Thursday, February 25, 2010

Pertandingan menulis esei~~

Tuesday, February 23, 2010


Jalan masih panjang,
Jauh dan sedikit kabur..
Pandangan mata disapa debu-debu nista dunia
Mengelabukan…
Walau pengembara berkaca mata,
Ia sekadar membantu daya yang telah tiada
Malah lebih mudah kabur…
Dek tamparan angin petang yang sedikit kasar..

Kaki semakin lemah
Kerana terlalu banyak ranting berduri menghalangi,
Terjengket-jengket,
Semakin hari semakin lambat dan payah,
Calar dan berdarah merempuh dugaan yang panjang,
Bertongkatkan ketabahan ,
Itulah yang menjadi pembantu,
Pada mampu yang semakin rebah..

Mergastua berkicauan menemani langkah
Jiwa yang luka
Tersenyum dalam pahit,
Sedang jerihnya memerangkap rasa
Masih sudi bersidai
Menjadi benteng juang
Zikir redha yang menemani
Menghampar sebuah ketenangan..


23/02/2010
9.59 am

Wednesday, February 17, 2010

Sabar (pt.3) Tingkatan dua dan tiga..


Tingkatan kedua : Bersabar dalam melakukan segala perintah Allah


Sabar dalam melakukan ketaatan ialah sabar ketika melakukan sesuatu amalan atau ibadah kepada Allah. Tabiat jiwa manusia adalah suka menghindari daripada ber’ubudiyyah kepada Allah. Ada yang malas untuk menunaikan solat, oleh itu haruslah bersabar dalam menunaikannya. Membetulkan bacaannya secara tartil dan menyempurnakan perbuatannya secara bertoma’ninah. Harus bersabar daripada sifat bakhil untuk mengeluarkan zakat dan memberikan sedekah.

Ibnu Qudamah mengatakan manusia perlu bersabar ketika melakukan ketaan dalam tiga bentuk[1]:

a) Keadaan sebelum melakukan ibadah. Hendaklah meluruskan hati dan mengikhlaskan niat terhadap amal ibat yang ingin dilakukan. Niat semata-mata kerana Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud ”sesungguhnya setiap amalan itu dimulakan dengan niat”.

b) Keaadaan ketika melaksanakan ibadah, iaitu hendaklah jangan melalaikan Allah. Sebaliknya menumpukan seluruh perhatian dalam ibadat hanya kepada Allah dan menghindarkan sebarang ingatan terhadap benda-benda dunia. Selain itu, hendaklah sabar meninggalkan segala bentuk kesibukan dunia agar hatinya menjadi tenang untuk menghadap Allah. Selain itu, termasuk dalam sabar di peringkat ini juga adalah tidak menunda waktu untuk beribadat kepada Allah, sebaliknya menepati hak dan waktunya.[2]

c) Keadaan sesudah melakukan ibadah. Iaitu merahsiakan amalan yang telah dilakuakan. Ini bertujuan untuk mengelakkan timbulnya persaan riya’ dan juga ’ujub. Sikap menceritakan amalan kepada orang lain dengan tujuan membangga diri bolehmengakibatkan gugurnya pahala sesuatu amalan yang telah dilakukannya.


Al-Quran menyebutkan bahawa perlunya kesabaran dalam melakukan ibadah wajib kepada Allah:


"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?"

( Surah Maryam: 65)


Allah berfirman lagi:


” Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

( Surah Taha : 132)



Berdasarkan kepada dua ayat di atas, kita dapat melihat dengan jelas bahawa kesabaran amat penting dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Imam al-Ghazali di dalam kitab ihya’nya menyebutkan ” Sabar dia atas ketaatan itu sukar kerana diri manusia menurut tabiatnya lari (tidak berminat) kepada ubudiyyah (beribadah) dan ingin kepada rububiyyah;”.



Justeru itu, ubudiyyah kepada Allah itu sukar ke atas diri seseorang secara mutlak. Lantaran ini Allah mendahulukan bersabar daripada amalan. FirmanNya:


”Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar”

( Surah Huud: 11)

Ketaatan itu pula terbahagi kepada fardhu dan sunat[3]. Ia berhajat kepada sabar atas kedua-duanya sekali. Sesungguhnya kedua-dua itu telah dihimpunkan Allah di dalam firmanNya:


” Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

( An-Nahl: 90)


Melaksanakan keadilan adalah fardhu, berbuat ihsan pula adalah sunat, manakala memberikan bantuan kepada kaum kerabat adalah suatu kehormatan diri (muru’ah) dan hubungan kekeluargaan. Semua ini berhajat kepada sabar[4].


Dan sebesar-besar contoh sabar dalam ketaatan ialah kesabaran Nabi Allah Ibrahim dan anakknya Ismail a.s ketika datangnya wahyu daripada Allah menerusi mimpinya agar Ibrahim menyembelih anaknya.



Tingkatan ketiga : Bersabar di atas ujian dunia, qada’ dan qadarnya.



Sabar pada peringkat ini adalah sabar terhadap sebarang ketentuan Allah yang berbentuk ujian, sperti ditimpa musibah, kematian orang yang disayangi, musnahnya harta benda, merosotnya kesihatan , berpenyakit dan berbagai lagi dugaan seperti ini. Perkara-perkara ini adalah diluar batas kawalan manusia. Manusia tidak mampu berikhtiar untuk menghalangnya sekadar berusaha menghadapinya dengan tabah. Sabar di peringkat ini merupakan suatu maqam yang tinggi. Darjat kesabaran yang tinggi bagi kecelakaan yang dihadapi.

Ujian disini terbahagi dua iaitu darra’ (ujian kesusahan) dan Sarra’ (ujian kesenangan). Ujian kesenangan ialah Allah memberika harta dan kekayanan kepada seseorang dan mengujinya dengan harta itu. Yakni adakah dia semakin dekat dengan Allah atau sebaliknya, bertambah sombongkah atau bersifat pemurah.



Sabar menerima ketentuan Allah dengan kata lain ialah tidak melakukan perkara-perkara yang bodoh dan membahayakan diri seperti menyalahkan diri dan mencederakan diri sendiri, mengoyak baju kerana terlalu menyesal, menampar-nampar pipi, menangis dan meraung yang keterlaluan. Malah dukacita yang terlalu berpanjangan juga menunjukkan sikap tidak sabar menerima ujian yang Allah berikan kepada seseorang itu. Sebenarnya setiap ujian yang Allah berikan bertujuan menguji manusia dan juga sebagai kafarah bagi dosa-dosanya yang lalu. Allah berfirman:


”Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

( Surah Muhammad: 31)


”dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

( An –Nahl : 126)

Rasulullah bersabda :

(الصبر نصف الإيمان)

” Sabar itu sebahagian daripada iman”


Ketika baginda ditanya mengenai pengertian iman, baginda menjawab : Iman itu adalah sabar dan berlapang dada. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa kesabaran itu amat penting ketika berhadapan dengan musibah seperti kematian, kehilangan harta benda dan sebagainya. Dengan sifat sabar, kita dapat mengelakkan sifat putus asa dan dukacita yang berpanjangan.


Diriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w, contoh seorang yang tabah dan sabar menempuh ujian Allah ialah kisah Ummu Sulaim, isteri kepada Abu Talhah. Abu Talhah pergi meninggalkan rumah sedang anaknya sakit teruk. Penyakit anak bertambah parah setelah pemergian ayahnya. Anak itu meninggal dunia sedangkan Abu Talhah belum pulang. Maka si ibu membaringkan anaknya di atas tikar di penjuru dan menylimutinya seperti keadaan orang yang sedang tidur.


Apabila Abu Talhah pulang kerumahnya ia terus menanyakan keadaan anaknya yang sedang sakit ketika ditinggalkan: ” Bagaimanakah keadaan anak kita?”. Isterinya menjawab :” Anak kita nampaknya sudah tenang, biarkanlah dia beristirahat di situ:, Abu Talhah menyangka anaknya sudah mulai sembuh, maka hatinya pun gembira.


Kemudian isterinya menyediakan makanan baginya seperti biasa. Abu Talhah makan seperti tiada apa-apa yang luar biasa yang berlaku di rumahnya itu. Malam itu, kedua-dua suami isteri tersebut tidur bersama hinggalah ke pagi. Setelah mandi pagi itu, ketika Abu Talhah sudah bersiap-siap keluar rumah, maka isterinya pun memberitahu bahawa anaknya sudah meninggal.”


Menurut riwayat yang lain: ” Si isteri bertanya kepada suaminya Abu Talhah; bagaimanakah pendapatmu jika satu kaum mengamanahkan barang kepada kaum yang kemudian kamu meminta barang tersebut semula, wajibkah mereka mengembalikannya semula?” Abu Talhah menjawab: ”Ya sudah tentu”. Si isteri berkata : ”Jadi relalah kewafatan anakmu.”


Esoknya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah, mengadukan apa yang telah dilakukan oleh isterinya. Nabi tersenyum sahaja mendengar aduan Abu Talhah itu, kemudian baginda bersabda:


”Semoga Allah memberkati kamu pada malam itu;”


Doa Rasulullah s.a.w itu makbul, tidak berapa lama sesudah itu, Abu Talhah dikurniakan beberapa orang anak yang salih yang menghafaz al-Quran. Di sini kita dapat melihat bahawa Allah menganjarkan orang-orang yang bersabar menghadapi musibah dengan ganjaran yang jauh lebih besar berbanding kehilangannya.



[1] Ibnu Qudamah, Jalan orang-orang yang mendapat petunjuk

[2] Othman Napiah, Ahwal dan Maqamat ilmu Taswwuf.

[3] Dr Yusof Al-Qardawi, Sabar dalam Islam.

[4] Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin.

Thursday, February 4, 2010

Tingkatan Pertama: Bersabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.


Allah berfirman:


“..Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

(Ali –‘Imran : 14)


Allah telah menjelaskan di dalam kitabNya mengenai sikap menusia yang suka kepada keindahan dunia dan sering mengikut nafsu syahwatnya sendiri. Manusia seringkali mengabaikan larangan supaya menjauhi kemaksiatan dan juga mengikut nafsu semata. Oleh itu, untuk menjauhi segala laranganNya dan mengekang keinginan nafsu yang tidak terbatas, manusia amat perlu untuk bersifat dengan sifat sabar.


Sabar terhadap maksiat adalah mengendalikan diri supaya tidak melakukan perbuatan maksiat. Sabar dalam hal ini bukan sahaja berkenaan diri sendiri, akan tetapi juga berkenaan dengan diri orang lain. Iaitu kita harus berusaha supaya orang lain juga jangan sampai terjerumus ke jurang kemaksiatan, dengan cara melaksanankan amal makruf dan nahi mungkar.[1] Sabar terhadap maksiat , merupakan sejenis unsur pertahanan yang melawan dorongan-doronagn yang menggoda manusia dalam perjalanan hidupnya, serta menyingkirkan perbuatan yang tercela. Rasulullah s.a.w bersabda:


”Syurga itu dikelilingi dengan kebencian-kebencian hawa nafsu, sedangkan neraka itu dikelilingi oleh kesenangan-kesenangan hawa nafsu”

(H.R Muslim)


Menahan diri daripada melakukan maksiat dan dosa kepada Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Di sinilah kesabaran amat memainkan peranan yang penting. Hanya orang yang benar-benar dapat bersabar dengan tipu daya dunia dapat melepaskan dirinya daripada terbelanggu dengan segala bentuk noda dan tipu daya syaitan, seterusnya mengangkat darjat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, kita hendaklah banyak berdoa sebagaimana yang tersebut di dalam al-Qur’an:


” (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, Limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".” ( Al-A’raf: 126)


[1] Kasmuri Selamat MA (1998), Rahmat di sebalik dugaan

Monday, February 1, 2010

Riadhah muslimat SPI

Padang yang 'selamat' dari pandangan mata dosa menjadi lokasi pilihan..

Memenuhi tuntutan sabda nabi junjungan:

"Aqal yang sihat ada pada tubuh yang sihat"




Para peserta lincah bergerak di padang..pemakaian yang menutup aurat secara sempurna tidak pernah menghalang pergerakan..Alhamdulillah.

Slot Warming up..entah betul ke tidak tu...

Inilah kami antara yang hadir..moga Ukhwah kami semakin erat dan berkekalan abadan abada,..Ameen