Tuesday, April 26, 2011

Nota dikala Exam

Dengan nama Allah Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani,


Nota sepanjang musim peperiksaan dan penyiapan laporan Projek Sarjana Muda. Tak banyak masa yang ada untuk mengupdate blog. Musim-musim begini cepat benar kuasa mata meningkat, rabun semakin menjadi-jadi. Kepala yang pusing-pusing dan perut yang selalu meragam. Bukan seorang dua sahaja, malah ramai yang terkena. Demam juga masih sudi menyinggah sekejap. Dan dijangkit pula pada rumate. Itulah perjalanan sebagai pelajar. Teringat pesanan ustaz dulu :


“Kat Universiti nilah kamu nak kena gastrik, nak rabun…sebab apa, kalut study”


Dalam erti kata lain, tidak mengamalkan diet pemakanan yang sihat. Tahu bahawa kesihatan itu adalah salah satu nikmat terbesar yang perlu dijaga, tapi masih gagal untuk mahu melaksana sepenuhnya. Itulah lemahnya manusia, tak apa selagi tak benar-benar kena pada batang tubuhnya. Ditambah dengan tekanan(tension) semasa study, macam-macam boleh terjadi. Inilah akibat tidak mengurus diri mengikut konsep pengurusan yang dianjurkan oleh Islam. Mengurus mengikut nafsu sendiri, pemikiran sendiri tanpa sandaran kepada al-Quran dan Sunnah, memang sering memudahkan kita untuk terbabas.


Allah SWT lebih mencintai mukmin yang kuat berbanding yang lemah. Oleh itu, marilah kita sama-sama membina kekuatan (seruan yang dalam dan panjang untuk diri sendiri) dengan mengawal dan menjaga kesihatan (sebagai salah satu cara) dengan sebaik-baiknya. Kali ini nak berkongsi mengenai Tekanan Darah Rendah, copy dari sebuah blog perubatan, moga dapat dijadikan peringatan buat diri dan sekalian agar tidaklah menjadikan “pengsan dimana-mana sahaja” itu sebagai satu kebiasaan.


Apa itu Tekanan Darah Rendah ?


Tekanan darah rendah (hipotensi) adalah keadaan tekanan darah yang lebih rendah dari tekanan yang diperlukan oleh tubuh, sehingga setiap organ dari badan tidak mendapat aliran darah yang cukup dan menyebabkan timbulnya gejala hipotensi. Tekanan darah seseorang adalah berbeza. Ini kerana ia membabitkan kawalan utama otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah.


Bagi penghidap tekanan darah rendah, mereka tidak akan menunjukkan tanda mereka mempunyai penyakit tekanan darah rendah. Mereka akan menunjukkan gejala atau tanda-tanda awal seperti:-


  • cepat lelah
  • pening kepala ketika posisi badan berubah
  • sukar untuk fokus
  • mata berkunang-kunang
  • mual
  • kulit berasa dingin, pucat dan lembap
  • pernafasan cepat dan pendek
  • defresi
  • cepat haus

Tekanan darah ditentukan oleh dua pekara, iaitu jumlah darah yang dipompakan oleh jantung dan tahanan (resistensi) pembuluh darah yang kecil-kecil pada tubuh. Terdapat beberapa penyebab yang boleh tekanan darah rendah terjadi iaitu:-


  • Kekurangan volum darah - cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang tidak boleh terkawal
  • Dehidrasi - dehidrasi yang mengurangkan kandungan cecair dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit.
  • masalah jantung - deyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang terlalu lambat.
  • Keadaan otot yang lemah.

Disalin dan diedit daripada : http://www.thetole.org/MalayHerbalMedicine/LowBloodPressureTreatmentCure.html


*****************************************


Daripada ibnu Abas R.A berkata , telah bersabda Baginda SAW , terdapat dua nikmat yang kebanyakannya manusia sering lupakan iaitu `nikmat sihat dan nikmat masa lapang'

(hadis diriwayatkan oleh Bukhari)


***************************************


Dapat berita abang sepupu akan melangsungkan perkahwinannya. Sangat terkejut tapi benar-benar bersyukur. Penantian yang terlalu lama rasanya, akhirnya bertemu juga jodohnya. Semoga Allah memberkati. Dalam kejutan ini diri terasa disuntik ubatan yakin yang kuat. Yakin bahawa jodoh itu ditangan Allah SWT sahaja. Dia yang tetapkan siapa, bila dan dimana. Sekelip mata jodoh boleh mincul, dan juga boleh hilang. Jadi Yakinlah…usah bimbang pada yang tidak pasti! Yakin pada pertemuan yang pasti dengan-Nya!


yang diam-diam

ttiba-tiba riuh

yang hangat-hangat

tiba-tiba membeku

itu bukan lumrah

tapi ia sebahagian sesuatu

yang mungkin terjadi

ada airmata yang alirnya nampak

ada pula yang tesembunyi di dalam

kita hanya meneruskan perjalanan

seberang sana kita menduga-duga dan merencana

tapi, apa jua yang ditemui

maka redhalah..

yakin bahawa itu yang terbaik buat kita…


(p/s: Abang sepupu dah berusia 40+ baru jumpa jodohnya, erm, miracle do happpen coz ALLAH is the Almighty)


************************



“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Sunday, April 3, 2011

:: PSM dan Ibu ::


Penghargaan yang tidak terhingga buatmu yang bergelar ibu,

Menanggung lelah membesarkanku,

Melindungi semenjak di dalam rahimmu,

Membawaku kemana-mana,

Tabah berpantang segalanya hanya demi keselamatanku

Resah tidur malammu kesakitan di sana sini sepanjang diriku di dalam dakapan rahimmu,

Kau tetap gembira walau kesakitan itu mendatang tiap waktu,

Senang sekali dikau mengusapku lembut,

Memberitahu bahawa mak dan ayah tidak sabar menanti

Menunggu lahirku menjadi si soleh solehah..



Saat makanmu tidak teratur,

Peningmu acap kali hinggap,

Loyamu tak kering menatap muntah yang asyik,

Perut yang kesakitan,

Dan lenguh yang berpanjangan..

Nafas semakin sesak dari sehari ke sehari

Kerana dikau kini berkongsi nyawa itu denganku..

Pekerjaanmu semakin lambat,

Langkahmu semakin penat

Tapi dikau masih tenang menanti

Dalam redha dikau tetap menyayangi..



Demi melahirkanku,

Dikau mungkin kehilangan sesuatu,

Saat cergasmu, saat riamu, malah seleramu yang patah,

Wahai ibu,

Jalan tuju menjadi insan mulia bergelar ibu

Tampaknya teramat payah,

Hingga Allah menukilkan di dalam kalamNya,

“Wahnan ‘ala wahnin”

Jadi bukti penyeksaan dan penderitaan yang dikau lalui..



Indah dan mulianya dirimu wahai ibu

Tinggi darjatmu disisi yang Esa,

Tabah jihadmu diberikan pahala syuhada.

Semoga Jasamu itu,

Suatu hari nanti

Terbalas Syurga!




Didedikasikan untuk sahabat-sahabat yang sedang meniti hari untuk bergelar ibu , dan juga sudah bergelar ibu sambil pada masa yang sama sedang berusaha menyiapkan PSM. Dalam lemah yang teramat itu kamu semua masih berdiri. Diri ini ingin memberikan sepenuh penghargaan, dan penghormatan. Tabahlah wahai sahabat, pasti ada HIKMAHNYA kamu teruji begini disaat getir ini. Moga yang bakal lahir itu nanti, sehebat mujahid dan mujahidah di jalan Illahi. Ameen.


P/S : Selepas dengar kesusahan sahabat2, jadi malu yang teramat untuk mengeluh. Moga Allah kuatkan hati kita semua ya..InsyaALLAH..Ameen.


************************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”