Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Sunday, June 9, 2013

All about?

Assalamualaikum..

Semoga Rahmat dan Kasih sayang ALLAH mengiringi setiap langkah kita semua. Dah lama penulis tidak meng'update' blog. Kekangan masa mungkin menjadi faktornya. Adakalanya idea timbul, namun dek kesuntukan akhirnya ia tenggelam semula. Terkubur di dasar hati. Elok juga begitu, mudahan apa yang tersimpan itu lebih baik tersimpan, kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk dicurahkan.


i - Sekolah
Cuti sekolah dah tamat. Esok (Isnin 20 jun 2013), penggal kedua akan bermula semula. Pelbagai rasa menyerang diri. Gembira, suram dan gementar bercampur baur. Sedar tak sedar, setahun sudah berlalu, setahun sudah menyandang gelaran cikgu.


ii - Hari Guru
Hari Guru yang lalu, disambut 21 Mei disekolah, penulis dapat hadiah juga. Memang di luar jangkaan. Terutamanya si kecil itu, yang menghulur Teddy bearnya untuk cikgu ustazah! Seriously, memang terkejut. Alhamdulillah~~ rezeki, tapi itu juga ingatan bahawa prestasi perlu sentiasa diperbaiki. Okay, cikgu..go..go.. ^_^


iii - Pelbagai

Terlalu banyak perkara yang dilalui dalam kehidupan seharian. Baik dalam menjalani profesion keguruan, baik ketika menyandang jawatan seorang sahabat dan kawan, atau ketika memangku jawatan anak,kakak dan adik, bahkan ketika jawatan merangkum housemate. Jawatan dan watak yang paling utama mestilah sebagai seorang MUSLIM,.. dan saidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata, "Man qola la Ilaha illallah, fahuwad Daie"..
Maka, watak utama itu mestilah sebagai seorang MUSLIM dan DAIE.


Berat? Ianya satu kesyukuran, kelapangan dan anugerah yang tidak terhingga ketika dilahirkan, ditentukan lahir sebagai muslim. Lahir dari rahim seorang ibu yang muslim. Apatah lagi jika lahir dalam keluarga yang mengamalkan Islam sepenuhnya. Oleh itu, mana mungkin watak muslim itu dijadikan alasan beban, bahawa ianya berat. Begitu juga tika mencecah gelaran Daie. Muslim tidak berat dan tidak lelah menjadi Daie. Ianya satu ruang memperoleh ganjaran. Daie itu perilakunya subur dengan iman dan Islam. Jadi dakwahnya adakala bukan pada lisan yang petah berbicara, tapi jua pada amal yang sederhana tapi istiqamah dan indah menepati fitrah manusia. Ya, FULLTIME MUSLIM + FULLTIME DAIE.


Namun, semestinya ia tidak semudah mencoretkan garisan lurus di atas kertas putih. Ada sejarah dalam kehidupan ini, sirah kehidupan yang perlu dibaca. Diteliti dan dihayati. Luka dan duka dalam menghadirkan muslim. Pengorbanan dan perjuangan dalam menyebarkan dakwah. Rintangan untuk menapis dan mengenalpasti siapakah DAIE yang sejati. Menilai erti hidup yang sebenar, adakah jelas matlamatnya atau masih terkapai-kapai diusik musuh yang sentiasa mengintai-intai.


Dan Maha Penyayangnya Allah..yang mengiktiraf hanya ISLAM sebagai deen-Nya, mengirimkan utusan untuk menyampaikan kalam, petunjuk dan penawar kepada hambaNya. Huda & Syifa' . Panduan hidup yang lengkap, kitab AL-Quran sebagai sandaran perjalanan yang penuh liku. Dilengkapkan pula dengan al-Hadith, yang menepati setiap fitrah manusia. Dan warisan kenabian kepada para sahabat, tabi'en dan seterusnya.


Dan, DIA lengkapkan kehidupan ini dengan kasih sayang. Keluarga dan Sahabat. Jamaah dan tanzim. DIA tetapkan bahawa perjuangan itu perlu berjamaah kerana sahabat itu adalah sebahagian daripada kekuatan. Dan kasih sayang itu adalah pemula dan pembakar obor perjuangan. Perasaan memiliki dan dimiliki itu adalah kekuatan yang sangat dalam. Dicintai dan mencintai itu adalah keteguhan. Maka, disisi suami itu ada isteri dan anak-anak yang membentuk jaringan kasih sayang. Generasi Rabbani pencinta Rasul.

Serta, perjalanan itu perlu perancangan yang panjang serta mesti diwariskan.. ^_^


Lengkap. Satu sistem hidup yang cantik dan indah. Ujian dan rintangan yang sudah disediakan ubat dan penawarnya. Kekosongan jiwa yang telah dinyatakan pengisinya. Subhanallah, apa lagi yang tidak cukup, yang masih kurang? Tinggi meluas benar rahmatNYA.


Mari, doakan agar hati penulis, dan hati kita semua, akan kekal mensyukuri nikmat Islam ini sehingga ke hembusan nafas terakhir. Dan mari, kita doakan agar kita semua tekal berusaha menjadi muslim yang sentiasa baik, semakin baik hari demi hari. Dan terusan berdoa agar kita dapat tergolong daripada kalangan pejuang tabah dan sabar dalam ujian dan rintangan dunia. Dan tetaplah berdoa untuk menjadi golongan yang syahid di jalan-NYA. aMEEn.

Ya, ALHAMDULILLAH..Syukur, Aku Muslim!


p/s: Kembali ke sekolah dengan tenang. W/pun ada risau jugak JPN nak datang. Huhuhu ^_^

Anak-anak murid ni, masih ingat ke apa yang ustazah ajar lepas berminggu-minggu cuti?

************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”


Saturday, December 29, 2012

Hati itu..


I

Diam dan sunyi di rumah batu. Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar  tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika perasaan kuat, pasti dapat bertahan.

Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.

Dalam resah gelisah, rupanya banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah ketenangan hilang dengan mudah...

Atau sebenarnya, hati memberatkan pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu diteruskan.


II

Ketika tiba, benar, demam kebah dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu. Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara. 

Dan antara ubat yang terbayang mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan. Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.

Allah, dan diri ini masih lemah. Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah disetiap ujian yang menyapa. 

Merenung diri sahabat, terasa hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri. Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T


III

Maka, hari akan terus dilalui. Dan kekuatan dipohon lagi.

Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa kecilku
Lindungilah mereka dari ujian dunia
Dan berikanlah kepada mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam golongan yang mendapat redhaMU
Amen...

Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka dengan iman
Dan pimpinlah mereka menuju jalanMu yang lurus...

Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah dalam ujianMU
Redhailah mereka dan berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..


Dan, bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.


 




************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Wednesday, December 26, 2012

Antara



Januari semakin hampir, bermakna sekolah dan sesi pengajian akan bermula dengan segera. Sekolah akan dibuka. Pembelajaran akan bermula. Tugas yang tertinggal semasa bercuti akan disambung segera. Terdapat pelbagai perkara yang perlu diuruskan dan juga disusun atur semula. Ya, sekolah bukan tempat pengajaran semata. Ia juga sudah menjadi pusat dokumentasi dan rekod.

Anak-anak murid yang ditinggalkan. Mereka yang punya pelbagai ragam akan ditemui kembali. Nilai dan ciri pendidikan mesti terus disematkan agar mereka sekurangnya dapat menjalani kehidupan sebagai seorang insan dengan baik. Baik pada jiwanya, baik pada zahirnya. Dan baik itu bukan diukur pada neraca fikiran manusia semata, ia perlu berlandaskan syariah dengan sebenar-benarnya. Ianya sebuah perjuangan yang perlu diteruskan selagi ada yang bergelar manusia. 

Ada sahabat yang telah pulang awal ke sekolah. Demi menggalas tanggungjawab yang diberikan, perlukan persediaan yang rapi supaya prosesnya nanti dapat berjalan dengan selesa. Status mereka di FB juga turut meransang semangat untuk kembali bersedia.



Antara yang telah kembali...

Cuma, kali ini hati ada yang terbelah bahagi. Ada semangat, tapi masih perlu diperkuatkan lagi. Melihat keadaan ayah yang masih perlukan sokongan dan bantuan untuk berjalan. Malah mak juga yang semakin kurang upayanya. Hati bagaikan tak sudi melangkah untuk kembali ke sana. Asasnya mudah dan jelas, hanya tinggal emak, ayah dan adik sahaja di rumah. Adik akan mulai pengajian semula hujung bulan ini sementara menanti keputusan peperiksaan. Situasinya, agak payah untuk proses kehidupan seperti sebelum ini berjalan. Ayah masih perlukan rawatan susulan dan emak memang tak boleh tinggalkan ayah. Abang,kerja...dan banyak tanggungjawab lagi. Anak-anak lain semuanya di perantauan.

Allahu Akbar!! Adakah terlalu bimbang pada ketetapan sebuah taqdir? Bukankah ALLAH masih ada walau apa jua keadaan dan tempat? Astagfirullah...ya, keyakinan itu masih ada. Namun, maaf...sebak dan sedih itu tak dapat disisa.

Jadi, pergi tetap pergi kerana tugas dan tanggungjawab yang menanti. Meskipun sebenarnya terasa bagai meninggalkan satu tanggungjawab yang amat berat di sini. Kadang-kadang tak pasti jika akur itu adalah satu-satunya jalan yang wujud. Oleh itu, kita usahakan juga, walau tak pasti bila keputusannya. Kalau ada pilihan, tentu jawapannya ada. Akan tetapi bila tiada pilihan, apa yang ada hanyalah terpaksa. Namun, terpaksa itu biarlah ikhlas jua. Mudah-mudahan, Allah terima akan amalnya. Ameen.

dan...
 
Untuk pertama kalinya, menitis airmata mereka.

Ya Allah, ampunilah dosa mereka..berikan mereka kehidupan yang Engkau redhai di dunia dan Akhirat. Ameen.

[ somewhere and somehow, tears become a part of my strength]


p/s: Anak kunci Syurga di depan mata perlu ditinggalkan....T_T

************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”


Friday, October 19, 2012

enTitled




Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Penyayang..
Ya ALLAH, pada hatiku yang berbisik, pada lisanku yang berbicara, dan pada jariku yang menulis, moga Engkau ampunkan khilaf yang hadir padanya.


“Surprise is nothing coz it is just something new, but the everything is about how you endure it to be in the right way that it should be”

Tak semua orang berpeluang mengecapi nikmat Islam dan Iman. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang bukan beragama Islam, dan ada juga yang dilahirkan dalam keluarga Islam namun bukan yang mengamalkan Iman dalam kehidupan. Dua nikmat yang terbesar ini, sewajarnya disyukuri dan dihargai sepenuhnya oleh umat Islam.

Mungkin kita lahir dalam keluarga Islam, dan mengamalkan Islam itu serta menekankan iman. Itu nikmat yang tiada galang gantinya. Namun, masih ada yang lahir dalam Islam, namun masih teraba-raba mencari makna Islam itu sendiri, bahkan teraba-raba mencari erti kasih sayang yang hilang di tengah jalan. Mereka hidup dalam keuzuran, hidup dalam perjalanan yang payah, sepi dan sunyi. Tabahnya mereka berjalan dengan sendiri meski gelap pekat di depan. Mereka terus berjalan walaupun tidak tahu di mana arah tuju yang sebenarnya, apa yang mungkin mereka temui, semuanya hanya andaian yang nyaris tidak pernah wujud dalam fikiran.

Melihat mereka, meruntun jiwa. Senyum manis anak-anak muda yang tenang dalam kesempitan cinta. Bukan salah mereka jika tersasar dari jalanNya..namun, itu adalah salah KITA SEMUA, yang masih merasa diri sendiri penuh duka, sedangkan berbanding mereka, sudah tidak terkira betapa jauhnya beza nikmat yang ALLAH kurnia.

Dan Allah kini membukakan jalan nasr-Nya, bersama tanggungjawab yang semakin membukit. Mari mempersiapkan diri walaupun pasti ada kejutan pada hari demi hari yang perlu dilalui. Kejutan bukanlah apa-apa kecuali sesuatu yang baru, perkara yang menjadi segala-galanya adalah bagaimana kamu menghadapi kejutan itu dan meletakkannya di tempat yang betul seperti apa yang sepatutnya ia berada…

p/s: I’m moving now…and I’m very happy coz ALLAH gives me this opportunity. Alhamdulillah. ..Mohon kekuatan dari ALLAH untuk meneruskan ketabahan di perjalanan ini..^_^
*******************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Sunday, September 30, 2012

Seiring Sehaluan



Merindui-Mu,
di ruang kamarku yang lengang,
hamparan nipis yang mengalasi
dengan irama alam
mengisi ruang minda

Siang semakin panjang
dengan malam semakin kehilangan
lelap dan lena
bagai tak terasa..

Sesungguhnya Allah meletakkan seseorang itu
ditempat yang kena pada kemampuan
kerana Dia tidak memberati
bahkan sentiasa menyayangi..

Dikeseorangan ini
aku masih pasti pada janji-MU rabbi
menunggu dengan yakin
kemenangan,
dan tegar terus diperjalanan..

Doaku agar rindu ini
sentiasa bertamu untuk menemani...

Ameen..



 p/s: always missing "ukhwah" between sahabah. Moga jadi pengubat rindu dan penawar sepanjang jalan dakwah ini. Ameen


*******************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Tuesday, November 29, 2011

Ulang "Hijrah"..?

Aku berlindung dengan-Nya daripada Syaitan yang direjam. Dan kumulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


1 Muharram 1433H.


Permulaan yang baru untuk tahun yang baru. Mungkin. Sesiapa yang mahu memperbaharui azamnya dan mengislahkan kehidupannya hanya kerana ALLAH, tanggal 1 Muharram boleh menjadi titik permulaan yang baru. Dan begitulah setiap tahun, ma’al hijrah disambut dengan doa dan taubat, ingatan dan harapan serta keazaman untuk menjadi lebih baik dalam menyusuri sebuah laluan yang digelar kehidupan.


Tahun ini, 1 muharram disambut dengan menjejakkan kaki ke kedai buku. Dengan membonceng dibelakang seorang sahabat, akhirnya sampai juga ke BADAN yang terletak di Angsana. Ramai sangat orang pada hari itu. Ruang BADAN yang agak besar itu seakan menyempit dan agak sesak. Tujuan utama penulis tidak lain dan tidak bukan ialah mencari semula ma’thurat kesayangan yang telah hilang. Sudah banyak ma’thurat yang menggantikannya tetapi gagal memuaskan hati penulis. Yalah, kebiasaan menggunakan ma’thurat tersebut sudah lama sehingga sudah kembang-kembang dek tertimpa hujan ketika di program-program dan kem. Akhirnya ma’thurat yang di kelek ke sana ke mari itu entah kemana hilangnya. Agaknya tertinggal dimana-mana. Jadi, penulis berusaha mencarinya di kedai-kedai. Mahu yang sama juga, patennya, isi kandungannya dan sebagainya. Tetapi masih gagal dijumpai. Alang-alang ke BADAN semua kitab ma’thurat yang ada dibelek untuk mencari idaman kalbu.


Mata yang liar mencari akhirnya menangkap sebuah buku yang bertajuk “Hari-Hari Dalam Hidupku” karya Zainab al-Ghazali al-Jubaili. Sudah lama buku ini dilihat di rak buku sahabat-sahabat, dan dibaca secara pinjam-pinjam. Kini, peluang untuk memiliki sudah ada dan sudah tentu membacanya lebih bahagia nanti (nota: bahagia kerana dapat menggaris, menconteng, highlight, melakar dsbnya kerana sudah jadi tabiat, buku pinjam tentulah tak boleh buat macam tu). Kemudian operasi mencari ma’thurat kegemaran diteruskan. Habis satu rak, ke rak yang lain, dan seterusnya. Hampir-hampir berputus asa kerana kebanyakan ma’thurat yang ada tidak sama. Adakah sudah tiada cetakan untuk ma’thurat kegemaran itu? Dalam keadaan yang sedikit kecewa itulah penulis akhirnya menemukan “buah hati” yang dicari. Alhamdulillah, semuanya sama kecuali warna kulitnya sahaja. Daripada ma’thurat yang berwarna kuning, kini penulis memilikinya dengan warna merah jambu. Tak apa, kerana yang dicari itu adalah keserupaan isi kandungannya bukan kulitnya.


Mujahadah juga di kedai buku. Untuk kali pertama mungkin, hanya 4 buah buku sahaja dibeli di BADAN. Harganya sekitar kurang RM50 (kebiasaannya 150++ kalau bajet untuk buku). Kali ini ada kepentingan lain yang perlu didahulukan.


Ulang baca, ulang jiwa, perbaharui iman.


Sehari, buku Zainab al-Ghazali khatam. Terasa tamparan yang hebat ke atas iman yang tercungap-cungap. Iman yang terluput sedikit demi sedikit kerana ketempangan istiqmahnya diri di jalan Allah SWT. Muhasabah yang dalam dan panjang. Malu yang amat sangat dengan lafaz-lafaz ingin menegakkan agama ALLAH tapi masih kecundang dengan kemalasan mainan syaitan.


Penulis bersyukur amat. 1 Muharram menemukan dengan suatu “ubat” yang menjentik hati untuk segera bangun. Bangun demi agama-Nya, demi baiah yang telah diberikan kepada Dia, Khaliq yang Maha Esa. Dan 1 Muharram tahun ini, menggariskan erti sekali lagi. Pada keazaman, pendirian dan keyakinan dalam perjuangan. Semoga ingatan daripada-Nya terus hadir menjadi pemangkin keimanan diri ini, menjadi azimat untuk kekal bertahan di jalan-Nya dan bertemu erti sebenar bahagia. Insya-ALLAH.


************************


Menggodek hard disk, file yang dinamakan sem 1 07/08..penulis menemukan ini. Syair tentang bahagia. Marilah sama-sama kita menghayatinya….

Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
untuk pemikiran yang benar dan kukuh
untuk akidah terbesar yang menyelesaikan
permasalahan alam yang lampau
persoalan yang disoal oleh orang yang tertanya-
tanya semasa mereka sedar dan cerdik boleh
berfikir


Dari manakah aku datang?
Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan?
Adakah aku hidup kembali?


Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
terusir segala keraguan yang degil
terdidiklah fikiran yang waras
terciptalah akhlak yang mulia
dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
hidupmu akan dikurniakan nilai
oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
supaya matamu memandang di segala ufuk
ke arah cita-cita yang tinggi


Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana'
kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia…”


~ Dr Yusuf Al-Qaradhawi~



*******************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”