Nama ini bukanlah nama sebenar penulis. Ada cerita yang agak panjang disebalik pemilihan nama ini. Kenapa penulis menjadikannya nama pena dan tidak menggunakan nama sebenar? Adakah penulis tidak menyukai nama sebenar penulis? Tidak! Bahkan nama yang sebenar sangat bererti bagi penulis, ia diberikan sendiri oleh ibu yang melahirkan penulis. Namun, sebagai “penyamaran” maya, penulis perlu memilih nama yang indah, mungkin tidak seindah nama asal, tetapi maknanya yang mendalam. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Daripada Ibnu Abbad r.a katanya, sabda Rasulullah SAW : Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya”
(Riwayat al-Baihaqi)
Rasulullah SAW amat menitikberatkan penggunaan nama yang baik kepada anak-anak. Ini disebabkan nama boleh menjadi doa kepada mereka dan membantu dari sudut psikologi. Individu yang memiliki nama yang baik dan indah dapat menyerap kuasa positif ke dalam dirinya. Oleh itu, penulis ingin memberikan nama yang baik untuk “penyamaran” sendiri, semoga ia menjadi salah satu pembakar semangat untuk mencapai redha Illahi.
“Nur”
Nur adalah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud “cahaya”. Perkataan ini banyak berulang di dalam al-Quran al-Karim yang selalunya membawa pengertian petunjuk dan jalan kebenaran kepada manusia. Ia juga merupakan suatu rahmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya yang hampir tersesat agar kembali ke jalan yang lurus.
Tradisi masyarakat Melayu sering meletakkan “Nur” di hadapan nama anak perempuan mereka. Oleh itu penulis turut berminat dengan nama ini. Apatah lagi, ia turut wujud dalam nama asal penulis. Kira ini adalah nama sebenar jugalah..^_^
“Tasnim “
Merupakan perkataan bahasa Arab yang membawa maksud “mata air dalam syurga” atau “ a spring in paradise”. Ia disebut di dalam Surah al-Mutaffifin, pada ayat ke-27. Secara umumnya,Surah ini menceritakan mengenai orang-orang yang menipu dalam timbangan mereka. Namun, turut terselit diantara ayat-ayat ini yang menerangkan mengenai nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang baik. Orang yang benar pada mizannya (timbangannya) ketika berjual beli. Antara ayat-ayat inilah disebutkan “tasnim” pada ayat yang ke-27. Ia menceritakan mengenai minuman yang diberikan kepada hambaNya yang beriman ini, suatu minuman daripada mata air dalam syurga yang dikenali sebagai Tasnim.
“(it will be mixed with Tasnim). Meaning, this wine that being described is mixed with Tasnim. This refers to a drink called Tasnim, and it is the most excellent and exalted drink of the people in paradise. This was said by Abu Salih and Ad-Dahhak.”
[Tafsir Ibnu Kathir, second edition by Muhammad Saed Abdul Rahman. Page:81]
Menurut Abu Salih dan Ad-Dahhak, Tasnim merupakan minuman termulia dalam syurga yang diminum oleh orang-orang beriman.
Penulis mengenali nama ini melalui tontonan sebuah drama bersiri di TV. Sekali terdengar nama “tasnim”, penulis terus berminat untuk mengetahui maksud nama ini. Allah mengizinkannya, apabila penulis menjumpai nama ini di dalam al-Quran tidak lama selepas itu. Maka, penulis menjadikannya sebagai nama pena dan suatu inspirasi untuk diri sendiri. Para pembaca boleh agak sendiri kan bagaimana maksud disebalik nama ini boleh menjadi inspirasi?
“Nasuha”
“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu dengan melakukan taubat yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan kamu”
(At-Tahrim : 8)
Di dalam surah at-Tahrim ayat yang ke-8 ada menyebutkan mengenai “Nasuha”atau lebih jelas lagi “Taubatan Nasuha” yang diterjemahkan sebagai taubat yang semurni-murninya. Kata Taubat Nasuha membawa maksud kembali ke jalan Allah dengan menyesali dosa yang dilakukan dan berjanji tidak mengulanginya lagi; bersih, murni sebagai sifat bagi orang yang bertaubat.
“Nasuha” jauh lebih lama hinggap dalam hati penulis. Sejak di darjah 5 lagi, ketika seorang sahabat memberitahu pada penulis bahawa adiknya bernama Nasuha, maka penulis terus terpikat dengan nama ini. Apatah lagi bila penulis menjumpainya di dalam al-Quran dan memahami maknanya yang benar-benar indah.
Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari daripada melakukan maksiat dan dosa. Oleh itu “Nasuha” yang sentiasa dikaitkan dengan taubat yang sebenar-benarnya, murni dan bersih adalah tanda peringatan yang cukup indah untuk kita hayati.
**********************************
“Nur Tasnim Nasuha”
Satu gabungan nama yang membawa erti mendalam pada penulis. Sentiasa menyedarkan untuk mensucikan diri dengan “nasuha” dan berlumba-lumpa untuk sampai ke tempat “tasnim” dengan bantuan “Nur” yang senantiasa di dambakan dari Illahi.
InsyaALLAH, moga ALLAH memakbulkan semua ini.
p/s: Ada orang nak jadikan nama anak? Ha, saya tiada hak untuk menghalang dan saya pon belum tentu namakan anak dengan nama ini. Lagipon kena la bincang dengan “abi”nya juga kan…J lalala…[kan nama samaran tu….]
**********************************
Nota tambahan:
Mata air syurga menurut Mahir Ahmad Ash-Syufiy (2007):
1. Mata Air Kafur
2. Mata Air Tasnim
3. Mata Air Salsabil
Menurut Imam Qurthuby sebagaimana dikutip oleh Burhanuddin Al-Biqa’y (1995:53) ada empat hal yang terkandung dalam taubat, iaitu:
1. - Istigfar dengan lisan
2. - Melepaskan yang bukan haknya
3. - Menyesali dan berniat untuk tidak mengulangi perbuatannya
4. - Meninggalkan atau menghindari tempat pergaulan maksiat.
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir – Muhammad Saed Abdul Rahman
Surga – Mahir Ahmad Ash-Syufiy
Artikel Syaraban Tahura dari quran.al-shia.org (ambil yang betul ja..)
Dan beberapa sumber sesawang yang lain.
*******************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
1 sahabat/iah:
Tu nama penuh saya.. Akhirnya sy jumpa maksud penuh nama saya...
Post a Comment