Hari ini sejarah hidup yang lalu dikuak semula lembarannya. Mencari-cari kekuatan yang pernah suatu ketika dahulu, dipinjamkan Allah dalam menempuh mehnah perjalanan. Situasinya mungkin berbeza, namun rasa hati dan pergolakannya hampir serupa. Harap-harap penawarnya berjaya ditemui, lalu dirangkum antara diari dan hari, menjadi ubat yang menguatkan kaki yang semakin lemah dek bertambahnya tanggungjawab sedangkan keupayaan semakin susut dan berkurangan.
Penjernihan semula fikiran yang kusut, boleh dilakukan oleh penjelasan yang panjang lebar. Namun pemurnian semula hati yang bercelaru sedikit mengambil tenaga yang tidak dapat dijelaskan. Tenaga roh barangkali. Dan itulah yang dicari disebalik lembaran diari yang lalu, penulis berkira-kira begitu. Harapannya agar dapat ditemui, secebis tenaga roh, yang pernah mengiringi perjalanan ini.
*****
ALLAH TEMPAT BERGANTUNG – HATI, PERASAAN DAN KEKUATAN
Penilaian Menengah Rendah 2003
Masyarakat hangat membincangkan mengenai penutupan secara besar-besaran semua sekolah agama rakyat (SAR). Tidak kira sekolah persendirian atau sekolah di bawah kerajaan negeri turut menerima tempias yang sama. Beberapa sahabat mengambil keputusan bertukar sekolah kerana bimbang dengan ancaman ‘tidak diiktiraf’ dan ‘tidak dapat kerja’ yang diberikan kepada pelajar-pelajar SAR. Suasana di sekolah juga pada pandangan penulis agak tegang. Ini berikutan tawaran masuk guru-guru SAR ke sekolah kerajaan. Agak ramai juga guru-guru yang berpindah keluar ketika menerima tawaran itu. Kesannya banyak subjek yang perlu diberikan penekanan terbiar kosong tanpa ada guru yang mengajar. Namun, pengetua mengambil inisiatif menjemput semua ibubapa dan memaklumkan bahawa sekolah tidak akan ditutup walau apa yang berlaku.
Penulis yang berada di tingkatan tiga ketika itu, merasai bahangnya secara lebih lagi berbanding adik-adik yang lain. Malah tingkatan 3 dan 5 berada di dalam keadaan kritikal kerana bakal menghadapi peperiksaan besar sedangkan tenaga pengajar yang tinggal terlalu kurang. Tekanan dari sudut kewangan menyebabkan keadaan guru-guru sendiri berada di tahap stress yang tinggi. Seingat penulis, seharian di sekolah lebih banyak berborak sesama sahabat kerana tiada guru yang mampu masuk menggantikan guru-guru yang telah pergi. Walaupun begitu jauh di sudut hati penulis, langsung tidak menyalahkan guru-guru yang pergi meninggalkan kami. Ada sebabnya mereka pergi, dan sudah agak lama mereka berjuang dalam kedoifan hidup.
Revolusi tercetus ketika ujian percubaan PMR menonjolkan keputusan yang amat menakutkan. Subjek Bahasa Melayu menunjukkan 95% pelajar gagal dengan keputusan tertinggi sekadar pangkat D. Subjek English juga menunjukkan penurunan yang menjunam. Pendidikan Islam masih boleh bertahan. Begitulah kesannya kerana hampir sebulan sebelum peperikasaan percubaan, pelajar-pelajar telah terbiar kosong dalam keadaan yang tertekan, setiap kami pulang ada sindiran tajam dan cemuhan yang melata di bibir-bibir masyarakat. Malah sering juga sahabat-sahabat menceritakan umpatan yang terpaksa diterima semata-mata bergelar pelajar SAR. Sedih dan murung nyaris menyelubungi, namun hati menjadi keras dan menjerit bahawa takkan teraniaya mahu terus mengalah. Muafakat yang dibuat sesama sahabat-sahabat sekelas menjadi benteng. Belajar terus! Study group diwujudkan dengan cepat, masa pulang ke rumah dilambatkan. Setiap kumpulan akan membantu sahabat-sahabat lain untuk mendalami setiap subjek yang perlu. Mungkin tidak sebaik guru yang mengajar tapi itu lebih baik dari membiarkan diri bersendirian. Sorotan masyarakat terhadap kami juga sangat tajam. Tiada kesalahan yang dibenarkan kerana semua itu akan menjadi isu yang lebih panas lagi.
Tahap kesedaran penulis dan sahabat-sahabat agak tinggi ketika itu. Mungkin kerana berada di zon yang amat tidak selesa, maka membuatkan kami amat berjaga-jaga dengan situasi sekeliling. Setiap hari dalam penat berusaha kami tidak lupa menghitung hari kemungkinan menjadi hari terakhir kami sebagai pelajar SAR. Namun Alhamdulillah, sehingga kini SAR kebanggaan itu masih teguh berdiri.
Membahu dalam lemah
Allah menjadi tempat pergantungan setelah segala usaha dicurahkan. Setelah hampir dua bulan lebih ketiadaan beberapa guru subjek, kami menduduki peperiksaan PMR dengan hati yang berbelah bahagi. Sedih kerana dilayan seperti rakyat kelas dua, sayu kerana umpatan yang berjela-jela, tegar demi mempertahankan diri dan sekolah, malah berbagai-bagai lagi yang pada hemat penulis dirasai oleh semua pelajar SAR di seluruh Negara pada masa itu. Tapi itulah kekuatan yang dipinjamkan Allah melalui sahabat-sahabat. Kami saling membahu di dalam lemahnya diri, lukanya perasaan dan bimbangnya hati menanti kenyataan esok.
******
Firman Allah S.W.T:
“ Katakanlah (Wahai Muhammad), ‘Wahai Tuhan Pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapapun yang engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engakau Maha Berkuasa Atas tiap-tiap sesuatu..”
(Al-Baqarah :26)
‘Andai sekiranya seluruh dunia ingin membinasakanmu, jika Allah tidak mengizinkan nescaya engkau akan selamat, dan andai seluruh dunia ingin melindungimu, akan tetapi Allah menakdirkan kebinasaan untukmu maka tiada yang mampu mengubah takdir itu..’ (Mafhum hadis)
Keputusan diumumkan. Ramai yang tidak percaya bahawa peratus kelulusan melonjak naik. Masakan percaya sedangkan keadaan sebelum itu keadaan sangat mendesak. Walaupun bukan ditahap cemerlang akan tetapi keputusan yang diperoleh adalah lebih baik daripada yang dijangkakan selama ini. (perhatian: Sekolah penulis tidak mempunyai kelengkapan yang cukup seperti makmal sains dan sebagainya. Kami menjalankan eksperimen menggunakan pelita minyak, tin dan peralatan yang bukan perkakasan makmal tetapi mempunyai fungsi yang hampir sama).
Hanya Allah yang tahu segala perasaan kami pada hari itu. InsyaALLAH, walau dalam tekanan dan keletihan emosi dan perasaan, keyakinan bahawa hanya Allah yang menentukan hidup mati, ajal maut dan rezeki seseorang itu kuat terpahat di hati. Penulis sendiri tidak pernah terfikir untuk bergelar mahasiswa kerana bualan masyarakat bahawa pelajar SAR tidak mampu kemana-mana sedikit sebanyak menghantui. Namun, Alhamdulillah segalanya adalah milik Allah, Dia yang menentukan kejayaan usaha seseorang hambaNya. Hal itu menjadi titik tolak sikap keberanian untuk meneruskan langkah di medan ini. Dan Alhamdulillah masih kekal berada di bidang yang sama sehingga hari ini.
********
Jiwa segar menghirup tenaga roh yang pernah dimiliki suatu ketika dulu. Saat mendung berarak menghujankan masalah yang pelbagai sehingga nyaris melemaskan, Allah menjadi tempat pergantungan yang Abadi. Tiada penghujungnya Allah melimpahkan kasih sayang, dalam ujian yang diberikan pasti bersesuaian dengan tahap kemampuan penerima. Subhanallah, ya Allah, Allahu Akbar..hambaMu ini telah melepasi saat yang dahulu, kini ujian dan rintangan yang lebih dalam Engkau berikan. Maka berikanlah hambaMu ini kekuatan agar mampu bertahan dalam keyakinan yang tidak pernah goyah kepadaMu. Ameen..
0 sahabat/iah:
Post a Comment