Saturday, December 29, 2012
Hati itu..
I
Diam dan sunyi di rumah batu.
Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak
di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila
sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh
seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang
ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih
tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika
perasaan kuat, pasti dapat bertahan.
Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka
dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih
baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus
juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.
Dalam resah gelisah, rupanya
banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat
bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar
merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan
tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah
ketenangan hilang dengan mudah...
Atau sebenarnya, hati memberatkan
pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik
juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran
perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya
siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat
fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan
semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu
diteruskan.
II
Ketika tiba, benar, demam kebah
dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia
penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu
diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik
kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu.
Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara.
Dan antara ubat yang terbayang
mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang
hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan
sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang
terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan.
Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata
mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT
sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.
Allah, dan diri ini masih lemah.
Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah
janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi
zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah
disetiap ujian yang menyapa.
Merenung diri sahabat, terasa
hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri.
Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak
seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang
tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH
sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan
pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu
untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T
III
Maka, hari akan terus dilalui.
Dan kekuatan dipohon lagi.
Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa
kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu
kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa
kecilku
Lindungilah mereka dari
ujian dunia
Dan berikanlah kepada
mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam
golongan yang mendapat redhaMU
Amen...
Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah
ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman
kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka
dengan iman
Dan pimpinlah mereka
menuju jalanMu yang lurus...
Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan
kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah
dalam ujianMU
Redhailah mereka dan
berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam
keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu
ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan
untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara
kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak
sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..
Dan,
bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.
************************
Ya Allah Sesungguhnya aku
bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang
sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang
Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau
bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku
dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Labels:
Coretan sang hamba,
kehidupan,
rindu,
sahabat,
ukhwah
Wednesday, December 26, 2012
Antara
Januari
semakin hampir, bermakna sekolah dan sesi pengajian akan bermula dengan segera.
Sekolah akan dibuka. Pembelajaran akan bermula. Tugas yang tertinggal semasa
bercuti akan disambung segera. Terdapat pelbagai perkara yang perlu diuruskan
dan juga disusun atur semula. Ya, sekolah bukan tempat pengajaran semata. Ia juga
sudah menjadi pusat dokumentasi dan rekod.
Anak-anak
murid yang ditinggalkan. Mereka yang punya pelbagai ragam akan ditemui kembali.
Nilai dan ciri pendidikan mesti terus disematkan agar mereka sekurangnya dapat
menjalani kehidupan sebagai seorang insan dengan baik. Baik pada jiwanya, baik
pada zahirnya. Dan baik itu bukan diukur pada neraca fikiran manusia semata, ia
perlu berlandaskan syariah dengan sebenar-benarnya. Ianya sebuah perjuangan
yang perlu diteruskan selagi ada yang bergelar manusia.
Ada
sahabat yang telah pulang awal ke sekolah. Demi menggalas tanggungjawab yang
diberikan, perlukan persediaan yang rapi supaya prosesnya nanti dapat berjalan
dengan selesa. Status mereka di FB juga turut meransang semangat untuk kembali
bersedia.
Cuma,
kali ini hati ada yang terbelah bahagi. Ada semangat, tapi masih perlu
diperkuatkan lagi. Melihat keadaan ayah yang masih perlukan sokongan dan
bantuan untuk berjalan. Malah mak juga yang semakin kurang upayanya. Hati
bagaikan tak sudi melangkah untuk kembali ke sana. Asasnya mudah dan jelas,
hanya tinggal emak, ayah dan adik sahaja di rumah. Adik akan mulai pengajian
semula hujung bulan ini sementara menanti keputusan peperiksaan. Situasinya,
agak payah untuk proses kehidupan seperti sebelum ini berjalan. Ayah masih
perlukan rawatan susulan dan emak memang tak boleh tinggalkan ayah.
Abang,kerja...dan banyak tanggungjawab lagi. Anak-anak lain semuanya di
perantauan.
Allahu
Akbar!! Adakah terlalu bimbang pada ketetapan sebuah taqdir? Bukankah ALLAH
masih ada walau apa jua keadaan dan tempat? Astagfirullah...ya, keyakinan itu
masih ada. Namun, maaf...sebak dan sedih itu tak dapat disisa.
Jadi, pergi tetap pergi kerana
tugas dan tanggungjawab yang menanti. Meskipun sebenarnya terasa bagai
meninggalkan satu tanggungjawab yang amat berat di sini. Kadang-kadang tak
pasti jika akur itu adalah satu-satunya jalan yang wujud. Oleh itu, kita
usahakan juga, walau tak pasti bila keputusannya. Kalau ada pilihan, tentu
jawapannya ada. Akan tetapi bila tiada pilihan, apa yang ada hanyalah terpaksa.
Namun, terpaksa itu biarlah ikhlas jua.
Mudah-mudahan, Allah terima akan amalnya. Ameen.
dan...
dan...
Untuk pertama kalinya, menitis airmata mereka.
Ya Allah, ampunilah dosa mereka..berikan mereka kehidupan yang Engkau redhai di dunia dan Akhirat. Ameen.
[ somewhere and somehow, tears become a part of my strength]
p/s: Anak kunci Syurga di depan
mata perlu ditinggalkan....T_T
************************
Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu
iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga
aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku
dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah
pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku
dengan orang-orang yang soleh”
Thursday, December 13, 2012
Seorang...
Dengan nama ALLAH...
Seorang lelaki dan sebuah rumah. Pengunyahan kisah
hidup seorang insan biasa yang telah lama saya ingin tulis. Ramai orang telah
melalui hakikat menjadi insan ini. Seorang lelaki dan sebuah rumah, bukanlah
tentang kisah cinta, walaupun sebenarnya ia benar-benar adalah sebuah kisah
cinta yang dalam. Tapi, saya yakin, kunyahan ini tidak cukup hancur, apatah
lagi lumat. Ya, hanya coretan mengenainya sahaja. Susah mahu mengunyah kisah
yang cukup panjang dan dalam ini. Tunggulah suatu masa nanti. Hanya seorang
lelaki sahaja, saya kira, mampu mengunyahnya dengan hadam. Bila dia juga telah
sampai ke suatu “situasi” itu!
**************
Tiada pelajaran, tiada harta tinggalan. Lelaki itu
hanya seorang lelaki biasa yang belajar untuk hidup sama seperti insan/lelaki
lain yang juga lahir sama sepertinya. Apa yang disyukuri, dia lahir sempurna
dengan segala kurniaan ALLAH, diberikan kesihatan yang kadang kala disapa
ujian. Dia benar-benar seorang lelaki biasa dalam kelompok masyarakat yang
biasa. Kerjanya membanting tulang seperti lelaki-lelaki lain. Kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang. Lihat dan dengar semua itu, memang terasa
kebiasaannya.
Alah! Mari memudahkannya! Lelaki itu adalah seorang
ayah, yang berusaha bekerja membesarkan anak-anaknya. Dia menyara atas
bantingan tulang dan perahan keringat. Bertungkus lumus di bendang dan ladang,
di sawah dan padang. Semuanya tempat berkampung demi rezeki dan nafkah. Dan dalam
kedaifan hidup itu, seorang ayah tetap juga membina sebuah rumah, yang kadang
kala bagai tak logik dipandangan mata. Rumah yang mungkin, kita lihat seperti
biasa sebab kita benar-benar dah biasa, tanpa tahu betapa tinggi nilainya…
**************
Maaf. Sudah tak dapat mencoret lagi. Cukuplah dulu
setakat ini jika masih ada ‘nanti’.
****************
Petang tu semua pakat jadi buruh binaan. Abang Own
pegang kepala tiang konkrit 8 kaki tu, kami yang berenam ni (K.Syikin, Nadia, kak long, Asyraf
yang tingkatan 1 tu dan Aiman yan darjah 5 tu) pakat pegang bahagian tapak. Ya
Rabbi! Memang berat tahap gaban kot! Tiang konkrit la. Huhu, nak buat bilik air
belakang umah tu, untuk bilik orang sakit. Dulu,,,,masa ayah buat semua tu
memang tak kacau kami pon. Buat sendiri saja. La ni sebab ayah dah tak boleh
lagi, baru kami jadi kerahan tenaga semua. Tak terjangka kan! ALLAH…mesti ayah
sedih dan susah hati tengok kami semua petang tu….tapi itulah hakikatnya, hidup
perlu diteruskan. Moga ayah cepat sembuh semula. BUKAN untuk buat kerja lagi…cukuplah
sembuh seperti layaknya insan tua yang biasa…Ameen.
Kesian jugak kat mak…
Alhamdulillah ‘ala kulli hal wa niqmah.
( Buat para pemuda : bila kita sibuk nk cari bidadari, mungkin dia ada di tepi.. tapi kita
tak sedar siapa.. Cuma, ALLAH dah bagi yang jelas di depan mata..dua anak kunci
syurga..pilihlah untuk pegang ia dengan seteguhnya)
**********
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon
kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya
sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan
bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku,
Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan
pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Labels:
Coretan sang hamba,
diari,
Family,
muhasabah,
rindu
Subscribe to:
Posts (Atom)