Saturday, December 29, 2012

Hati itu..


I

Diam dan sunyi di rumah batu. Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar  tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika perasaan kuat, pasti dapat bertahan.

Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.

Dalam resah gelisah, rupanya banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah ketenangan hilang dengan mudah...

Atau sebenarnya, hati memberatkan pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu diteruskan.


II

Ketika tiba, benar, demam kebah dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu. Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara. 

Dan antara ubat yang terbayang mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan. Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.

Allah, dan diri ini masih lemah. Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah disetiap ujian yang menyapa. 

Merenung diri sahabat, terasa hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri. Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T


III

Maka, hari akan terus dilalui. Dan kekuatan dipohon lagi.

Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa kecilku
Lindungilah mereka dari ujian dunia
Dan berikanlah kepada mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam golongan yang mendapat redhaMU
Amen...

Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka dengan iman
Dan pimpinlah mereka menuju jalanMu yang lurus...

Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah dalam ujianMU
Redhailah mereka dan berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..


Dan, bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.


 




************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

0 sahabat/iah: