambil mengesat airmata yang tadi turun bagai hujan lebat yang bisa membanjiri alam. Gadis itu antara yang terjebak dengan perasaan suka. Ya, cinta! Dia seorang yang menjaga hatinya. Tak sudi diberikan kepada sesiapa, malah perasaan itu disimpang senyap di sudut hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang tertentu sahaja. Malah, perasaan itu hadir sendiri dan selalu dia ingin membuangnya. Hingga malam itu, dia teruji..lalu di sudut gelap balkoni itu merembes basah hatinya di pangkuan seorang sahabat untuk bercerita.


Nurul diam tak menjawab. Tak sacred? Erm, adakah jika kita pernah suka pada seseorang maka hati kita sudah hilang sebahagian. Jika A pernah suka B, tapi berkahwin dengan C, maka adakah lubang kosong di hati A yang hilang untuk C? Nurul mengeluh perlahan-lahan. Apakah jawapan yang terbaik? Benarkah perkara ini adalah begitu?


***********************

Petang itu, Dira resah dan payah sekali. Fikirannya ligat berputar sedang perasaan bagaikan menggila. Ribut taufan apalah yang merempuh ketenangannya. Airmata sudah menjadi peneman setia. Berkurung dibilik jadi sebahagian rutinnya. Mak dan ayah sudah mula risau. sejak beberapa hari ini jamahan Dira kurang sekali. Payah benar nasi disuapi. Hanya asyik dengan menungan dan tangisan.


Dira memeluk al-Quran rapat kedadanya, mulutnya penuh dengan zikir sambil airmata terus mengalir. Keserabutan ini mengganggunya. Istikharahnya sudah berkali-kali. Dira masih mencari kebahagian untuk dirinya. Dimanakan ia bersembunyi? Betahkah dilalui ujian ini sehingga penghujung jalan kehidupan ini nanti.


Perhubungan perlu dijaga, jangan kita mendahului apa yang dihalalkan oleh Allah selagi mana ia tidak berlaku. Pertunangan tidak menghalalkan apa-apa, pergaulan, perhubungan tetap perlu dibataskan. Kita selalu tanya kenapa kita diuji..? kenapa aku? Kenapa aku yang diuji..? tapi pernah kita renung kembali apakah kita yang telah tersasar dari laluan yang sebenar? Melangkaui apa yang tak sepatutnya? Lalu Allah berikan peringatan melalui ujian…agar kita kembali sedar..”


Astagfirullah! Dira beristigfar berkali-kali. Mesej dari seorang senior bagai menyentak jiwanya yang beku. Kembali mencair dan insaf. Dira telah men”forward”kan semua mesej antara dirinya dengan tunangnya kepada senior itu untuk mendapatkan penyelesaian daripada masalah yang sedang berlaku antara mereka. Memohon pandangan dan nasihat, akhirnya kalam itu yang hadir. Berikan peringatan yang jujur dengan tegas mengingatkan bahawa perhubungannya sudah melepasi garisan yang sebenarnya.


Kita mahu Allah menjaga kita? Adakah sudah kita menjaga Allah? Ihfazillah, yahfazik! Dik, mohonlah pada Allah dan bermesyuaratlah dengan keluarga…pada syura itu Allah telah janjikan keberkatan..insyaALLAH ada jalan keluar untuk semua ini”


Malam itu penentuannya, tika cincin dihulurkan kembali. Dalam suram dan debar yang teramat sangat. Esak tangis terakhir. Dira telah pon membuat keputusan.


“maaflah pak cik kata, perempuan ni macam baju..bila baru orang naklah…dah buruk dia buang…tak payahlah nak balik-balik, malu….tak pa ada la rezeki kita yang lain” Senior hanya diam sambil tersenyum nipis tika kata-kata itu dilontar oleh seorang ayah yang masih menyesali kejadian yang menimpa anaknya. Biar pertunangan itu putus sekarang daripada masalah yang lebih besar pada kemudian hari.


Hari demi hari berlalu, Dira meneruskan kehidupannya seperti biasa. Walau agak susah untuk melepasi zon sengsara, namun diusahakan juga. Pengajian diteruskan. Bulan berganti tahun, kelihatan Dira semakin ceria dan semakin menggapai kejayaan. Ya, detik lalu adalah sejarah silam yang pedih. Hatinya kini bahagia dengan kehidupan. Benarlah…walau dulu pernah terisi dan pergi namun tiada sedikitpun lubang dihatinya. Penuh dengan kesyukuran pada menunjukkan kebenaran maka itulah yang menjemput bahagia. Dira tenang sekali kini.


*******************


Tak lah..” Nurul menjawab lembut.

“Siapa kata hati kita sudah tak sacred? Sebaliknya hati yang benar-benar dimiliki adalah hati yang menyentuh dan disentuh apa yang sudah dihalalkan. Buat yang menjaga hatinya…masakan Allah kurangkan kebahagiaannya? Lupakah…Ihfazillah, yahfazik…kamu jagalah Allah yakni menjaga syariatNya, hukumNya..maka Dia pasti menjaga kamu.

Bahagia bukan pada penuhnya keinginan, tapi ketenangan pada keperluan yang sudah dimiliki. Walau sedikit, cukup jika ada kesyukuran…itulah yang mengundang keberkatan….jadi, mana mungkin ia tak sacred….”


Malam itu, ada catatan baru pada diari cinta mereka. Bahawa cinta yang bahagia itu datang sebenar-benarnya dari Allah. Jika ditakdirkan benar dengan orang yang disukai..doakan agar bertemu dalam redha..jika ditakdirkan yang selainnya..maka percayalah itu yang terbaik buat seorang hamba yang menjaga-Nya, dan pasti diberikan juga penjagaan terbaik sekali. Jika bukan didunia..maka di syurga bertemu jua..InsyaALLAH! Jangan bimbang, pasti tiada apa yang terkurang!

------------------------

Bahagia adalah ketenangan

Yang hadir bila hati merasakan cukup

Pada keperluan yang seolah separuh

Bila perasaan sedamai bayu yang bertiup lembut

Meredhai sekeliling yang berlaku

Apa yang menimpa, apa yang diterima

Semua disyukuri

Bukti kasih Illahi cahaya menerangi hati

Ikhlas untuk kembali..

Sedang apa yang diimpikan,

Kadang-kadang hanya keinginan dan desakan kebanggaan

Yang meruntun jalan sehingga nafas menyesak..

Oh, patutlah mereka gembira

Walau kelihatan hanya memiliki separuh sahaja

Padahal hati mereka penuh

Dengan kesyukuran

yang menguntum BAHAGIA…


tasnim_nasuha,

16 Rejab 1432H / 17 Jun 2011: 12.46pm

Kolej 9 , UTMJB.


***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”