Mimpi dan angan-angan kerapkali buat kita bahagia
Bila memikirkannya, mengenangkannya
Impian kehidupan dan kejayaan
Kita berusaha bersunggguh-sungguh deminya
Ingin benar menggapainya demi bahagia.
Tapi entah bila
Akan datang suatu masa
Bila impian dan angan-angan itu gagal dikecapi
Dan kita miliki suatu yang lain
Kita masih lagi tetap BAHAGIA…
------------------------
“tapi, kalau kita dah ada perasaan suka pada seseorang, maka esok kalau kita kahwin dengan orang lain, hati kita dah tak sacred lagi la kan..” ujarnya penuh kesedihan. Sambil mengesat airmata yang tadi turun bagai hujan lebat yang bisa membanjiri alam. Gadis itu antara yang terjebak dengan perasaan suka. Ya, cinta! Dia seorang yang menjaga hatinya. Tak sudi diberikan kepada sesiapa, malah perasaan itu disimpang senyap di sudut hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang tertentu sahaja. Malah, perasaan itu hadir sendiri dan selalu dia ingin membuangnya. Hingga malam itu, dia teruji..lalu di sudut gelap balkoni itu merembes basah hatinya di pangkuan seorang sahabat untuk bercerita.
Nurul diam tak menjawab. Tak sacred? Erm, adakah jika kita pernah suka pada seseorang maka hati kita sudah hilang sebahagian. Jika A pernah suka B, tapi berkahwin dengan C, maka adakah lubang kosong di hati A yang hilang untuk C? Nurul mengeluh perlahan-lahan. Apakah jawapan yang terbaik? Benarkah perkara ini adalah begitu?
***********************
Petang itu, Dira resah dan payah sekali. Fikirannya ligat berputar sedang perasaan bagaikan menggila. Ribut taufan apalah yang merempuh ketenangannya. Airmata sudah menjadi peneman setia. Berkurung dibilik jadi sebahagian rutinnya. Mak dan ayah sudah mula risau. sejak beberapa hari ini jamahan Dira kurang sekali. Payah benar nasi disuapi. Hanya asyik dengan menungan dan tangisan.
Dira memeluk al-Quran rapat kedadanya, mulutnya penuh dengan zikir sambil airmata terus mengalir. Keserabutan ini mengganggunya. Istikharahnya sudah berkali-kali. Dira masih mencari kebahagian untuk dirinya. Dimanakan ia bersembunyi? Betahkah dilalui ujian ini sehingga penghujung jalan kehidupan ini nanti.
“ Perhubungan perlu dijaga, jangan kita mendahului apa yang dihalalkan oleh Allah selagi mana ia tidak berlaku. Pertunangan tidak menghalalkan apa-apa, pergaulan, perhubungan tetap perlu dibataskan. Kita selalu tanya kenapa kita diuji..? kenapa aku? Kenapa aku yang diuji..? tapi pernah kita renung kembali apakah kita yang telah tersasar dari laluan yang sebenar? Melangkaui apa yang tak sepatutnya? Lalu Allah berikan peringatan melalui ujian…agar kita kembali sedar..”
Astagfirullah! Dira beristigfar berkali-kali. Mesej dari seorang senior bagai menyentak jiwanya yang beku. Kembali mencair dan insaf. Dira telah men”forward”kan semua mesej antara dirinya dengan tunangnya kepada senior itu untuk mendapatkan penyelesaian daripada masalah yang sedang berlaku antara mereka. Memohon pandangan dan nasihat, akhirnya kalam itu yang hadir. Berikan peringatan yang jujur dengan tegas mengingatkan bahawa perhubungannya sudah melepasi garisan yang sebenarnya.
“Kita mahu Allah menjaga kita? Adakah sudah kita menjaga Allah? Ihfazillah, yahfazik! Dik, mohonlah pada Allah dan bermesyuaratlah dengan keluarga…pada syura itu Allah telah janjikan keberkatan..insyaALLAH ada jalan keluar untuk semua ini”
Malam itu penentuannya, tika cincin dihulurkan kembali. Dalam suram dan debar yang teramat sangat. Esak tangis terakhir. Dira telah pon membuat keputusan.
“maaflah pak cik kata, perempuan ni macam baju..bila baru orang naklah…dah buruk dia buang…tak payahlah nak balik-balik, malu….tak pa ada la rezeki kita yang lain” Senior hanya diam sambil tersenyum nipis tika kata-kata itu dilontar oleh seorang ayah yang masih menyesali kejadian yang menimpa anaknya. Biar pertunangan itu putus sekarang daripada masalah yang lebih besar pada kemudian hari.
Hari demi hari berlalu, Dira meneruskan kehidupannya seperti biasa. Walau agak susah untuk melepasi zon sengsara, namun diusahakan juga. Pengajian diteruskan. Bulan berganti tahun, kelihatan Dira semakin ceria dan semakin menggapai kejayaan. Ya, detik lalu adalah sejarah silam yang pedih. Hatinya kini bahagia dengan kehidupan. Benarlah…walau dulu pernah terisi dan pergi namun tiada sedikitpun lubang dihatinya. Penuh dengan kesyukuran pada menunjukkan kebenaran maka itulah yang menjemput bahagia. Dira tenang sekali kini.
*******************
“Tak lah..” Nurul menjawab lembut.
“Siapa kata hati kita sudah tak sacred? Sebaliknya hati yang benar-benar dimiliki adalah hati yang menyentuh dan disentuh apa yang sudah dihalalkan. Buat yang menjaga hatinya…masakan Allah kurangkan kebahagiaannya? Lupakah…Ihfazillah, yahfazik…kamu jagalah Allah yakni menjaga syariatNya, hukumNya..maka Dia pasti menjaga kamu.
Bahagia bukan pada penuhnya keinginan, tapi ketenangan pada keperluan yang sudah dimiliki. Walau sedikit, cukup jika ada kesyukuran…itulah yang mengundang keberkatan….jadi, mana mungkin ia tak sacred….”
Malam itu, ada catatan baru pada diari cinta mereka. Bahawa cinta yang bahagia itu datang sebenar-benarnya dari Allah. Jika ditakdirkan benar dengan orang yang disukai..doakan agar bertemu dalam redha..jika ditakdirkan yang selainnya..maka percayalah itu yang terbaik buat seorang hamba yang menjaga-Nya, dan pasti diberikan juga penjagaan terbaik sekali. Jika bukan didunia..maka di syurga bertemu jua..InsyaALLAH! Jangan bimbang, pasti tiada apa yang terkurang!
------------------------
Bahagia adalah ketenangan
Yang hadir bila hati merasakan cukup
Pada keperluan yang seolah separuh
Bila perasaan sedamai bayu yang bertiup lembut
Meredhai sekeliling yang berlaku
Apa yang menimpa, apa yang diterima
Semua disyukuri
Bukti kasih Illahi cahaya menerangi hati
Ikhlas untuk kembali..
Sedang apa yang diimpikan,
Kadang-kadang hanya keinginan dan desakan kebanggaan
Yang meruntun jalan sehingga nafas menyesak..
Oh, patutlah mereka gembira
Walau kelihatan hanya memiliki separuh sahaja
Padahal hati mereka penuh
Dengan kesyukuran
yang menguntum BAHAGIA…
tasnim_nasuha,
16 Rejab 1432H / 17 Jun 2011: 12.46pm
Kolej 9 , UTMJB.
***************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”