Thursday, September 29, 2011

Ijazah Pertama


Pingat Anugerah Dekan & Pingat Emas Tun Fatimah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

26 September 2011, tarikh yang menemui ketetapannya bahawa seseorang dan beberapa orang juga akan menerima penganugerahan ijazah pertama mereka. Dalam debaran mengenangi sepenuh jiwa akan setiap perjalanan sepanjang melalui pengajian, akhirnya hari itu tiba.


Kami berkumpul semula pada pagi itu, berbaris dengan segak dan berarak masuk. Satu demi satu aturcara program dilalui hingga giliran kami tiba juga. Dalam kegembiraan, sebak dan entah apa perasaan yang lain. Kesibukan dan kegelisahan., entah apa yang dilalui, ditempuh, kami selesai menerima ijazah pertama selepas empat tahun meneruskan pengajian di bumi UTM ini.


Bagaikan mimpi, apa yang berlalu terasa mudah pula meskipun sebelumnya terasa perit dan payah. Sakit dan susah. Tapi, bila kaki tetap cekal melangkah, dan tangan tabah menerjah maka hasilnya tetap adalah kepuasaan atas segala usaha yang pernah dicurahkan. Yang jatuh dan masih tertunggu pula bukan kalah, tp mereka masih lagi di alam ketabahan itu, sedang kami perlu bersedia untuk mencarik ketabahan pada situasi yang baru.



***********


“Seperti orang lain, kami juga masuk ke sini dengan cita-cita untuk mendapat husnul khatimah, di Universiti, kami ingin mencapai yang terbaik dan bergraduasi dengan kepujian kelas pertama” Inilah antara tutur kata yang pernah penulis sampaikan di hadapan kelas. Penulis masih ingat, ketika tutorial Aqidah di semester pertama pengajian. Penyampaian dalam bahasa Inggeris itu agak tersekat-sekat tapi jelas pada maksud dan harapannya.


Saya nak grad dengan 3.9 ke atas” Ini pula target penulis ketika berada di tahun empat semester pertama. Agak lambat azam ini ditanam sehingga ia agak lewat juga untuk direalisasikan. Alhamdulillah, kepujian kelas pertama tetap berjaya dirangkul walaupun tidak terrealisasi harapan yang kedua itu.


Melihat kepada situasi ini, penulis ingin menyatakan bahawa azam mestilah dilakukan sejak dipermulaan jalan lagi. Dan digilap dan di”panas”kan apinya dari semasa ke semasa. Bukan bererti azam di pertengahan itu tidak boleh, tetapi azam yang masih di awal perjalanan itu lebih segar untuk diingati dan direalisasi. Sedang azam dipertengahan jalan menuntut lebih banyak pengorbanan dan kepenatan untuk direalitikan.



*************


Sebuah pesanan buat diri dan sesiapa yang masih di alam kampus. Pengajian di Universiti banyak peluang dan manfaatnya jika digunakan sebaiknya. Setiap peluang dan kesempatan mestilah direbut dan digunakan sebaiknya. Pada masa inilah sebenarnya, ruang keemasan untuk menggilap bakat dan kemampuan. Mengejar kebolehan dan keistimewaan diri, malah peluang untuk "memilih" jalan hidup yang terbaik. Menjadi mahasiswa cakna yang tahu halal dan haram, atau mahasiswa yang "buta" dengan akademiknya hingga buntu dalam kemahiran insaniah yang lain.


Menyertai persatuan dan aktiviti keilmuan + sosial tidak akan mengurangkan masa anda untuk menuntut ilmu, Kerana menyertainya juga sebenarnya anda sedang belajar! Belajar tentang manusia, tentang kehidupan! Belajar menjadi manusia yang tahu fungsi dan tugas dirinya, mengetahui apa itu perasaan dan keadilan, apa itu kebenaran dan kebatilan.


Penulis sendiri terlibat dengan aktiviti di kampus, malah di sekolah lagi. Di kampus antara kelab dan persatuan yang pernah melibatkan diri adalah Kelab Iqra, JKSK, PMI, IMPI, program-program motivasi dan kem di sekolah-sekolah, dan juga Global Outreach. Semua ini membantu mengenalkan dan menjadi pengalaman yang terbaik dalam proses pembelajaran.



********************


Paling penting jangan jadi lokek untuk turun padang menegakkan kalimah ALLAH! Ihfazillah, yahfazik!


"Penerima anugerah akademik seterusnya, Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim, Wan Nurulhuda binti Wan Jusoh, Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam) "


Alhamdulillah, semua itu rezeki daripada ALLAH. KetentuanNya, kurniaanNya. Kita sebagai hamba hanya berusaha mengikut landasan syarak yang telah ditentukan. Allahlah yang meninggikan darjat seseorang, juga menghinakan seseorang..semua itu adalah di dalam kekuasaanNya. Oleh itu, jangan takut untuk mengatakan kebenaran, menegakkan kalimah-Nya.


Apa yang paling penulis harapkan, adalah keistiqamahan diri dalam jalan yangtelah dipilih ini. Memohon agar thabat dalam kebenaran dan dijauhkan daripada penyimpangan serta penyelewengan. Jauh daripada takabbur dan sombong....Ameen.



************



sekalung TAHNIAH buat semua yang telah memiliki ijazah masing-masing. Semoga Ijazah yang diterima akan menjadi pemangkin untuk terus memberikan kebaikan dan manfaat kepada sekalian alam. InsyaALLAH.


Dan secebis ingatan buat Allahyarhamah Kak Hanan, Al-Fatihah.



***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

6 sahabat/iah:

FarHa said...

Tahniah huda :D

tasnim said...

Sama-sama tahniah jugak kak Ha...:)

^_^ tp double tahniah utk kak Ha... mudahan baby lahir sihat nnti ^_^

Sunah Sakura said...

alhamdulillah....tahniah wahai sahabat!

Azlinda Amin said...

alhamdulillah.. tahniah kak huda... ;)

Khairul said...

Tahniah...boleh jd contoh pd adik2 di kampus nanti...insyaAllah.

tasnim said...

Alhamdulillah..terima kasih kak Sunah dan Linda...

Khairul-> syukran, enta juga contoh terbaik utk adik2,,insyaALLAH..

Semoga sama-sama istiqamah...ameen