diserang rasa rindu..
************
(Ya Rasulallah…)
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira’
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan Akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia ‘kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu
***************
Seorang sahabat menegur penulis, beliau kata penulis ada sifat ego dalam diri. Terkedu sebentar, agak terasa tetapi Alhamdulillah, syukur juga ada sahabat yang sudi menegur. Tegurannya biasa-biasa sahaja, tapi mampu buat kita berfikir. Beliau tegur tanpa sebarang makian atau cacian dan direct kepada penulis, tidak pula diheboh-hebohkan atau dikutuk belakang. Beliau bercakap dengan bukti dan dalil,
terang dan jelas. Walaupun agak sedih juga tetapi ini adalah peluang yang Allah beri kepada penulis, peluang untuk berubah. Gembiranya bila kami boleh saling menegur tapi persahabatan tetap indah dan baik. Gurisan luka terubat terus sehingga hilang kesannya tanpa parut.
Penulis akui ada kelemahan ini, cuma yang penulis sedar tentang diri sendiri selama ini bukanlah ego tetapi degil. Sikap penulis sering mengikut dan mematuhi sahaja perintah dan peraturan yang ditetapkan, tapi sekali penulis membantah, bantahan itu akan kukuh sehingga ada yang menjelaskan dan dalil yang boleh mematahkan kefahaman lama. Tanpa dalil yang kukuh maka keputusan membantah kekal teguh di dalam diri. Waktu ini kami akan berhujah dan bertekak, berbincang dan semestinya agak tegang. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan ego itu. Jadi, penulis perlu ubah perkara ini, insyaALLAH akan diusahakan.
Serentak itu, rindu pada kekasih Allah terusan bertamu. Indahnya baginda dengan akhlaq terpuji, memikat dan menambat hati. Moga diri ini berpeluang mengikuti sunnahnya yang indah. Ameen.
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١)
21. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)(al-Ahzab :21)
Syukur ya ALLAH...masih ada peluang untuk membaiki diri. Untuk sahabat (E-R) yang menegur diri ini, syukran jazilan. Uhibbuki Fillah, ukhwah abadan abada lillah.
(Amar makruf Nahi Munkar)
*****************
Ameen ya Rabbal ‘Alamin.
2 sahabat/iah:
salam
1) bertuah dapat sahabat macam tu.
2) kadar berfikir, adakah aku akan bertemunya nanti?
wslm,
insyaALLAH..peluangnya ada, kita yang memilih hendak atau tidak..
Post a Comment