Showing posts with label rindu. Show all posts
Showing posts with label rindu. Show all posts

Tuesday, April 29, 2014

Kembali nanti



Sepi di sini,
membawa langkah dan hala tuju sendiri,

Kumpulan berpecah pecah
bukan kerana berbalah
tuntutan hidup lebih memberati

pergi,
sepi,
dan cari..

Cari semula kumpulan kamu,
bina kumpulan yang baru
nanti tika kembali bertemu
kumpulan kita semakin ramai
dan semakin bermutu..


^_^

"ALLAH knows Best!!"



************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Friday, June 28, 2013

Semoga~~


Assalamualaikum...

Dalam hidup ini, jika kita terlalu mengejar kesempurnaan, maka kita akan jadi seperti pengejar yang berlari terus. Tanpa ada penghujung yang pasti. Kita akan jadi seperti seorang yang terlalu haus dan terus mencari minuman terbaik, sempurna. Kehausan yang boleh menyebabkan kita hilang pertimbangan dan tenggelam dalam dunia sendiri. Ya, tenggelam.

Sedangkan manusia diciptakan dengan kelemahan juga kelebihan masing-masing. Dan untuk kesempurnaan, manusia tidak boleh bersendirian kerana DIA menetapkan hati manusia itu memerlukan pasangan. Jadi, jika kita mencari kesempurnaan pada pasangan, kit
a tak akan pernah jumpa. Dia tidak sempurna, kita tidak sempurna, namun dia ada kelebihannya dan kita ada kelebihan kita. Itulah yang menjadikan hidup ini sempurna dalan nada dan gaya ketenangan kita.


i made this by myself, hoping it will cherish.. happy teacher day. Moga ALLAG berikan yang terbaik dalam perjalanan hidup ini. Ameen.


Baiklah, moga Allah memberkati kalian yang telah menemui pasangan masing-masing, Moga Allah temukan kalian dengan yang terbaik buat yang belum bertemu, dan moga Allah gantikan yang lebih baik buat yang pernah kehilangan, serta moga DIA isikan hati yang pernah tercuri dengan rasa ketenangan dan kebahagian yang jauh lebih indah dari segalanya. Ameen

p/s: Pesanan penting untuk diriku sendiri.. moga bermanfaan jua buat yang lain.

************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Saturday, December 29, 2012

Hati itu..


I

Diam dan sunyi di rumah batu. Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar  tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika perasaan kuat, pasti dapat bertahan.

Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.

Dalam resah gelisah, rupanya banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah ketenangan hilang dengan mudah...

Atau sebenarnya, hati memberatkan pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu diteruskan.


II

Ketika tiba, benar, demam kebah dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu. Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara. 

Dan antara ubat yang terbayang mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan. Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.

Allah, dan diri ini masih lemah. Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah disetiap ujian yang menyapa. 

Merenung diri sahabat, terasa hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri. Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T


III

Maka, hari akan terus dilalui. Dan kekuatan dipohon lagi.

Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa kecilku
Lindungilah mereka dari ujian dunia
Dan berikanlah kepada mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam golongan yang mendapat redhaMU
Amen...

Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka dengan iman
Dan pimpinlah mereka menuju jalanMu yang lurus...

Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah dalam ujianMU
Redhailah mereka dan berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..


Dan, bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.


 




************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Thursday, December 13, 2012

Seorang...




 Dengan nama ALLAH...


Seorang lelaki dan sebuah rumah. Pengunyahan kisah hidup seorang insan biasa yang telah lama saya ingin tulis. Ramai orang telah melalui hakikat menjadi insan ini. Seorang lelaki dan sebuah rumah, bukanlah tentang kisah cinta, walaupun sebenarnya ia benar-benar adalah sebuah kisah cinta yang dalam. Tapi, saya yakin, kunyahan ini tidak cukup hancur, apatah lagi lumat. Ya, hanya coretan mengenainya sahaja. Susah mahu mengunyah kisah yang cukup panjang dan dalam ini. Tunggulah suatu masa nanti. Hanya seorang lelaki sahaja, saya kira, mampu mengunyahnya dengan hadam. Bila dia juga telah sampai ke suatu “situasi” itu!


**************

Tiada pelajaran, tiada harta tinggalan. Lelaki itu hanya seorang lelaki biasa yang belajar untuk hidup sama seperti insan/lelaki lain yang juga lahir sama sepertinya. Apa yang disyukuri, dia lahir sempurna dengan segala kurniaan ALLAH, diberikan kesihatan yang kadang kala disapa ujian. Dia benar-benar seorang lelaki biasa dalam kelompok masyarakat yang biasa. Kerjanya membanting tulang seperti lelaki-lelaki lain. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Lihat dan dengar semua itu, memang terasa kebiasaannya.

Alah! Mari memudahkannya! Lelaki itu adalah seorang ayah, yang berusaha bekerja membesarkan anak-anaknya. Dia menyara atas bantingan tulang dan perahan keringat. Bertungkus lumus di bendang dan ladang, di sawah dan padang. Semuanya tempat berkampung demi rezeki dan nafkah. Dan dalam kedaifan hidup itu, seorang ayah tetap juga membina sebuah rumah, yang kadang kala bagai tak logik dipandangan mata. Rumah yang mungkin, kita lihat seperti biasa sebab kita benar-benar dah biasa, tanpa tahu betapa tinggi nilainya…

**************

Maaf. Sudah tak dapat mencoret lagi. Cukuplah dulu setakat ini jika masih ada ‘nanti’.

****************

Petang tu semua pakat jadi buruh binaan. Abang Own pegang kepala tiang konkrit 8 kaki tu, kami yang  berenam ni (K.Syikin, Nadia, kak long, Asyraf yang tingkatan 1 tu dan Aiman yan darjah 5 tu) pakat pegang bahagian tapak. Ya Rabbi! Memang berat tahap gaban kot! Tiang konkrit la. Huhu, nak buat bilik air belakang umah tu, untuk bilik orang sakit. Dulu,,,,masa ayah buat semua tu memang tak kacau kami pon. Buat sendiri saja. La ni sebab ayah dah tak boleh lagi, baru kami jadi kerahan tenaga semua. Tak terjangka kan! ALLAH…mesti ayah sedih dan susah hati tengok kami semua petang tu….tapi itulah hakikatnya, hidup perlu diteruskan. Moga ayah cepat sembuh semula. BUKAN untuk buat kerja lagi…cukuplah sembuh seperti layaknya insan tua yang biasa…Ameen.

Kesian jugak kat mak…

Alhamdulillah ‘ala kulli hal wa niqmah.

( Buat para pemuda : bila kita sibuk nk cari bidadari, mungkin dia ada di tepi.. tapi kita tak sedar siapa.. Cuma, ALLAH dah bagi yang jelas di depan mata..dua anak kunci syurga..pilihlah untuk pegang ia dengan seteguhnya)


**********

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Sunday, September 30, 2012

Seiring Sehaluan



Merindui-Mu,
di ruang kamarku yang lengang,
hamparan nipis yang mengalasi
dengan irama alam
mengisi ruang minda

Siang semakin panjang
dengan malam semakin kehilangan
lelap dan lena
bagai tak terasa..

Sesungguhnya Allah meletakkan seseorang itu
ditempat yang kena pada kemampuan
kerana Dia tidak memberati
bahkan sentiasa menyayangi..

Dikeseorangan ini
aku masih pasti pada janji-MU rabbi
menunggu dengan yakin
kemenangan,
dan tegar terus diperjalanan..

Doaku agar rindu ini
sentiasa bertamu untuk menemani...

Ameen..



 p/s: always missing "ukhwah" between sahabah. Moga jadi pengubat rindu dan penawar sepanjang jalan dakwah ini. Ameen


*******************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Tuesday, August 23, 2011

Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbir~~~


Tolong jangan datang

Sekadar untukmenyakitkan,

Walau tanpa sedarmu.

Hingga aku sesak

Lantas kerap aku lari

Agar kau tidak kelihatan lagi..


Bunyian unggas malam mengamit pendengaranku untuk menjadi lebih peka. Cenggerik yang berbunyi, desir-desir angin yang menyapa, menjadikan hutan di malam hari tidaklah sesunyi mana. Namun iramanya tenang sekali berbanding keriuhan malam di desa. Kakiku semakin lemah, terasa menggigil dan kesejukan yang teramat. Penat sudah mulai menguasai hingga akhirnya sudah tidak lagi sedar dimana ku berdiri.


Siang harinya, wajah datuk menyapa pandangan pertamaku. Ya, agaknya semalam datuklah yang membawaku pulang. Berjalan di hutan rimba seperti itu adalah kemahiran datukku. Abah pernah bercerita bahawa datuk sangat mahir dengan selok belok hutan belantara di pergunungan ini. Nenek pula tak sudah-sudah mengetawakanku. Katanya sikit sahaja berjalan sudah penat, gelap sahaja sudah takut. Bagaimana mahu menempuh hidup tanpa kemewahan dan tanpa kesenangan suatu hari nanti?


Bisanya biar ketemu harimau dahulu, baru pengsan, ini ngak..laju aja jatuhnya sedar-sedar sudah ke tanah..” ujar nenek sambil tersenyum kepadaku. Aku hanya membalas senyum. Malu juga bila pengsan begitu, Nampak benar lemahnya.


Jatuh itu biasa. Kadang-kadang kita capet bangat, tapi jangan ajarin diri untuk lari, jangan biasain jatuh..nanti jadi habit..” Giliran datuk menyapaiku. Aku angguk-angguk.


Seperti itu juga jangan lari dari masalah, tiada yang susah, ttiada yang mudah..hadapinya baru bisa selesai” Datuk menambah tuturnya. Mukaku kelat. Ya, benar kata datuk itu. Aku rasa datuk dan nenek tahu kenapa aku tiba-tiba sahaja ingin bercuti di kampungg bersama mereka. Masalah! Pandai benar nenek dan datuk membaca hatiku. Mungkin mereka cuma tidak tahu masalah apa yang aku hadapi..


Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbirnya, sebab itu pergaulan harus dijagain, di teliti, terutamanya dengan anak laki-laki,” Aku tergamam, nenek membaca hatiku bagai buku.


Malam itu, nenek dan datuk bercerita lagi, pasal kehidupan, pasal dongengan, pasal ketaatan dan pasal pegangan. Kata mereka, Allah jadikan kita dengan hati, yang merupakan suatu kekuatan bagi kita. Namun kadang-kadang hati juga jadi kelemahan. Apatah lagi jika gagal mentadbirnya. Cuma anehnya, kadang-kadang kita mampu menawan hati orang lain, tetapi kita juga tidak mahu mentadbirnya. Maka timbullah masalah seperti apa yang sedang aku hadapi ini.

Jagain akhlaqnya, pergaulannya..” itu pesan terakhir nenek ketika menghantarku di perhentian teksi. Aku mahu pulang hari ini. Mahu menghadapi masalah supaya mampu untuk ku selesaikan.


Perasaanku pada seorang teman membuatku buntu. Hatiku sudah ditawannya, tetapi dia tidak mahu mentadbirnya. Sedang, aku sendiri sudah menawan hati orang lain tanpa sengaja. Dan bila dimaklumkan, aku melarikan diri juga kerana tidak mahu mentadbirnya. Salah aku atau siapa dalam hal seperti ini?


"Barisan yang paling baik bagi lelaki ialah yang paling hadapan sekali dan barisan yang paling tidak baik ialah yang di penghabisan (paling dekat dengan barisan wanita) dan barisan yang paling baik bagi wanita ialah yang paling belakang dan yang sebaliknya ialah yang hadapan (yang hampir belakang lelaki)."

(Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa'I, Ahmad)


Aku sebak. Mungkin pergaulanku selama ini yang telah menjeratku ke lembah ini. Aku yang sering tersenyum riang di depan mereka. Aku yang melayan mereka dengan sebaiknya, hingga mudah sekali perasaan itu tumbuh di dalam hati. Sama seperti dia yang melayanku begitu, aku menganggap dia juga selesa denganku. Tidak terduga tiba-tiba temanku pula menjadi pilihannya, dan dia pula menyampaikan hasrat teman yang lain kepadaku. Aku sakit. Hingga aku lari jauh ke pergunungan itu, bertemu datuk dan nenek, mencari ketenangan di rimba yang menghijau.

“Tidak salah lelaki dan perempuan saling bantu membantu, Allah sendiri mengatakan bahawa lelaki yang beriman dan perempuan beriman itu adalah pembantu antara satu sama lain. Namun, batasannya tetap perlu dijaga. Hati mudah tertawan dengan kebaikan, mudah terluka juga kerana mentadbirnya kadang-kala perlu lebih daripada seluruh tenaga yang ada..” Usrah petang itu mengetukku berkali-kali. Aku lemah terus! Tapi aku tetap ingin bangun!



Jika tersenyum,

Biarlah pada tempat dan waktunya

Kerana aku enggan lari lagi

Bila hati tertawan tanpa tadbiran

Juga enggan menyakiti hati yang kutawan tanpa sedar

Namun tak mampu pula kumentadbirnya

Andai sayang simpanlah

Jangan pamerkan pada yang tiada kelayakan

Cukup-cukuplah dosaku menadahkan keriangan pada kesilapan

Moga-moga Allah ampunkan,

Jadi pedoman pada masa depan

Dan ditemukan dengan insan pilihan…

Yang menawan hati dengan tadbirannya jua..




P/s : Dalam ibadah juga kita di ajar agar menjaga pergaulan sebaiknya, apatah lagi dalam kehidupan harian.

***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”