Aku berlindung dengan-Nya daripada Syaitan yang direjam. Dan kumulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
1 Muharram 1433H.
Permulaan yang baru untuk tahun yang baru. Mungkin. Sesiapa yang mahu memperbaharui azamnya dan mengislahkan kehidupannya hanya kerana ALLAH, tanggal 1 Muharram boleh menjadi titik permulaan yang baru. Dan begitulah setiap tahun, ma’al hijrah disambut dengan doa dan taubat, ingatan dan harapan serta keazaman untuk menjadi lebih baik dalam menyusuri sebuah laluan yang digelar kehidupan.
Tahun ini, 1 muharram disambut dengan menjejakkan kaki ke kedai buku. Dengan membonceng dibelakang seorang sahabat, akhirnya sampai juga ke BADAN yang terletak di Angsana. Ramai sangat orang pada hari itu. Ruang BADAN yang agak besar itu seakan menyempit dan agak sesak. Tujuan utama penulis tidak lain dan tidak bukan ialah mencari semula ma’thurat kesayangan yang telah hilang. Sudah banyak ma’thurat yang menggantikannya tetapi gagal memuaskan hati penulis. Yalah, kebiasaan menggunakan ma’thurat tersebut sudah lama sehingga sudah kembang-kembang dek tertimpa hujan ketika di program-program dan kem. Akhirnya ma’thurat yang di kelek ke sana ke mari itu entah kemana hilangnya. Agaknya tertinggal dimana-mana. Jadi, penulis berusaha mencarinya di kedai-kedai. Mahu yang sama juga, patennya, isi kandungannya dan sebagainya. Tetapi masih gagal dijumpai. Alang-alang ke BADAN semua kitab ma’thurat yang ada dibelek untuk mencari idaman kalbu.
Mata yang liar mencari akhirnya menangkap sebuah buku yang bertajuk “Hari-Hari Dalam Hidupku” karya Zainab al-Ghazali al-Jubaili. Sudah lama buku ini dilihat di rak buku sahabat-sahabat, dan dibaca secara pinjam-pinjam. Kini, peluang untuk memiliki sudah ada dan sudah tentu membacanya lebih bahagia nanti (nota: bahagia kerana dapat menggaris, menconteng, highlight, melakar dsbnya kerana sudah jadi tabiat, buku pinjam tentulah tak boleh buat macam tu). Kemudian operasi mencari ma’thurat kegemaran diteruskan. Habis satu rak, ke rak yang lain, dan seterusnya. Hampir-hampir berputus asa kerana kebanyakan ma’thurat yang ada tidak sama. Adakah sudah tiada cetakan untuk ma’thurat kegemaran itu? Dalam keadaan yang sedikit kecewa itulah penulis akhirnya menemukan “buah hati” yang dicari. Alhamdulillah, semuanya sama kecuali warna kulitnya sahaja. Daripada ma’thurat yang berwarna kuning, kini penulis memilikinya dengan warna merah jambu. Tak apa, kerana yang dicari itu adalah keserupaan isi kandungannya bukan kulitnya.
Mujahadah juga di kedai buku. Untuk kali pertama mungkin, hanya 4 buah buku sahaja dibeli di BADAN. Harganya sekitar kurang RM50 (kebiasaannya 150++ kalau bajet untuk buku). Kali ini ada kepentingan lain yang perlu didahulukan.
Ulang baca, ulang jiwa, perbaharui iman.
Sehari, buku Zainab al-Ghazali khatam. Terasa tamparan yang hebat ke atas iman yang tercungap-cungap. Iman yang terluput sedikit demi sedikit kerana ketempangan istiqmahnya diri di jalan Allah SWT. Muhasabah yang dalam dan panjang. Malu yang amat sangat dengan lafaz-lafaz ingin menegakkan agama ALLAH tapi masih kecundang dengan kemalasan mainan syaitan.
Penulis bersyukur amat. 1 Muharram menemukan dengan suatu “ubat” yang menjentik hati untuk segera bangun. Bangun demi agama-Nya, demi baiah yang telah diberikan kepada Dia, Khaliq yang Maha Esa. Dan 1 Muharram tahun ini, menggariskan erti sekali lagi. Pada keazaman, pendirian dan keyakinan dalam perjuangan. Semoga ingatan daripada-Nya terus hadir menjadi pemangkin keimanan diri ini, menjadi azimat untuk kekal bertahan di jalan-Nya dan bertemu erti sebenar bahagia. Insya-ALLAH.
************************
Menggodek hard disk, file yang dinamakan sem 1 07/08..penulis menemukan ini. Syair tentang bahagia. Marilah sama-sama kita menghayatinya….
Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
untuk pemikiran yang benar dan kukuh
untuk akidah terbesar yang menyelesaikan
permasalahan alam yang lampau
persoalan yang disoal oleh orang yang tertanya-
tanya semasa mereka sedar dan cerdik boleh
berfikir
Dari manakah aku datang?
Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan?
Adakah aku hidup kembali?
Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
terusir segala keraguan yang degil
terdidiklah fikiran yang waras
terciptalah akhlak yang mulia
dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
hidupmu akan dikurniakan nilai
oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
supaya matamu memandang di segala ufuk
ke arah cita-cita yang tinggi
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana'
kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia…”
~ Dr Yusuf Al-Qaradhawi~
*******************
0 sahabat/iah:
Post a Comment