Showing posts with label ukhwah. Show all posts
Showing posts with label ukhwah. Show all posts

Tuesday, April 29, 2014

Kembali nanti



Sepi di sini,
membawa langkah dan hala tuju sendiri,

Kumpulan berpecah pecah
bukan kerana berbalah
tuntutan hidup lebih memberati

pergi,
sepi,
dan cari..

Cari semula kumpulan kamu,
bina kumpulan yang baru
nanti tika kembali bertemu
kumpulan kita semakin ramai
dan semakin bermutu..


^_^

"ALLAH knows Best!!"



************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Saturday, December 29, 2012

Hati itu..


I

Diam dan sunyi di rumah batu. Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar  tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika perasaan kuat, pasti dapat bertahan.

Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.

Dalam resah gelisah, rupanya banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah ketenangan hilang dengan mudah...

Atau sebenarnya, hati memberatkan pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu diteruskan.


II

Ketika tiba, benar, demam kebah dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu. Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara. 

Dan antara ubat yang terbayang mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan. Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.

Allah, dan diri ini masih lemah. Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah disetiap ujian yang menyapa. 

Merenung diri sahabat, terasa hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri. Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T


III

Maka, hari akan terus dilalui. Dan kekuatan dipohon lagi.

Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa kecilku
Lindungilah mereka dari ujian dunia
Dan berikanlah kepada mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam golongan yang mendapat redhaMU
Amen...

Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka dengan iman
Dan pimpinlah mereka menuju jalanMu yang lurus...

Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah dalam ujianMU
Redhailah mereka dan berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..


Dan, bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.


 




************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Sunday, September 30, 2012

Seiring Sehaluan



Merindui-Mu,
di ruang kamarku yang lengang,
hamparan nipis yang mengalasi
dengan irama alam
mengisi ruang minda

Siang semakin panjang
dengan malam semakin kehilangan
lelap dan lena
bagai tak terasa..

Sesungguhnya Allah meletakkan seseorang itu
ditempat yang kena pada kemampuan
kerana Dia tidak memberati
bahkan sentiasa menyayangi..

Dikeseorangan ini
aku masih pasti pada janji-MU rabbi
menunggu dengan yakin
kemenangan,
dan tegar terus diperjalanan..

Doaku agar rindu ini
sentiasa bertamu untuk menemani...

Ameen..



 p/s: always missing "ukhwah" between sahabah. Moga jadi pengubat rindu dan penawar sepanjang jalan dakwah ini. Ameen


*******************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Wednesday, December 15, 2010

Bingkisan dari seberang [review]


Pantai damai kami susuri,

Ombak bergelombang terus direntasi,

Awan biru menjadi saksi,

Sekumpulan remaja ini, pergi mencari erti..


Maha suci Allah, Tuhan yang menjadikan dan menciptakan alam, Pemilik segala kekuatan dan kemuliaan. Dialah Allah, Tuhan yang mengirimkan nikmat iman dan Islam..nikmat ukhwah dan kasih sayang…


Pagi itu, kami bangun awal. Bersiap awal, kelam kabut dinihari. Jam 6.30 pagi kami sudah rushing ke sana sini. Kami tahu ada yang sudah mula memunggah kelengkapan dan peralatan seawal subuh lagi. Entah, sukar dihurai keadaan pagi itu. Pagi permulaan? Tidak, permulaannya sudah sebulan lebih, mungkin hari penentuan? Tidak! Hari ini bukan untuk dihuraikan, Cuma hari itu kami bertolak pergi, baik dengan hati yang tenang, gelisah, resah, perit, tabah, luka atau kecewa…kami pergi dengan pasti. Tujuan jelas di hati.


Lebih kurang, malam itu kami lalui dengan penuh perasaan. Tepuk-tepuk gamat yang menggembirakan, tidak kurang pula yang tidak berperisa. Tapi senyumannya manis..betul..manislah! Kita tidak akan dapat melihat kemanisan itu jika hanya kekurangan yang kita cari. Jika terjumpa, amatilah dan berfikirlah…lalu kita perbaiki bersama. Jadi senyumlah! Ada kemanisan disebalik kekurangan.


Jari jemari menggenggam erat,

Persahabatan dihulur ukhwah diikat,

Ustaz dan ustazah sudahpun sepakat,

Kami ditinggal di Babun Najah mencari berkat..


angkatan ke Babun Najah


Petang itu kami (ditetapkan seramai 10 orang sahaja) disambut oleh ustaz dan santri di sana. Di susun kamarnya. Air tidak ada sekarang kata ustazah Ramadhani. Ia. Ini disebabkan elektriknya tiada, jadi generator yang berfungsi menjana air juga tidak bekerja. Ha,,,tarbiyyah, ada senyuman meleret dalam hati. “Lagi susah lagi baik”, kata-kata Dr Farah mengiringi setiap langkah. Ustazah ni, macam dah tahu ya!

Malam itu, sesi suai kenal diadakan. Lebih kurang hampir 500 orang santri disini. Khabarnya santriwati sahaja sudah mencecah 300 orang. Kami kaget juga. Lain beritanya lain keadaannya. ‘Ala kulli hal..Alhamdulillah. Time to learn! Selepas itu, sesi perbincangan dengan para ustaz/ahnya untuk aktiviti yang bakal diadakan. Pack juga ya! Kami senyum. Dalam hati, Ya Allah..ini benar-benar tarbiyyah untuk kami.


Subuh menjelang saat dinihari,

Jam 5 beduk berbunyi memanggil hari,

Santriwan dan santriwati khusyuk berdiri,

Suara imam syahdu membelai nafsi..


Banyak percaturan dirombak, aktiviti asal disemak. Kami tenang disana walaupun hakikatnya bimbang juga jika aktiviti yang kami lakukan tidak mencukupi untuk semua. Layanan untuk tetamu memang istimewa. Cuma elektriknya yang selalu tidak ada. Bergelap akhirnya jadi biasa. Khusyuk benar santriwatinya mendengar bicara kami. Enak berbual bersama mereka bagai ukhwah ini telah lama subur dibajai. Tak terlafaz kata bagaimana mengungkap perasaan tentang ukhwah dan ibrah disana, setiap detik dan masa yang dilalui. Kekaguman, takjub dan kepercayaan yang tinggi tanpa secalitpun keraguan antara satu sama lain.


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (١٠)

10. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


Hebat sekali kuasa ukhwah. Banyak yang kami pelajari disana, selain mengajari sedikit sahaja yang kami ada. Tragedi tsunami menggamit jiwa, ada yang sudi bercerita, ada yang tersekat rasa di kerongkong jiwa. Ibrahnya, setiap mukmin itu bersaudara. Dan setiap musibah itu pasti ada hikmahnya.


Jalan-jalan sore mengesan tsunami,

Diam tenang menyusuri pantai tragedi,

Baiturrahman dan Baiturrahim mengkalung pasti,

Bahawa Allah mengkota segala janji..


Di kapal Apung

Ustaz Arifin mengetuai JJS (jalan-jalan sore) petang itu, kami menyusur kesan tsunami. Perkuburan Massal, Kapal Apung, Masjid baiturrahim, pantai dan kawasan sekitar yang berkaitan dengan tragedi. Tak mudah untuk kami mempercayai kenyataan itu, tapi takdir Allah itu nyata sekali, bukan mudah untuk akal normal membayangkan keagunganNYA. Lalu dihantarkan secara jelas melalui sesuatu yang terjadi. SUBHANALLLAH… Malamnya, kami jalan-jalan lagi, angkatan ukhwah dari Madrasah Babun Najah ini meneruskan ekspedisi, merasai kopi Acheh tidak dilepaskan. Sampai bertemu sahabat dari pesantren darul Zahidin yang seramai 5 orang kerana telah berangkat pulang yang lima lagi. Tak terlepas, usik mengusik rindu walau baru berjauhan beberapa hari.


Bumi Acheh dijejaki sudah,

Iklim berbeza juga sedikit berubah,

Tidaklah kurang yang sakit dan lemah,

Membekas dijiwa akan nilai tarbiyyah,,,


Beberapa orang dari kami di Madrasah Babun Najah jatuh sakit. Agaknya cuaca, dan lebih lagi kepenatan yang agak tinggi semenjak sebelum tiba di sana lagi. Ramai yang berubah menjadi rock suaranya, yang demam sehingga kepanasan mencecah suhu seterika ( ^_^ ), dan macam-macam lagi. Tapi sejujurnya, jika ada ruang untuk pergi lagi..pasti tiada yang menggeleng melainkan tersenyum dan mengangguk belaka.


Setiap yang hidup, pasangannya ada,

Begitu juga pertemuan antara kita,

Perpisahan itu syaratnya selama,

Hanya doa melengkap cinta kita semua…


Dan, saat lambaian salam mengelilingi masa. Ada insan yang memandang luka. Nilai ukhwah bukan untuk diperkata, bukan diungkap bukan dicerita. Namun kasih demi Allah kita bersua. Kami pergi, pergilah jua, yang tinggal teruskan usaha…


Surat Cinta dari Ema seolah membuat penulis benar-benar terjaga, indah ukhwah kerana Allah itu tidak semesti bertemu lama, namun indah jika dibajai hanya keranaNya.. dan sungguh ada airmata yang menitik laju, turun bersama gerakan bas yang membawa kami pergi…


surat cinta dari Ema


p/s: Ini hanya review, terlalu banyak yang istimewa hingga tak terungkap oleh kata-kata.

Tuesday, October 26, 2010

::KiTa::

Tak terucap kata,

terdiam sepi semua,

hanya desiran angin yang berirama,

menyampaikan hasrat yang terdiam luka,

wajah yang tersenyum tak bermaya,


sahabat,

Tawa manismu sering kudamba,

tenang jiwamu ku tercari semula,

betapa Allah menimpakan ujian buat kita,

dalam keributan tiba-tiba tercuit rasa,

terbeban hingga jatuh tersudut tidak berdaya..


Sahabat,

jiwa ini bukan sebenarnya milik kita,

Dia yang Maha Kuasa atas segala,

tercarik minda lantas mencantas rasa,

jika tidak segera kembali kepadaNYA..


Sujudlah dalam kesunyian redha,

tafakur di dalam kebingitan jiwa,

biarkan menitis derai airmata,

jatuh membasahi tempat sujud yang setia,


dan yakinlah bahawa DIA

Maha Adil kepada hambaNYA

Tiada zalim sebagai pencipta,

tidak diuji apa yang tak tercapai upaya,

insyaALLAH ini adalah hadiah dariNYA..

bersyukurlah atas segalanya..


26 Oktober 2010

9:15 pagi

KTF, UTMJB











p/s : kamu adalah kami..dan kami adalah kita..jangan pernah berasa terasing dari kita semua..



*****************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Ameen ya Rabbal ‘Alamin.