Thursday, December 31, 2009

Tahun 1996, SRIPS – Kenangan yang menggamit.

“nanti siapkan karangan mengenai sirah rasulullah sebanyak 200 perkataan dalam tulisan jawi” suara ustaz Rospanizam kembali kedengaran di telinga. Aduh! Ustaz serius ke ni? Ish..masa ustaz cakap tu selamba je, macam tak serius pon. Ni Anas la punya pasal, kenapa la dia ingatkan ustaz pasal ni. Penulis merungut-rungut juga. Bukan tak buat, tetapi tak mencukupi 200 patah perkataan, tapi kebanyakan rakan sekelas yang lain memang tak buat kerja yang diberikan ini. Yalah, ustaz cakap pon macam main-main ja, mana tahu ustaz serius pulak nak kami serahkan.

“Ha, Wan, mana kerja kamu?” sempat ustaz nak mengenakan penulis.

“Ada ustaz, ..er…tapi..tak cukup 200 perkataan”..penulis menjawab lambat-lambat.

“Berdiri atas kerusi..” Ustaz mengarah selamba. Mak aih, kali pertama sebagai budak yang di cop “baik” di sekolah kena berdiri atas kerusi. Wah! Tapi itu boleh tahan lagi, 4/5 daripada kawan-kawan sekelas yang lain di denda junjung kerusi kayu dan berlari mengelilingi kawasan sekolah yang boleh tahan jugaklah luasnya.Malah sepupu penulis, Siti telah tersepak batu semasa berlari dan terjatuh. Akibatnya, kain sekolahnya koyak dan lututnya berdarah, maklumlah batu lada. Tapi lari tetap kena lari. Entah berapa pusingan penulis pon tak berapa pasti, yang jelas agak lama mereka diluar dan kembali ke kelas hampir tamat masa ustaz. Sebelum masa tamat ustaz memberikan beberapa peringatan untuk kami. Dan menghantar tugasan.

Itu antara apa yang kami tempuhi setiap hari menjadi pelajar SRIPS selama 6 tahun. Denda diberikan sebagai didikan supaya lebih berdisiplin. Rotan adalah rencah harian jika sering melakukan kesilapan dan kenakalan. Dalam didikan guru-guru yang sangat ikhlas. Dan ustaz Rospanizam juga telah tiada. Allahyarham telah kembali kepada Penciptanya ketika penulis di tingkatan 3 (seingat penulis) iaitu 3 tahun selepas penulis meninggalkan SRIPS. Sesungguhnya ustaz telah mengajar kami tentang sirah, kepayahan dan keperitan baginda Rasulullah. Dan ustaz memberikan kami praktikal (melalui denda) secara tidak langsung supaya kami lebih menghargai. Terima kasih ustaz. Al-Fatihah.

Penulis tahu, ustaz adalah seorang pejuang agama ALLAH. Ustaz-ustazah yang lain juga berjuang dijalan ALLAH. Tak mudah untuk kekal di SRIPS, gajinya tidak cukup makan, Bukan senang nak hidupkan SRIPS, banyak mengharap ehsan masyarakat, dan terlalu payah nak mempertahankan SRIPS, terlalu banyak dugaan yang mendatang, acapkali berupa ancaman dan sindiran. Tapi ustaz-ustazah itu kekal berdiri di SRIPS dengan berani dan tabah! Subhanallah!

Dan kini, SRIPS juga telah tiada. Hanya bangunannya yang kekal. Insan-insan disisimya telah tiada, begitu juga dengan namanya.

Monday, December 7, 2009

SABAR (p.1)

Perkataan “sabar” di dalam Al-Qur’an.

Sabar merupakan semulia-mulia akhlaq Islamiyyah yang dianjurkan kepada setiap umat Islam. Sabar juga merupakan kunci kemenangan suatu perjuangan. Perkataan sabar banyak diulang di dalam al-Quran;

Al-Imam al-Ghazali di dalam kitab as-sabr wa as-syukr daru rubu’ al-munajiyat, dari kitab induknya Ihya’ U’lum al-Din: Allah Ta’ala telah menyebutkan kalimah sabar di alam al-Quran melebihi tujuh puluh tempat.

Al-Alamah Ibnu Qayyim di dalam Madarij as-Salikin, memetik daripada Imam Ahmad, katanya: Perkataan sabar di dalam al-Quran disebut melebihi sembilan puluh tempat.

Abu Talib al-Makki di dalam kitabnya : Qut al-Qulub, telah memetik dari sebahagian ulama’, katanya: Manakala satu perkataan yang melebihi kalimah sabar, sesungguhnya Allah Ta’ala telah menyebut tentangnya melebihi sembilan puluh tempat.Dan kami tidak mengetahui sesuatupun yang disebut oleh Allah sebanyak ini melainkan kalimah sabar.

Di dalam Al-Mu’jam al Mufahris li Alfaz al-Qur’anul Karim di bawah tajuk
( ( صبرdengan segenap pecahannya menuliskan di dalam al-Qur’an terdapat sebanyak lebih dari seratus kali sebutannya.

Perkataan sabar disebut sebanyak 115 kali di dalam 102 surah di dalam al-Quran. . Berdasarkan pernyataan-pernyataan di datas dapatlah disimpulkan bahawa perkataan sabar banyak disebutkan di dalam Al-Qur’an. Ini jelas menunjukkan kepentingan dan kedudukan sabar kepada orang mukmin adalah terlalu berat dan penting dalam menkjalani kehidupan seharian.

Pengertian sabar

Sabar dari segi bahasa membawa maksud menahan dan tidak bertindak, yakni diam dan tidak melawan. Allah berfirman:


“ Dan bersabarlah engkau bersama-sama orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, mereka menginginkan keredhaan Tuhan mereka dan janganlah engkau hindarkan pemandangan dari mereka”
(Al-Kahfi: 28)

Maksud sabar di sini ialah : Tahanlah (teguhlah) hatimu bersama mereka.


Sabar dari sudut istilah ialah هو ترك الشكوى من ألم البلوى لغير الله الا الله yang bermaksud, tidak mengadu kepada sesama manusia di atas segala sesuatu yang menimpa dirinya, kecuali kepada Allah s.w.t.

Menurut Dzun Nun al-Mishri, sabar adalah menjauhi hal-hal yang bertentangan, bersikap tenang ketika menelan pahitnya cubaan, dan menampakkan sikap kaya dengan menyembunyikan kefakiran di medan penghidupan. Menurut Ibnu Atha’, yang dimaksudkan sabar adalah tertimpa cubaan dengan tetap berperilaku yang baik.

Menurut Amr bin Utsman, sabar adalah tetap bersama Allah s.w.t dan menerima cubaanNya dengan lapang dada dan senang hati. Ibrahim al-Khawwash mengatakan sabar adalah konsisten terhadap hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah.

Abu Muhammad Ahmad Al- Jariri mengatakan sabar adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang tenang, sedang yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi cubaan dengan mendapatkan beratnya ujian.

Sabar adalah tidak mengeluh kerana sakitnya musibah yang menimpa kepada selain Allah, tetapi jika mengeluh kepada Allah tidak apa-apa keran Allah memuji Ayyub a.s dengan firmanNya, “ Kami mendapatinya sebagai orang-orang yang sabar,” Padahal beliau berdoa kepada Allah untuk menghilangkan musibah yang menimpanya seraya berkata,


“ Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru tuhannya,’( Ya Tuhan-ku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua Penyayang’,” (al-Anbiya’: 83)

Diketahui jika seseorang hamba berdoa kepada Allah untuk menghilangkan musibahnya tidak mengurangi kesabarannya.




Berdasarkan takrif sabar yang telah dinyatakan di atas dapatlah difahami bahawa sabar adalah menerima segala yang ditetapkan Allah, baik dalam bentuk arahan, larangan, nikmat atau musibah yang menimpa diri seseorang dengan hati yang tenang dan mengembalikan semuanya kepada Allah. Di samping berusaha untuk mencari penyelesaian yang sesuai berlandaskan syariat Islam.

Monday, November 9, 2009

Alhamdulillah..erm,(natijah terendah di UTM)


Dengan nama ALLAH, Maha Pengasih, Maha Penyayang,..

Alhamdulillah, hari ini di saat sebahagian sahabat masih bertempur dengan imtihan, kami pula mencapai keputusan perjuangan di sepanjang semester ini. Segala puji bagi Allah yang mentakdirkan segala sesuatu dengan hikmah, tak pernah takdirNYA berlalu tanpa sebarang pengajaran dan kasih sayang.


Natijah kali ini adalah yang terendah diperolehi sepanjang 5 semester berada di Bumi UTM. Walau hanya satu subjek sahaja yang didaftarkan semester ini, ia membawa 8 krdt. Cukup banyak untuk menentukan PNG seseorang pada semester ini . Tiada yang dapat membantu, hanya satu subjek..maka itulah segala markah yang diperolehi, dan itulah keputusannya. Alhamdulillah..Gred A- yang berjaya diperolehi menyebabkan PNGK menurun sebanyak 0.03 daripada PNGK semester lalu. Allahu Rabbi, Dia yang Maha Kaya, Maha Kuasa menentukan segalanya.


Subjek yang didaftarkan adalah SPA 3008 – Latihan Mengajar

****

Mengingat kembali detik perjalanan semester ini, setiap hari bagaikan imtihan. Walau tanpa tugasan khusus subjek yang asyik membelit diri seperti semester lain, tapi kali ini terasa lebih mencabar. Berhadapan realiti sememangnya tak selancar teori. Mulanya memang amat menitik beratkan penyeliaan yang akan dibuat oleh pensyarah pada bila-bila masa sahaja (on d spot exam), tetapi akhirnya itu sudah tak menjadi main point lagi, sebaliknya bagaimana untuk “menang” dalam realiti yang kami tempuhi, itu lah yang menjadi titik penting hala tuju di masa akan datang.


Berhadapan dengan penyeliaan pensyarah, itu satu imtihan. Berhadapan dengan penyeliaan guru pembimbing (kadang-kadang on the spot juga) adalah hal yang kedua. Tapi, hal utamanya adalah setiap hari perlu turun berhadapan dengan pelajar. Bersediakan seorang guru menangani sekurang-kurangnya 30 orang pemilik hati (pelajar) di dalam kelasnya? Mampukah seorang guru mengawal peribadi mereka dan melancarkan pengajaran..erm, kadang kala, berhadapan dengan pensyarah atau guru pembimbing lebih mudah berbanding berhadapan dengan pelajar.


Skinner (1969), mengatakan “teacher fail not because of any human limitations, but because they are not prepared to manage students behaviours..”


Setiap kali melangkah memasuki kelas, hati sudah mulai mencongak-congak situasi yang bakal berlaku di dalam kelas nanti. Banyak perkara yang di luar jangkaan yang boleh berlaku secara tiba-tiba. Apakah nada yang perlu digunakan? Rendah, sederhana atau tinggi? Pernah ana menghadapi kesakitan kerana terpaksa menyaringkan suara melaung para pelajar yang berkejar-kejaran tidak mempedulikan guru di hadapan. Semuanya perlu bersedia, jika tidak mahu menjadi guru yang gagal. Apa yang perlu dilakukan jika:


- Setelah guru meminta pelajar membuka buku masing-masing, seorang pelajar menjawab, “saya memang malas cikgu, saya tak bawak buku”

- Setelah guru meminta bantuan pelajar menghidupkan suis kipas, pelajar menjawab “buat sendiri la cikgu.”

- Guru masuk dan berdiri di hadapan kelas, pelajarnya berkejaran dibelakang kelas, ada yang berbual-bual, seolah-olah guru itu makhluk ghaib yang tak kelihatan.

Apa yang perlu dibuat?


“ Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”


Inilah “azimat” yang menjadi penguat, kekuatan dan ketabahan ana. Ayat ini mengajarkan kaedah terbaik dalam proses menyeru. Mungkin ketegasan itu perlu tetapi, ketegasan yang keterlaluan kerapkali memantulkan respon yang negatif, lalu pendekatan yang bersederhana perlu diambil. Tegas dan bertolak ansur. Setiap pelajar mempunyai “cerita” dan situasi yang tersendiri, jadi pendekatan terhadap setiap pelajar juga berbeza mengikut apa yang terbaik untuk mereka.


Itu masalah umum yang dihadapi setiap guru.

********


“kita perlu menghormati ibubapa kita, ibu melahirkan kita, bersusah payah membesarkan kita, dari kecil sehingga dewasa. Ayah pula bekerja keras menyara kita sekeluarga, berhujan panas demi anak-anak. Oleh itu, sewajarnya kita menghormati ibubapa kita”, ana menyimpulkan topik berbakti kepada ibubapa.


“Tapi ustazah…mak saya yang buat semua, jaga kami, bekerja, ayah saya tak buat apa pon…duduk rumah saja, semua mak yang buat! Mak yang bekerja! Bayar yuran, makan minum! ” seorang pelajar membantah. Ana diam dan tersenyum. Otak ligat berfikir untuk mencari kata-kata yang sesuai. Hm, inilah cabarannya, sebagai seorang guru yang mengajar pendidikan Islam. Benar! Islam itu indah, namun kadang-kadang keindahannya kabur oleh perbuatan penganutnya. Bukan mudah menjernihkan kembali hati seorang remaja yang sudah sangsi dengan nilai yang sepatutnya diamalkan. Dia seoalah ingin berkata, tak perlu lah hormat ayah sebab emak yang buat semua!


Pengalaman setiap daripada pelajar yang duduk di dalam sebuah kelas amat berbeza. Latar belakang yang berbeza menyebabkan pola pemikiran mereka juga berbeza. Pemahaman mereka juga berbeza. Ana bukan berbicara mengenai mengajar untuk mereka lulus peperiksaan, pastilah ianya sama kerana ia mempunyai skema tersendiri, tetapi nilai! Ustazah Rokiah (seorang ustazah di sekolah ana, juga ibu kepada seorang sahabat ana) ada mengatakan, bahawa kita mengajar pendidikan Islam bukan untuk pelajar lulus peperiksaan, tetapi penghayatan dan nilai! Itu yang utama!


Jadi, setiap kali melangkah ke kelas, berhadapan dangan pelajar, pasti dada berdebar-debar. Janganlah muncul situasi yang tak mampu untuk dihadapi, kerana ana bimbang benar tersilap menghuraikan sesuatau keadaan atau pertanyaan yang diajukan. Bimbang tidak mampu memurnikan apa yang dikusut masaikan oleh pengalaman pelajar itu sendiri. Dan, tak kira lagi topik yang pelajar suka melencong!

- Topik beriman kepada Allah yang diajar, pasal gitar yang ditanyakan.

- Topik Isra mikraj yang bincangkan, soal malaikat mengajar sihir yang dibangkitkan.

- Topik Allah Maha Mendengar yang disebutkan, bab solat istikharah, dengan dua salam yang diajukan soalan.

- Topik tayammum yang diajar, hal nyanyian pula yang dibisingkan.



ILMU! Seorang guru mestilah seorang yang berilmu. Bukan hanya didalam bidangnya tetapi merangkumi hampir keseluruhan bidang. Ini disebabkan setiap patah yang diajarkan berkait rapat dengan seluruh kehidupan. Apatah lagi belajar agama, ia bermaksud belajar mengenai kehidupan. Jadi ilmu perlu dipertingkatkan setiap masa.



Imam Al-Baidhawi ada menyebut ;” pendidikan itu adalah menyampaikan sesuatu secara peringkat berperingkat” dan itulah yang cuba dipraktikkan. Mengajar mengikut peringkat pelajar. Menjawab juga mengikut peringkat pelajar. Semuanya tertumpu kepada pelajar. Mengikut kemampuan dan keselesaan mereka untuk belajar. Semua untuk pelajar.



Dan demikianlah, penyeliaan pensyarah, penyeliaan guru pembimbing menjadi kurang penting lagi (masih juga diberi perhatian). Perkara terpenting adalah pelajar, penghayatan dan nilai yang perlu diterapkan kepada mereka.

********



Sejujurnya ana sedih menerima keputusan semester ini, kerana sepanjang 5 semester berada di bumi UTM, pointer sebanyak 3.67 ini adalah yang terendah pernah ana perolehi. Jika ini berlaku di semester lain, tentunya ana sudah meraung kegeraman pada diri sendiri yang lalai dan leka dari pembelajaran. Akan tetapi kali ini ana menerima dengan terbuka, dan puas hati! Gembira dengan usaha yang telah dilakukan selama menjalani latihan mengajar ini. Cukup puas hati. Dan ana tahu banyak persediaan lagi yang diperlukan untuk menjadi guru terbaik. Pengalaman dan pengajaran yang ana perolehi setiap hari berhadapan dengan para pelajar jauh lebih bernilai lagi. Jadi, ana bersyukur dengan keputusan ini. Alhamdulillah..syukran ya ALLAH, atas hikmah yang Engkau berikan.



Buat sahabat-sahabat ana yang mendapat gred A, TAHNIAH, entum/na semua dapat PNG 4.00 semester ni. Bukan mudah menjadi guru yang baik, apatah lagi menjadi yang terbaik. Teruskan usaha menjadi yang terbaik. Syabas!



*********

The task of excellent teacher is to stimulate “apparent ordinary” people

To unusual effort.

The tough problem is not in identifying winners ;

but it is in making winner out of an ordinary people

-K. Patricia Cross

Saturday, November 7, 2009

:: Kasih Infiniti ::



Sehangat kasih bonda yang
melahirkan dengan seribu satu kesakitan,
membelai dengan sejuta rasa cinta dan pengorbanan

Setulus kasih ayah yang
membesarkan dengan sebuah harapan
agar menjadi seindah-indah kejadian tuhan..

Tiada balasan yang dipinta
segalanya jujur belaka
andai terluka dan terlanjur di rimba dunia
ayahandabonda tetap sedia
menyambut kembali tangan anaknya,

Begitulah kasih Ayahanda bonda mententeramkan jiwa..
Kasih ini membahagiakan.

****************

Menggunung sayangnya Baginda
Pesuruh Yang Esa
berpenat menderita,
demi
menyampaikan pesan pada umatnya
mudahan tidak terjebak ke lurah neraka..

Walau terhina tetap setia
hingga hujung nafasnya
tak henti membimbangkan umat tercinta

Begitulah kasih Rasulullah terhadap umatnya..
Kasih ini menyelamatkan semua.

*****************

Sedutan udara tiap saat
lambang kasih Illahi
diberikan kesenangan tanpa pembayaran
Bahkan, Illahi Rabbi menyediakan
sebuah janji kejayaan
buat yang mahu BerIman,

Begitulah kasih ALLAH pada kita
membuka pintu taubat sehingga ke Akhir usia dunia..
Kasih ini infiniti..

****************

Sedarkah kita,
bahawa ALLAH memberikan kasihnya dengan berbagai cara?
Seluas Rahmat Tuhan Yang Esa,
Dia menciptakan
dan mengurniakan
rasa kasih yang tidak terhingga kepada
Ayahanda dan bonda..
yang membantu kita saban masa,
Dia juga memberikan kita
peluang menjadi umat kekasihNYA..
merasai indahnya Hidayah Agama atas keringat dan usaha Baginda,

Tika Dia menguji,
kita bersandar di dahan kasih ayahbonda,
rupanya itu juga adalah kasihNYA
yang mengurniakan cinta dihati mereka pada kita..

Ya ALLAH....
KasihMU infiniti Ya ALLAH...
Selamanya..

4:47 pm
7 Nov 2009

Friday, November 6, 2009

Fizikal Rasulullah s.a.w

Ali bin Abi Talib menggambarkan ciri fizikal Rasulullah s.a.w : "postur tubuh Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Baginda memiliki perwatakan yang sedang dibandingkan kaumnya. Rambut baginda tidak terlalu kerinting dan tidak lurus terurai. Baginda berambut ikal, tidak gemuk dan wajah baginda tidak terlalu bulat. Kulit baginda putih kemerah-merahan.

Baginda memiliki bola mata yang hitam pekat, bulu mata yang lentik serta bahu yang lebar dan tidak berbulu. Dada baginda berbulu. Telapak tangan dan kaki baginda tebal. Ketika berjalan, baginda seakan-akan melangkah menuruni tanah yang landai. Ketika menoleh baginda (berbalik) dengan seluruh badan. Antarakedua bahu Baginda terdapat tanda kenabian. Baginda adalah nabi terakhir, manusia yang paling lapang dada, ucapannya paling mudah dipercayai, karakternya paling lembut dan cara bergaulnya paling mulia.

Sesiapa pun yang pertama kali melihat Baginda, pasti segan tetapi orang yang telah lama bergaul dengan Baginda pasti mencintai Baginda. Sesiapa pun yang cuba menggambar karakter baginda pasti berkata: " Aku tidak pernah melihat seorang pun yang sama seperti Rasulullah s.a.w baik sebelum mahupun setelah baginda wafat." (riwayat al-Tirmizi, Ibn Sa'd dan al-Baihaqi)



*petikan daripada majalah Solusi

Monday, October 26, 2009

Yakin pada Allah..


Yakinlah kepada tuhan
Tidak semua yang kita rancang menjadi kenyataan
Kerana itulah fitrahnya
Atau tiba-tiba sahaja halangan mendatang
Kita harus percaya
Ini tidak bermakna berakhir segala-galanya
Dan akhirnya kita akan muncul di tangga teratas
Jadi biar apapun yang kita lakukan
Jangan mengalah!

Kita mesti teruskan usaha
Biar bagaimanapun hidup kita beredar
Kerana apa yang menanti kita di hadapan sana
Tiada siapa yang tahu
Kita harus percaya
Bahawa yang baik itu pasti akan menang
Dan tidak lama lagi
Ada sebab untuk kita bergembira
Jadi, biar apapun yang kita lakukan
Jangan mengalah!!


Petikan daripada;
Julia,
Abu Hassan Morad
Hadiah Sastera 1997

Thursday, October 22, 2009

Dengan Nama Allah

Dengan nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang, Tuhan sekalian Alam, tiada tuhan yang layak disembah melainkanNYA...

Malam ini, 22 November 2009 8:33pm dengan rasminya ana membuat post pertama di dalam blog ini. Semoga blog ini dapat berfungsi dengan sebaiknya mengikut landasan syarak. Mudah-mudahan ia merupakan perkongsian yang dapat mendatangkan manfaat bersama..Amin.