Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts
Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts

Tuesday, April 29, 2014

Kembali nanti



Sepi di sini,
membawa langkah dan hala tuju sendiri,

Kumpulan berpecah pecah
bukan kerana berbalah
tuntutan hidup lebih memberati

pergi,
sepi,
dan cari..

Cari semula kumpulan kamu,
bina kumpulan yang baru
nanti tika kembali bertemu
kumpulan kita semakin ramai
dan semakin bermutu..


^_^

"ALLAH knows Best!!"



************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Saturday, February 18, 2012

Play in a Day

Guru Interim
02 Feb 2012 - 30 Mac 2012

bit tough than before..

kelas terakhir dan dua terakhir..

tercabut-kesabaran dengan kelas yang meribut setiap masa..


Allah berikanku kesabaran dan hikmah untuk melaksanakannya.


cuma,

setiap kali pandang mereka, walaupun marah, rasa sayang juga...^_^


___________________________


hidup tak semudah impian yang dipasang
yang memulakan nyata menyakitkan
bahkan lebih sakit dari yang menerima
jika yang dibawah gagal meluluskan
yang menerima makin sakit menghadap

cinta bukan isu utama
tapi bukan juga isu kedua
kasih sayang itu penawar
namun marah itu peraturannya..

kamu anak-anak,
bilakan dewasa...
ingin cikgu lihat kamu semua berjaya...

_________________________________


Siapa kata mudah mengajar dari bawah.?bukan mudah nak kenalkan i,2,3 dan a,b,c... malah alif ba ta...jika menerima yang sudah hampir sempurna maka kita berbangga, tahukah betapa jerihnya sebelum lafaz itu berjaya dilontarkan? Aku insaf ya ALLAH!!!

Tuesday, November 29, 2011

Ulang "Hijrah"..?

Aku berlindung dengan-Nya daripada Syaitan yang direjam. Dan kumulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


1 Muharram 1433H.


Permulaan yang baru untuk tahun yang baru. Mungkin. Sesiapa yang mahu memperbaharui azamnya dan mengislahkan kehidupannya hanya kerana ALLAH, tanggal 1 Muharram boleh menjadi titik permulaan yang baru. Dan begitulah setiap tahun, ma’al hijrah disambut dengan doa dan taubat, ingatan dan harapan serta keazaman untuk menjadi lebih baik dalam menyusuri sebuah laluan yang digelar kehidupan.


Tahun ini, 1 muharram disambut dengan menjejakkan kaki ke kedai buku. Dengan membonceng dibelakang seorang sahabat, akhirnya sampai juga ke BADAN yang terletak di Angsana. Ramai sangat orang pada hari itu. Ruang BADAN yang agak besar itu seakan menyempit dan agak sesak. Tujuan utama penulis tidak lain dan tidak bukan ialah mencari semula ma’thurat kesayangan yang telah hilang. Sudah banyak ma’thurat yang menggantikannya tetapi gagal memuaskan hati penulis. Yalah, kebiasaan menggunakan ma’thurat tersebut sudah lama sehingga sudah kembang-kembang dek tertimpa hujan ketika di program-program dan kem. Akhirnya ma’thurat yang di kelek ke sana ke mari itu entah kemana hilangnya. Agaknya tertinggal dimana-mana. Jadi, penulis berusaha mencarinya di kedai-kedai. Mahu yang sama juga, patennya, isi kandungannya dan sebagainya. Tetapi masih gagal dijumpai. Alang-alang ke BADAN semua kitab ma’thurat yang ada dibelek untuk mencari idaman kalbu.


Mata yang liar mencari akhirnya menangkap sebuah buku yang bertajuk “Hari-Hari Dalam Hidupku” karya Zainab al-Ghazali al-Jubaili. Sudah lama buku ini dilihat di rak buku sahabat-sahabat, dan dibaca secara pinjam-pinjam. Kini, peluang untuk memiliki sudah ada dan sudah tentu membacanya lebih bahagia nanti (nota: bahagia kerana dapat menggaris, menconteng, highlight, melakar dsbnya kerana sudah jadi tabiat, buku pinjam tentulah tak boleh buat macam tu). Kemudian operasi mencari ma’thurat kegemaran diteruskan. Habis satu rak, ke rak yang lain, dan seterusnya. Hampir-hampir berputus asa kerana kebanyakan ma’thurat yang ada tidak sama. Adakah sudah tiada cetakan untuk ma’thurat kegemaran itu? Dalam keadaan yang sedikit kecewa itulah penulis akhirnya menemukan “buah hati” yang dicari. Alhamdulillah, semuanya sama kecuali warna kulitnya sahaja. Daripada ma’thurat yang berwarna kuning, kini penulis memilikinya dengan warna merah jambu. Tak apa, kerana yang dicari itu adalah keserupaan isi kandungannya bukan kulitnya.


Mujahadah juga di kedai buku. Untuk kali pertama mungkin, hanya 4 buah buku sahaja dibeli di BADAN. Harganya sekitar kurang RM50 (kebiasaannya 150++ kalau bajet untuk buku). Kali ini ada kepentingan lain yang perlu didahulukan.


Ulang baca, ulang jiwa, perbaharui iman.


Sehari, buku Zainab al-Ghazali khatam. Terasa tamparan yang hebat ke atas iman yang tercungap-cungap. Iman yang terluput sedikit demi sedikit kerana ketempangan istiqmahnya diri di jalan Allah SWT. Muhasabah yang dalam dan panjang. Malu yang amat sangat dengan lafaz-lafaz ingin menegakkan agama ALLAH tapi masih kecundang dengan kemalasan mainan syaitan.


Penulis bersyukur amat. 1 Muharram menemukan dengan suatu “ubat” yang menjentik hati untuk segera bangun. Bangun demi agama-Nya, demi baiah yang telah diberikan kepada Dia, Khaliq yang Maha Esa. Dan 1 Muharram tahun ini, menggariskan erti sekali lagi. Pada keazaman, pendirian dan keyakinan dalam perjuangan. Semoga ingatan daripada-Nya terus hadir menjadi pemangkin keimanan diri ini, menjadi azimat untuk kekal bertahan di jalan-Nya dan bertemu erti sebenar bahagia. Insya-ALLAH.


************************


Menggodek hard disk, file yang dinamakan sem 1 07/08..penulis menemukan ini. Syair tentang bahagia. Marilah sama-sama kita menghayatinya….

Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
untuk pemikiran yang benar dan kukuh
untuk akidah terbesar yang menyelesaikan
permasalahan alam yang lampau
persoalan yang disoal oleh orang yang tertanya-
tanya semasa mereka sedar dan cerdik boleh
berfikir


Dari manakah aku datang?
Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan?
Adakah aku hidup kembali?


Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
terusir segala keraguan yang degil
terdidiklah fikiran yang waras
terciptalah akhlak yang mulia
dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
hidupmu akan dikurniakan nilai
oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
supaya matamu memandang di segala ufuk
ke arah cita-cita yang tinggi


Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana'
kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia…”


~ Dr Yusuf Al-Qaradhawi~



*******************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Tuesday, October 18, 2011

Only room 4 - 1

Dengan Nama Allah kumulakan, semoga sejahtera dari tipu daya syaitan,..

“sometimes there is only room for one”

Ayat ini meresap masuk dalam hati. Dalam dan tajam. Begitu menusuk. Tiba-tiba sahaja terasa kecil dan kerdil sekali. Hati yang mudah berbolak balik. Ketakutan dan kebimbangan yang tidak berasas, lemah dalam menghadapi sekeliling. Gusar berhadapan kenyataan bahawa hanya satu sahaja yang akan menjadi pertama. Seterusnya adalah kedua, ketiga dan terus menerus. Ini disebabkan dalam kehidupan kita memiliki nombor dan urutan. Tingkat dan tangga kedudukan. Lapisan dan strata.

Entalah..ana sokong dari belakang, chaiyok-chaiyok F***!”

“Ish, tak…entilah..ana yakin enti boleh..”

****

“enti ar…enti cakap orang dengar sikit..”

“Apa plak ana, enta ar..arrijal qawwamuna ‘alannisa’!”

****

“Bab urusan ni bagi kat huda, dia orang kuat tu…”

“Banyak la kuat, pi la…boleh ah,”

****

Tanya kak Huda…boleh tak ni pakai yang ni..”

“Tak boleh, tapi kali ni dimaafkan..”

****

Bukan enti ka no.1?”

“Ish, ana tak pandai nasyid dan pidato, no last adalah..”

****

Tahniah S******, Pidato dan nasyid no.1”

“mekasih..”

****

“Pi la jumpa ust. Kita kena pertahan anak buah kita..”

“enti la pi…”

****

“Ust, yang ni pasai apa huda dapat markah macam ni?

La, dah betui, eh..nak kena tambah markah dia ni, ana tak nampak masa tanda ritu,..

“arh, tak dak aih, tak payah…”

“Ha, mai nak kurang markah ka tambah markah orang ni? Haha…”

****

Tahniah, no.3 kan enti maqal?”

“Yup, Alhamdulillah..”

*******************************

Tanya secara jujur pada diri penulis, maka jawapannya penulis ingin berada di kedudukan pertama setiap masa, setiap bidang, setiap tempat. Mustahil memilih untuk menjadi yang kedua atau ketiga. Tapi adakalanya, penulis lebih selesa di tempat yang lebih belakang. Ada ketikanya menjadi penonton di bawah adalah lebih mudah daripada menjadi “pejalan” di atas pentas. Ada masanya hati melonjak untuk ke atas, tetapi tubuh lebih selesa di bawah. Ada detiknya hati meminta untuk duduk, namun tubuh masih perlu melangkah ke depan. Dan semua ini mengajar banyak perkara..yang sukar diterjemahkan ke dalam sesuatu bahasa….

Untuk setiap tingkat kehidupan yang kita tempuh, pasti ada ruang yang perlu dikorbankan. Begitu juga dengan pencapaian. Langkah kita memanjat tangga demi tangga meninggalkan orang lain dan juga ditinggalkan oleh orang yang berada lebih tinggi dari kita, pasti menyentap juga perasaan, tidak kira itu kita atau mereka. Inilah kehidupan yang penuh perlumbaan. Kononnya menjadi yang terbaik namun rupanya masih gagal mengejar “kebaikan” itu.



(Tq to Pak cik Google)

********************

Penulis pernah, dipertikaikan oleh seorang rakan mengenai markah peperiksaan yang tinggi. Katanya penulis meniru dan menipu dalam peperiksaan. Akibatnya sebahagian markah ditolak oleh guru. Sedangkan penulis begitu lelah menghafal kitab-kitab kecil kulit ke kulit. Tabiat suka menulis semula apa yang dihafaz menjadi masalah kepada penulis. Kertas-kertas kecil itu dikatakan “tuo” yang membantu semasa peperiksaan dijalankan. Pernah penulis meradang dan mencabar untuk menghafaz kitab-kitab itu berdepan di depan guru bagi membuktikan ketidakbenaran tuduhan itu.

Namun, guru tidak menggalakkan hal itu. Lambat-lambat penulis menyedari bahwa ada beberapa perkara yang perlu dilepaskan. Memandangkan penolakan markah itu masih belum mampu menjejaskan kedudukan penulis untuk mendapat tempat pertama, maka maafkanlah. Lagipun guru-guru sendiri lebih mempercayai penulis, cuma mereka masih perlu mempertimbangkan pertuduhan oleh pelajar lain. Maafkanlah, jangan biarkan persahabatan itu retak hanya kerana beberapa salah faham. Tentulah susah untuk menerima orang lain ditempat pertama dan kita dibelakangnya…jadi yang berada di depan tolonglah memahami semua ini.


*****************

Zaman sekolah menengah, sekali lagi hal yang hampir sama berlaku. Bezanya ia bukan pertuduhan tapi pencarian kesalahan. Jujur penulis akui kelemahan penulis dalam bidang matematik. Sepanjang masa, skor penulis hanyalah di tahap B+ sahaja. Penulis mengekalkan kedudukan pertama bukan dengan matematik, tapi purata markah subjek-subjek lain yang lebih tinggi. Kali ini, peperiksaan percubaan SPM, matematik mencatat A dengan beberapa markah lebih tinggi daripada pemegang rekod yang biasa. Ini pastinya mengundang masalah.

Hari pengedaran kertas jawapan, penulis tidak hadir kerana demam yang selalu menziarah. Hari-hari seterusnya, penulis tercari-cari kertas jawapan sehingga bertanya kepada guru. Kata guru seorang rakan telah mengambil kertas jawapan bagi pihak penulis. Terpinga-pinga penulis mendengarnya sedangkan penulis telah bertanya seluruh kelas berkaitan kertas penulis. Rupanya dia yang ambil. Disimpan dan diteliti, dibandingkan dengan kertasnya sendiri. Malah, dia bertemu guru mempertikai jawapan dan markah yang diberikan kepada penulis di depan penulis sendiri.

Guru tenang dengan situasi itu, apabila disemak, rupanya ada markah yang perlu ditambah kepada penulis. Cepat-cepat si dia melarikan kertas jawapan itu dan menyerahkannya kepada penulis. Mengiyakan yang sedia ada dan menolak penambahan markah itu. Penulis hanya diam, yalah! Terkejut juga boleh skor A, dan dia adalah teman rapat penulis sendiri, jadi penulis tidak kisah, tapi diam-diam hati dapat merasakan..rupanya lebih sakit dan susah untuk kita terima jika ada orang lain memintas tangga yang kita selalu miliki di tempat teratas..jadi si pemintas, fahamilah ia dan lupakanlah “kemungkinan-kemungkinan” kecil itu.




( kredit to hai online : pinjam kejap)

*****************

Dan dalam kehidupan, ia bukan pengiraan pada angka dan markah di kertas. Ia terlihat pada kualiti kehidupan di sisi ALLAH. Ingat, bukan semata disisi manusia. Posting oleh seorang sahabat menegur agar tidak berbangga dengan anugerah dekan sedikit sebanyak menyebabkan penulis terasa. Seolah-olah dekan bukanlah apa-apa. Anugerah juga bukan apa-apa. Ia tidak menjamin apa-apa. Dan penulis faham hakikat ini, cuma ingin mengatakan bahawa anugerah dan pangkat dekan itu juga pernah menuntut pengorbanan daripada penerimanya. Pernah mengoyak perasaan orang-orang terdekat dan diri sendiri. Itu sahaja. Ia sedikit sakit barangkali bila usaha kita diperkecilkan. Ah, Hati masih lemah kerana terdambakan dunia.

Realitinya, ia adalah peristiwa yang pernah berlaku. Apa yang bakal berlaku perlu diharung di masa depan dengan lebih ketabahan dan kekuatan. Anugrah, pangkat dekan dan 1st Class hanya ukuran sekarang, ia tidak mampu menjamin apa-apa di masa hadapan. Hanya untuk diri sendiri memahami apa yang telah dilaksanakan selama ini. Tapi belum cukup mampu untuk berpuas hati. Dan rezeki setiap orang adalah berbeza-beza, nyata dalam jaminan ALLAH. Apa yang ada hanyalah usaha dan tawakkal, sera doa untuk menjadi antara yang berjaya. Ia milik ALLAH semata.

Dan penulis sedar bahawa esok mungkin penulis adalah yang terbawah di tangga kehidupan, atau masih sama, atau lebih atas. Segalanya mungkin, oleh itu dimana jua berada sekarang jangan sombong dan terlalu bangga. Betul, bertahan tidak mudah, lebih mudah mendaki daripada bertahan di puncak.

******************

Jadi, berdirilah dengan tegak pada kebenaran. Melangkah dengan tujuan dan keadilan. Kejar kejayaan bukan dengan menjatuhkan orang lain. Pada masa yang sama bersedia dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan-Nya. Yang dapat bergembira dengan kejayaan sendiri, dan lebih gembira dengan kejayaan sahabat-sahabatnya.

Ya ALLAH, jadikan hambaMu ini mampu untuk itu! Ameen.

***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”