Thursday, December 13, 2012
Seorang...
Friday, October 19, 2012
enTitled
Thursday, September 29, 2011
Ijazah Pertama

26 September 2011, tarikh yang menemui ketetapannya bahawa seseorang dan beberapa orang juga akan menerima penganugerahan ijazah pertama mereka. Dalam debaran mengenangi sepenuh jiwa akan setiap perjalanan sepanjang melalui pengajian, akhirnya hari itu tiba.
Kami berkumpul semula pada pagi itu, berbaris dengan segak dan berarak masuk. Satu demi satu aturcara program dilalui hingga giliran kami tiba juga. Dalam kegembiraan, sebak dan entah apa perasaan yang lain. Kesibukan dan kegelisahan., entah apa yang dilalui, ditempuh, kami selesai menerima ijazah pertama selepas empat tahun meneruskan pengajian di bumi UTM ini.
Bagaikan mimpi, apa yang berlalu terasa mudah pula meskipun sebelumnya terasa perit dan payah. Sakit dan susah. Tapi, bila kaki tetap cekal melangkah, dan tangan tabah menerjah maka hasilnya tetap adalah kepuasaan atas segala usaha yang pernah dicurahkan. Yang jatuh dan masih tertunggu pula bukan kalah, tp mereka masih lagi di alam ketabahan itu, sedang kami perlu bersedia untuk mencarik ketabahan pada situasi yang baru.
“Seperti orang lain, kami juga masuk ke sini dengan cita-cita untuk mendapat husnul khatimah, di Universiti, kami ingin mencapai yang terbaik dan bergraduasi dengan kepujian kelas pertama” Inilah antara tutur kata yang pernah penulis sampaikan di hadapan kelas. Penulis masih ingat, ketika tutorial Aqidah di semester pertama pengajian. Penyampaian dalam bahasa Inggeris itu agak tersekat-sekat tapi jelas pada maksud dan harapannya.
“Saya nak grad dengan 3.9 ke atas” Ini pula target penulis ketika berada di tahun empat semester pertama. Agak lambat azam ini ditanam sehingga ia agak lewat juga untuk direalisasikan. Alhamdulillah, kepujian kelas pertama tetap berjaya dirangkul walaupun tidak terrealisasi harapan yang kedua itu.
Melihat kepada situasi ini, penulis ingin menyatakan bahawa azam mestilah dilakukan sejak dipermulaan jalan lagi. Dan digilap dan di”panas”kan apinya dari semasa ke semasa. Bukan bererti azam di pertengahan itu tidak boleh, tetapi azam yang masih di awal perjalanan itu lebih segar untuk diingati dan direalisasi. Sedang azam dipertengahan jalan menuntut lebih banyak pengorbanan dan kepenatan untuk direalitikan.
Sebuah pesanan buat diri dan sesiapa yang masih di alam kampus. Pengajian di Universiti banyak peluang dan manfaatnya jika digunakan sebaiknya. Setiap peluang dan kesempatan mestilah direbut dan digunakan sebaiknya. Pada masa inilah sebenarnya, ruang keemasan untuk menggilap bakat dan kemampuan. Mengejar kebolehan dan keistimewaan diri, malah peluang untuk "memilih" jalan hidup yang terbaik. Menjadi mahasiswa cakna yang tahu halal dan haram, atau mahasiswa yang "buta" dengan akademiknya hingga buntu dalam kemahiran insaniah yang lain.
Menyertai persatuan dan aktiviti keilmuan + sosial tidak akan mengurangkan masa anda untuk menuntut ilmu, Kerana menyertainya juga sebenarnya anda sedang belajar! Belajar tentang manusia, tentang kehidupan! Belajar menjadi manusia yang tahu fungsi dan tugas dirinya, mengetahui apa itu perasaan dan keadilan, apa itu kebenaran dan kebatilan.
Penulis sendiri terlibat dengan aktiviti di kampus, malah di sekolah lagi. Di kampus antara kelab dan persatuan yang pernah melibatkan diri adalah Kelab Iqra, JKSK, PMI, IMPI, program-program motivasi dan kem di sekolah-sekolah, dan juga Global Outreach. Semua ini membantu mengenalkan dan menjadi pengalaman yang terbaik dalam proses pembelajaran.
Paling penting jangan jadi lokek untuk turun padang menegakkan kalimah ALLAH! Ihfazillah, yahfazik!
Apa yang paling penulis harapkan, adalah keistiqamahan diri dalam jalan yangtelah dipilih ini. Memohon agar thabat dalam kebenaran dan dijauhkan daripada penyimpangan serta penyelewengan. Jauh daripada takabbur dan sombong....Ameen.
sekalung TAHNIAH buat semua yang telah memiliki ijazah masing-masing. Semoga Ijazah yang diterima akan menjadi pemangkin untuk terus memberikan kebaikan dan manfaat kepada sekalian alam. InsyaALLAH.
Dan secebis ingatan buat Allahyarhamah Kak Hanan, Al-Fatihah.
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Thursday, September 15, 2011
Aidilfitri 2011
Insan-insan yang melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan hati sebagai magnet penyerap kebaikan, pasti ada pengijazahan yang diperolehi. Bagi insan yang sebaliknya pula, kesia-sian jugalah yang menjadi hamparan laluan mereka sepanjang Ramadhan. Keistimewaannya terlepas dan berlalu terus tanpa sebarang sisa tinggalan.
My Eid~~
Tahun ini, penulis menyambut Eid-Fitri sebagai salah seorang ahli keluarga yang sudah bekerja.
Bahasa mudahnya "kena bagi duit raya". Dan memang perlu melibatkan diri dalam urusan perbelanjaan hari raya, cuma dalam urusan yang melibatkan angka yang kecil. Yalah, kerja kecil-kecilan sahaja. Aim utama kerja adalah untuk menguruskan pembayaran dan belanja untuk majlis konvokesyen kali ini.
Rezeki yang melimpah, penulis berpeluang untuk pulang berhari raya lebih awal dan kembali bekerja lebih lewat daripada orang lain. Memandangkan kepulangan yang lebih awal daripada adik beradik yang lain, maka tugas untuk menyelesaikan hal-hal yang perlu sebelum aidilfitri jatuh ke bahu penulis. Beberapa jenis kuih raya sudah penulis beli sebelum pulang lagi. Membeli barang-barang yang diperlukan serta menjalankan operasinya.
Hutang-hutang yang tertangguh telah diselesaikan kecuali PTPTN. Yang ni hold dulu. Giliran sampul-sampul kecil pula untuk diisi, ya angkanya pun kecil-kecil sahajalah. Bilangan sampul ini secara wajibnya ada 16 untuk yang kecil-kecil, satu untuk separuh besar dan 2 untuk yang paling besar. Bilangan mengikut keperluan.
Majlis Keluarga.
Raya pertama, biasa sahaja. Tahun ini giliran rumah mertua belaka. Raya kedua barulah riuh dengan ketibaan abang-abang dan kakak-kakak dengan bala tentera mereka. Raya ketiga ada majlis keluarga. Dua ekor kambing ditumbangkan. Semua yang dijemput hadir, kakak sepupu, abang sepupu, mak saudara dan bapa saudara, yang tak pernah kenal pon hadir. Penulis dan kakak pulak terperangkap di dapur. Dengan baju yang lusuh kami kelam kabut menyediakan permintaan tetamu. Kaunter air, kaunter kuih raya, kaunter ketupat, kaunter lauk, kaunter nasi dan entah apa-apa kaunter lagi. Kenduri kecil-kecilan seperti ini memang sepenuhnya diuruskan oleh ahli keluarga sendiri., abang -abang pula sudah berada di depan. Awal pagi tadi mereka sudah "berkapak" dengan kambing.
Dan kaunter pembersihan, amalan paling biasa untuk orang-orang bujang yang muda-muda. Akhirnya bala tentera muda yang manis-manis diberikan peluang berbakti. Kak Long, Kak Ngah, Kakak dan Mak Su menjadi anggota sementara menguruskan operasi basuh membasuh pinggan kenduri. Sebelah petang, penulis yang berpanggilan "mak cik" inilah yang mengambil alih tugas membersihkan periuk yang besar-besar. Abang-abang sibuk lain, kakak-kakak semua ada anak kecil yang perlu diuruskan. Anak-anak hilang entah kemana. Lesap dengan mood raya mereka.
Malam terbaik!
[ Formula sampul : Jumlah bala tentera (tolak -) jumlah anak sendiri ..heheh]
Tiba-tiba ada yang menjerit,
"Mak Cik nak bagi duit raya! cepat, cepat!!"
Selepas Pulang
Tidak lama cuti mereka. Semua keriuhan itu mulai beransur pulang. Rengekan Haziq, Kenakalan Asyraf, senyuman kak ngah, kemanjaan kakak dan Zulaikha yang cerdik juga turut pergi bersama. Mak cik yang terakhir pula kembali bertugas seperti kebiaasaan orang terakhir pulang.
Namun, kesibukan itu sempat terisi dengan operasi jalan-jalan bersama sahabat lama. Entah Raya keberapa..7@8, kami merayau-rayau sekitar Kedah dan singgah juga di RFC. Majlis Aidilfitri sekolah berjalan lancar, namun kerana tarikhnya sama dengan majlis di rumah penulis maka tidak dapat dihadiri. Jadi, kami bertemu beginilah, sambiil berjalan-jalan, ziarah dan bercerita. Adakala terkena adakala saling mengenakan satu sama lain.
Hari-hari seterusnya rumah saudara mara pula dilawati. Awal Syawal orang sibuk puasa 6, jadi kurangkan berjalan..^_^. Dan akhirnya sampailah masa bersiap-siap untuk pergi sekali lagi...
Kembali ke UTM, dan bersedia untuk majlis hujung bulan ini....
Moga jalan hidup ini berterusan mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH SWT. Ameen.
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Wednesday, August 24, 2011
Salam Lebaran~~
Tuesday, August 16, 2011
Iftar~~
Akhirnya, perancangan itu diutarakan pula sahabat yang lain, jadi ia direalitikan bersama-sama.
buat SPKP yang balik,
kenangan suka duka kita melalui detik cemas dan ceria disini pasti kekal dalam ingatan. Tak kira jauh atau dekat jarak kita, InsyaALLAH jika ikhlas kerana ALLAH, maka akan terpahat selamanya. Selamat Jalan, Moga kita akan berjumpa lagi.
Salam Ramadhan, semoga bertemu lagi.
kerana Allah menjanjikan rezeki pada usaha,
kita boleh sampai ke tempat jauh tanpa kenderaan
kerana Allah berikan kaki untuk berjalan
namun kita hanya boleh mencipta persahabatan
pabila ALLAH memperkenankan
dan memperlunakkan hati kita
untuk saling redha dan saling terima
pada kelebihan dan kelemahan setiap insan...
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Sunday, July 3, 2011
Sanah helwah diri
"Selamat haqi lahir, semoga panjang umuq dalam ibadah, ghajin. Dalam keberkatan dari Allah" Mak merespon di hujung talian.
Sembang-sembang dengan mak..lebih 1/2 jam bersembang macam tak habis cerita, perkara dan isu. Dari kes hujan turun sampailah kes barang naik. Sedih juga dengar, masyarakat kampung semakin ter"sesak" dengan keadaan yang begini. Bajet bulanan yang semakin "lari".
Sembang-sembang pasal kawan2 yang nak sambung belajar..mak suh kerja dulu.
"ha, tu la..kalau chek nak sambung pon..buat part time la no mak..qeja dulu" penulis merespon semula.
"ha..buat macam kak Nie tu...kena qeja la ni...depa nak sambung biaq la...kita lain depa lain..kak kin kata baqang dapuq depa pon makin mahai dah. Dulu sebulan p C-Mart dalam rm200 ja..la ni sampai 300 lebih dah.." sambut mak di talian sana.
Sanah helwah diri..selamat hari tua dan selamat dekat dengan kematian. Sedarlah t/jawab dan tugas semakin menggunung tinggi. Berat pikulan dibahu semakin bertambah. Jangan lalai lagi.
******************
Kalau dulu,
tarikh ini kau bawa gembira
pada emak
pada ayah
yang bersyukur dengan lahirmu
maka,
moga tarikh ini juga
pada hari ini bawa makna
pada emak
pada ayah
bahawa anak yang dilahir
bukan sia-sia
bukan bawa bencana..
sebaliknya kan jadi pendokong agama,
pendokong keluarga..
Ya Allah,
panjangkan usiaku dalam keredhaanMu
jika murkaMu yang mungkin terjadi, maka matikanlah sebelum itu.
Murahkan rezekiku yang halal dan suci dalam syariatMu,
Jika haram yang bakal mendatang, maka cukuplah sedikit saja
asalkan tak bercampur dengan itu..
Allahummaj'alni minannajihin..wal mumtazin...fiddunya wal akhirah..
Ameen.
3 Julai 2011 (2 Syaaban) / Lab Al-Khawarizmi
FTI UTMJB.
p/s : Syukran jazilan buat sahabat2 yang mengucapkan sanah helwah buat diri ini. Semoga kalian juga mendapat keberkatan Allah.
Sunday, June 19, 2011
sacred? (I)
Mimpi dan angan-angan kerapkali buat kita bahagia
Bila memikirkannya, mengenangkannya
Impian kehidupan dan kejayaan
Kita berusaha bersunggguh-sungguh deminya
Ingin benar menggapainya demi bahagia.
Tapi entah bila
Akan datang suatu masa
Bila impian dan angan-angan itu gagal dikecapi
Dan kita miliki suatu yang lain
Kita masih lagi tetap BAHAGIA…
------------------------
“tapi, kalau kita dah ada perasaan suka pada seseorang, maka esok kalau kita kahwin dengan orang lain, hati kita dah tak sacred lagi la kan..” ujarnya penuh kesedihan. Sambil mengesat airmata yang tadi turun bagai hujan lebat yang bisa membanjiri alam. Gadis itu antara yang terjebak dengan perasaan suka. Ya, cinta! Dia seorang yang menjaga hatinya. Tak sudi diberikan kepada sesiapa, malah perasaan itu disimpang senyap di sudut hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang tertentu sahaja. Malah, perasaan itu hadir sendiri dan selalu dia ingin membuangnya. Hingga malam itu, dia teruji..lalu di sudut gelap balkoni itu merembes basah hatinya di pangkuan seorang sahabat untuk bercerita.
Nurul diam tak menjawab. Tak sacred? Erm, adakah jika kita pernah suka pada seseorang maka hati kita sudah hilang sebahagian. Jika A pernah suka B, tapi berkahwin dengan C, maka adakah lubang kosong di hati A yang hilang untuk C? Nurul mengeluh perlahan-lahan. Apakah jawapan yang terbaik? Benarkah perkara ini adalah begitu?
***********************
Petang itu, Dira resah dan payah sekali. Fikirannya ligat berputar sedang perasaan bagaikan menggila. Ribut taufan apalah yang merempuh ketenangannya. Airmata sudah menjadi peneman setia. Berkurung dibilik jadi sebahagian rutinnya. Mak dan ayah sudah mula risau. sejak beberapa hari ini jamahan Dira kurang sekali. Payah benar nasi disuapi. Hanya asyik dengan menungan dan tangisan.
Dira memeluk al-Quran rapat kedadanya, mulutnya penuh dengan zikir sambil airmata terus mengalir. Keserabutan ini mengganggunya. Istikharahnya sudah berkali-kali. Dira masih mencari kebahagian untuk dirinya. Dimanakan ia bersembunyi? Betahkah dilalui ujian ini sehingga penghujung jalan kehidupan ini nanti.
“ Perhubungan perlu dijaga, jangan kita mendahului apa yang dihalalkan oleh Allah selagi mana ia tidak berlaku. Pertunangan tidak menghalalkan apa-apa, pergaulan, perhubungan tetap perlu dibataskan. Kita selalu tanya kenapa kita diuji..? kenapa aku? Kenapa aku yang diuji..? tapi pernah kita renung kembali apakah kita yang telah tersasar dari laluan yang sebenar? Melangkaui apa yang tak sepatutnya? Lalu Allah berikan peringatan melalui ujian…agar kita kembali sedar..”
Astagfirullah! Dira beristigfar berkali-kali. Mesej dari seorang senior bagai menyentak jiwanya yang beku. Kembali mencair dan insaf. Dira telah men”forward”kan semua mesej antara dirinya dengan tunangnya kepada senior itu untuk mendapatkan penyelesaian daripada masalah yang sedang berlaku antara mereka. Memohon pandangan dan nasihat, akhirnya kalam itu yang hadir. Berikan peringatan yang jujur dengan tegas mengingatkan bahawa perhubungannya sudah melepasi garisan yang sebenarnya.
“Kita mahu Allah menjaga kita? Adakah sudah kita menjaga Allah? Ihfazillah, yahfazik! Dik, mohonlah pada Allah dan bermesyuaratlah dengan keluarga…pada syura itu Allah telah janjikan keberkatan..insyaALLAH ada jalan keluar untuk semua ini”
Malam itu penentuannya, tika cincin dihulurkan kembali. Dalam suram dan debar yang teramat sangat. Esak tangis terakhir. Dira telah pon membuat keputusan.
“maaflah pak cik kata, perempuan ni macam baju..bila baru orang naklah…dah buruk dia buang…tak payahlah nak balik-balik, malu….tak pa ada la rezeki kita yang lain” Senior hanya diam sambil tersenyum nipis tika kata-kata itu dilontar oleh seorang ayah yang masih menyesali kejadian yang menimpa anaknya. Biar pertunangan itu putus sekarang daripada masalah yang lebih besar pada kemudian hari.
Hari demi hari berlalu, Dira meneruskan kehidupannya seperti biasa. Walau agak susah untuk melepasi zon sengsara, namun diusahakan juga. Pengajian diteruskan. Bulan berganti tahun, kelihatan Dira semakin ceria dan semakin menggapai kejayaan. Ya, detik lalu adalah sejarah silam yang pedih. Hatinya kini bahagia dengan kehidupan. Benarlah…walau dulu pernah terisi dan pergi namun tiada sedikitpun lubang dihatinya. Penuh dengan kesyukuran pada menunjukkan kebenaran maka itulah yang menjemput bahagia. Dira tenang sekali kini.
*******************
“Tak lah..” Nurul menjawab lembut.
“Siapa kata hati kita sudah tak sacred? Sebaliknya hati yang benar-benar dimiliki adalah hati yang menyentuh dan disentuh apa yang sudah dihalalkan. Buat yang menjaga hatinya…masakan Allah kurangkan kebahagiaannya? Lupakah…Ihfazillah, yahfazik…kamu jagalah Allah yakni menjaga syariatNya, hukumNya..maka Dia pasti menjaga kamu.
Bahagia bukan pada penuhnya keinginan, tapi ketenangan pada keperluan yang sudah dimiliki. Walau sedikit, cukup jika ada kesyukuran…itulah yang mengundang keberkatan….jadi, mana mungkin ia tak sacred….”
Malam itu, ada catatan baru pada diari cinta mereka. Bahawa cinta yang bahagia itu datang sebenar-benarnya dari Allah. Jika ditakdirkan benar dengan orang yang disukai..doakan agar bertemu dalam redha..jika ditakdirkan yang selainnya..maka percayalah itu yang terbaik buat seorang hamba yang menjaga-Nya, dan pasti diberikan juga penjagaan terbaik sekali. Jika bukan didunia..maka di syurga bertemu jua..InsyaALLAH! Jangan bimbang, pasti tiada apa yang terkurang!
------------------------
Bahagia adalah ketenangan
Yang hadir bila hati merasakan cukup
Pada keperluan yang seolah separuh
Bila perasaan sedamai bayu yang bertiup lembut
Meredhai sekeliling yang berlaku
Apa yang menimpa, apa yang diterima
Semua disyukuri
Bukti kasih Illahi cahaya menerangi hati
Ikhlas untuk kembali..
Sedang apa yang diimpikan,
Kadang-kadang hanya keinginan dan desakan kebanggaan
Yang meruntun jalan sehingga nafas menyesak..
Oh, patutlah mereka gembira
Walau kelihatan hanya memiliki separuh sahaja
Padahal hati mereka penuh
Dengan kesyukuran
yang menguntum BAHAGIA…
tasnim_nasuha,
16 Rejab 1432H / 17 Jun 2011: 12.46pm
Kolej 9 , UTMJB.
***************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
