Thursday, February 24, 2011

Lagi berkaitan Politik Kampus..

UPM diarah kekalkan status calon MPP, jangan sampai dilabel ‘macam Burma’

February 23, 2011

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan status 33 calon dan menarik balik keputusan membatalkan kemenangan 10 pelajar — yang kesemuanya sebelum ini dilabel sebagai barisan Pro Mahasiswa.

Kesemua 33 calon Pro Mahasiswa, yang didakwa beraliran condong kepada politik pembangkang, dibatalkan kelayakan bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas alasan berkempen secara berkumpulan.

Keputusan itu termasuklah mereka yang menang pilihan raya kampus itu.

Justeru, Saifuddin (gambar) mahu pentadbiran UPM agar mengekalkan keputusan pilihan raya kampus seperti yang diumumkan kelmarin.

Pro Mahasiswa juga mencatatkan keputusan baik kali ini di beberapa universiti lain.

“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, saya tida bersetuju dan saya cadangkan supaya kekalkan keputusan seperti keputusan pengundian.

“Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tak iktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tak iktiraf kemenangan Hamas,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata tidak wajar pengurusan UPM membatalkan kelayakan Pro Mahasiswa kerana kumpulan itu tidak dapat membela diri ketika bantahan dibuat oleh kumpulan Pro Aspirasi.

“Pada saya perkara ini mudah sahaja, yang pertama siapa yang buat bantahan, apa alasan untuk bantahan dan adakah Pro Mahasiswa diberi keadilan untuk mempertahankan diri?

“Setahu saya (Pro) Aspirasi yang buat bantahan, alasan tanding berkumpulan dan Pro Mahasiswa tak diberi peluang untuk membela diri.

“UPM suruh mereka (Pro Mahasiswa) buat rayuan, tapi nak buat rayuan apa kalau nak pertahankan diri juga tidak boleh, macam mana nak buat rayuan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, jadi mengapa hanya Pro Mahasiswa yang dikenakan tindakan.

“Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, katakan kepada saya dan dunia adakah Pro Aspirasi bukan sebuah kumpulan,” kata Saifuddin.

Laporan The Malaysian Insider pagi tadi menyebut pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

Usaha The Malaysian Insider mendapatkan pengesahan pengurusan UPM belum berhasil.

Dalam pada itu, kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa UPM mengambil langkah drastik dengan mengepung pusat pentadbiran universiti sebagai membantah tindakan membatalkan status mereka.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman, pihaknya mahukan penjelasan dari pentadbiran UPM berhubung pembatalan calon Pro Mahasiswa itu.

“Sekarang kami sedang mengepung pentadbiran UPM dan memohon menjelas dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berhubung pembatalan status calon Pro Mahasiswa yang bertanding.

“Kita hanya mahukan penjelasan dalam perkara ini, kenapa status kami dibatalkan? Apa yang saya tahu bantahan di buat oleh seorang ahli Aspirasi yang tewa (dalam pilihan raya kampus),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar pukul 11 pagi tadi.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/upm-diarah-kekalkan-status-calon-mpp-jangan-sampai-dilabel-macam-burma/

1 sahabat/iah:

Lagenda said...

apabila mereka berperangai macam budak-budak..