“Kakak, cikgu dah bertanya pasal yuran yang adik minta haritu. Erm, boleh ke akak?” Adikku mengajukan soalannya lambat-lambat ketika bersarapan. Tanganku terhenti daripada menyodok nasi ke dalam termos. Kebiasaanku memasak semenjak pagi. Semua makanan ku simpan dalam termos dan ditempatkan berdekatan emak. Tengah hari nanti, jiranku Kak Latifah akan membantu untuk menyuap emak yang sedang terlantar sakit. Aku hanya sempat menyuap emak pada waktu pagi dan malam sahaja, kerana kerjaku yang sehari-harian. Adik pula, kadang-kala pulang lewat petang kerana sedang bertungkus lumus untuk menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.
“InsyaALLAH, mungkin sehari dua lagi akak dapat gaji. Boleh ke bayar lewat sikit?” Aku memaniskan muka memandang adik. Adik angguk-angguk sambil tersenyum tawar. “Maaf ya kakak, kalau adik membebankan akak”, suaranya lirih kedengaran.
“Ish, apa pula macam tu, tak ada apalah adik. Adik tu belajar sungguh-sungguh! Pasal kosnya serahkan akak. InsyaALLAH rezeki Allah ada dimana-mana” Aku bersungguh-sungguh meyakinkan adik meski aku sendiri agak gusar mengenainya. Semenjak peristiwa kemalangan yang telah “merebut” ayah daripada kami dua tahun lalu, aku menggantikannya sebagai ketua keluarga. Emak yang turut sama terlibat dalam kemalangan itu, hanya terlantar tanpa mampu berbuat apa-apa. Mungkin inilah takdir yang telah ditentukan untuk kami. Dugaan hidup yang tiba-tiba terjadi. Mujur adik dapat segera menyesuaikan diri, walaupun pelajarannya agak terjejas, namun adik mampu segera bangkit semula daripada trauma itu.
Selepas menghantar adik ke sekolah, aku meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Rahmah, kawan sekerjaku sudah ada disana.
“Su,..hari ini kita dapat gaji Su!” Rahmah menjerit keriangan menyambut kedatanganku. Aku menghitung-hitung.
“Eh, kan sepatutnya lusa?” Aku menyoalnya kembali. Rahmah tersenyum kepadaku, “kau lupa? Kan dah nak puasa ni…Bos awalkan gaji untuk persediaan Ramadhan, temasuk bonus lagi!!” Subhanallah..hampir aku sebak. Ramadhan sudah nian bertamu rupanya.
Ramadhan, kuranglah sedikit belanja dapur, kecuali untuk emak yang sememangnya dilarang untuk berpuasa oleh doktor. Aku menghitung sendirian, jumlah bayaran fidyah yang perlu aku keluarkan untuk mengganti puasa emak. Hampir sama sahaja dengan bulan-bulan lain. Aku tidak mengeluh, sekurang-kurangnya hanya itulah baktiku yang termampu kulakukan untuk emak.
Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah, 2 : 183)
“Paling istimewa, puasa ini adalah ibadah yang khusus untuk ALLAH. Ia mengajar kita erti jujur dan ikhlas. Ia juga lambang keadilan dalam Islam! Orang kaya dan miskin sama-sama kena puasa, sama-sama berbuka dan bersahur pada waktu yang sama. Sama-sama dalam satu saf solat. Allah buka seluas-luasnya pintu rahmat untuk hambaNya tidak kira siapa dia, apa darjatnya,”
Petang itu sebelum balik aku dipanggil oleh Encik Hassan,majikanku yang asangat kuhormati. Dia sudah berumur, orangnya jujur dan baik sekali.
“Apa khabar Sumayyah hari ini? Ramadhan dah nak tiba, macam mana persiapan?” Encik Hassan menyapaku lembut. Isterinya Puan Hasnah turut bersamanya petang itu.
“Alhamdulillah sihat encik, persiapan biasa-biasa saja,” Aku membalas lembut sedikit lesu. Puan Hasnah tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Sumayyah suka kalau ada yang memberi hadiah?” soalan Puan Hasnah membuatku berfikir. Aku angguk-angguk, erm, apakah maksudnya?
“Sepatutnya Su gembira dengan kehadiran Ramadhan, kerana ia adalah hadiah daripada ALLAH untuk kita” Ucapan itu menyentap hatiku. Arh, bukan aku tidak gembira, tapi semuanya seakan sama sahaja. Semenjak ayah tiada, sudah tiada bezanya hari-hari yang kami lalui. Aku tersenyum lembut.
“Untuk setiap hambaNya, Ramadhan adalah hadiah, rahmat dan keampunan daripada ALLAH. Ha, bulan inilah kita nak berpesta, mengejar cinta dan rahmat ALLAH, disamping menyampaikan cinta dan rindu buat insan yang dikasihi” tutur Puan Hasnah lembut menangkap hatiku.
“Menyampaikan cinta dan rindu untuk yang dikasihi?” Aku mengulang kata-katanya dalam bentuk persoalan. Pelik, jarang ku dengar perkara seperti ini. Puan Hasnah menganguk-angguk.
“Bukankah kita sepatutnya teruja menyambut Ramadhan? Ia ibarat tiket kepada kita untuk mencapai keredhaan ALLAH. Ha,itu sebagai anak, sebagai hamba dan ummat macam mana? Hidup tetap menuju kematian, nak menghadap ALLAH, nak bertemu Rasulullah. ALLAH beri kita hadiah, macam mana kita terima dan hargai terpulang kepada kita”. Encik Hassan yang mendengar sedari tadi menyampuk perbualan kami. Aku kelu. Allah…Allah, apa persediaanku menyambut Ramadhan?
Petang itu, adik menyambutku dengan penuh keriangan di depan pintu. Katanya, yuran sudah dibayar oleh seorang hamba ALLAH yang baik hati, tak tahulah siapa. Ada barang dapur yang disampaikan sebagai persediaan Ramadhan. Tapi bukan itu puncanya yang membuatkan adik terlalu gembira. Bila aku bertanya, adik menjawab dengan mudah, “Dapat hadiah dari ALLAH SWT” Aku terpana. Rupa-rupanya adik maksudkan Ramadhan. Katanya ustazahnya memberitahu bahawa Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan seribu satu keistimewaan daripada ALLAH. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Adik memberitahuku lagi, bahawa pada sahur itu ada keberkatannya, ada barakahnya.
“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.
Ustazahnya juga memberitahu bahawa setiap amalan orang yang berpuasa itu dikira berpahala.
"Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan"
“Ustazah kata, tujuan dan matlamat akhir hidup kita adalah kehidupan selepas kematian. Mati adalah kunci pintu menemui Allah, jadi ayah dan pergi jumpa ALLAH kan kakak? Cuma ustazah tanya, kalau nak jumpa ALLAH kita nak bawa apa? Setiap hari kita beribadah, tapi umur kita tak panjang macam umat nabi lain, jadi ALLAH berikan Ramadhan kepada kita, ada malam lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Kalau kita dapat, wah..bestnya, untung besar kita kat Akhirat!” Adik beria-ia bercerita. Aku tersenyum.
“Ramadhan bukan untuk orang kaya atau orang miskin, tapi untuk hamba ALLAH, umat Nabi Muhammad, ia ajar kita bersyukur apa yang kita ada. Puasa mengajar kita jadi lebih ikhlas atas segala kurniaan ALLAH” Akhirnya aku bersuara juga, dengan sebak di dada. Aku lihat adik angguk-angguk dan tersenyum. Kesempitan hidup hampir mematikan hatiku daripada melihat kurniaan ALLAH selama ini. Aku hampir kandas dalam kekuatan yang aku gagahi. Kini, kunjungan Ramadhan kali ini menjentik hatiku berkali-kali, aku terasa sepi itu mulai menghilang, Ramadhan sudah datang untuk menemani. Moga di Akhirat nanti puasa Ramadhan akan menemaniku lagi.
'"Aku melihat seorang laki-laki dari umatku terengah-engah kehausan, maka datanglah kepadanya puasa bulan Ramadhan lalu memberinya minum sampaikenyang "
***************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”