Thursday, September 15, 2011

Aidilfitri 2011

Dengan namaMu ya ALLAH..daku mulakan..


Aidilfitri tahun ini, ulangan kisah tahun-tahun lalu barangkali, cuma kelainan pada masa dan rasa. Juga secebis suasana yang mungkin menerima "pembaharuan" dalam hidup. Sama ada yang baharu itu lebih baik, atau sebaliknya, diri sendiri yang memutuskan keputusan itu.


Insan-insan yang melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan hati sebagai magnet penyerap kebaikan, pasti ada pengijazahan yang diperolehi. Bagi insan yang sebaliknya pula, kesia-sian jugalah yang menjadi hamparan laluan mereka sepanjang Ramadhan. Keistimewaannya terlepas dan berlalu terus tanpa sebarang sisa tinggalan.



My Eid~~


Tahun ini, penulis menyambut Eid-Fitri sebagai salah seorang ahli keluarga yang sudah bekerja.
Bahasa mudahnya "kena bagi duit raya". Dan memang perlu melibatkan diri dalam urusan perbelanjaan hari raya, cuma dalam urusan yang melibatkan angka yang kecil. Yalah, kerja kecil-kecilan sahaja. Aim utama kerja adalah untuk menguruskan pembayaran dan belanja untuk majlis konvokesyen kali ini.


Rezeki yang melimpah, penulis berpeluang untuk pulang berhari raya lebih awal dan kembali bekerja lebih lewat daripada orang lain. Memandangkan kepulangan yang lebih awal daripada adik beradik yang lain, maka tugas untuk menyelesaikan hal-hal yang perlu sebelum aidilfitri jatuh ke bahu penulis. Beberapa jenis kuih raya sudah penulis beli sebelum pulang lagi. Membeli barang-barang yang diperlukan serta menjalankan operasinya.


Hutang-hutang yang tertangguh telah diselesaikan kecuali PTPTN. Yang ni hold dulu. Giliran sampul-sampul kecil pula untuk diisi, ya angkanya pun kecil-kecil sahajalah. Bilangan sampul ini secara wajibnya ada 16 untuk yang kecil-kecil, satu untuk separuh besar dan 2 untuk yang paling besar. Bilangan mengikut keperluan.



Majlis Keluarga.

Raya pertama, biasa sahaja. Tahun ini giliran rumah mertua belaka. Raya kedua barulah riuh dengan ketibaan abang-abang dan kakak-kakak dengan bala tentera mereka. Raya ketiga ada majlis keluarga. Dua ekor kambing ditumbangkan. Semua yang dijemput hadir, kakak sepupu, abang sepupu, mak saudara dan bapa saudara, yang tak pernah kenal pon hadir. Penulis dan kakak pulak terperangkap di dapur. Dengan baju yang lusuh kami kelam kabut menyediakan permintaan tetamu. Kaunter air, kaunter kuih raya, kaunter ketupat, kaunter lauk, kaunter nasi dan entah apa-apa kaunter lagi. Kenduri kecil-kecilan seperti ini memang sepenuhnya diuruskan oleh ahli keluarga sendiri., abang -abang pula sudah berada di depan. Awal pagi tadi mereka sudah "berkapak" dengan kambing.


Dan kaunter pembersihan, amalan paling biasa untuk orang-orang bujang yang muda-muda. Akhirnya bala tentera muda yang manis-manis diberikan peluang berbakti. Kak Long, Kak Ngah, Kakak dan Mak Su menjadi anggota sementara menguruskan operasi basuh membasuh pinggan kenduri. Sebelah petang, penulis yang berpanggilan "mak cik" inilah yang mengambil alih tugas membersihkan periuk yang besar-besar. Abang-abang sibuk lain, kakak-kakak semua ada anak kecil yang perlu diuruskan. Anak-anak hilang entah kemana. Lesap dengan mood raya mereka.


Malam terbaik!

Malamnya, dimulai dengan pak lang (abang y ketiga) ramai yang menjerit-jerit nama adik beradik sendiri untuk berbaris menerima sampul raya masing-masing. 12 sampul dikeluarkan pak lang memandangkan anaknya sendiri ada empat orang. Jadi jimat lah empat sampul. Diikuti Pak Long dengan 10 sampul.

[ Formula sampul : Jumlah bala tentera (tolak -) jumlah anak sendiri ..heheh]

Tiba-tiba ada yang menjerit,

"Mak Cik nak bagi duit raya! cepat, cepat!!"

Memandangkan mak cik belum memiliki anak sendiri untuk menyumbang kepada bilangan bala tentera yang ramai itu, maka 16 sampullah yang perlu dikeluarkan. Berebut-rebut mereka beratur sepanjang beberapa depa. Kemudian sampai giliran Pak Teh dan Mak Ngah. Riuh rendahnya seolah-olah sedang berada di pasar malam yang sangat sibuk. Tapi ia amat bermakna, kerana itulah pertama kali aidilfitri menghulurkan kesempatan buat penulis untuk memberi seperti mana orang lain biasa memberi.


Selepas Pulang

Tidak lama cuti mereka. Semua keriuhan itu mulai beransur pulang. Rengekan Haziq, Kenakalan Asyraf, senyuman kak ngah, kemanjaan kakak dan Zulaikha yang cerdik juga turut pergi bersama. Mak cik yang terakhir pula kembali bertugas seperti kebiaasaan orang terakhir pulang.

Namun, kesibukan itu sempat terisi dengan operasi jalan-jalan bersama sahabat lama. Entah Raya keberapa..7@8, kami merayau-rayau sekitar Kedah dan singgah juga di RFC. Majlis Aidilfitri sekolah berjalan lancar, namun kerana tarikhnya sama dengan majlis di rumah penulis maka tidak dapat dihadiri. Jadi, kami bertemu beginilah, sambiil berjalan-jalan, ziarah dan bercerita. Adakala terkena adakala saling mengenakan satu sama lain.

Hari-hari seterusnya rumah saudara mara pula dilawati. Awal Syawal orang sibuk puasa 6, jadi kurangkan berjalan..^_^. Dan akhirnya sampailah masa bersiap-siap untuk pergi sekali lagi...



Kembali ke UTM, dan bersedia untuk majlis hujung bulan ini....
Moga jalan hidup ini berterusan mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH SWT. Ameen.



***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

2 sahabat/iah:

Unknown said...

majlis pe tu kat uTM?

tasnim said...

Konvo la kak Ha!! heheh