Alhamdulillah ‘ala kulli hal…
Subhanallah….astagfirullah…
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…
Dalam hembusan nafas, melalui detik demi detik di dalam ramadhan kareem, ada banyak sekali perkara yang terlepas pandang. Amalan dan usaha mempertingkatkannya yang perlu diberikan penekanan penting agar tidak sia-sia Ramadhan yang dilalui. Dan amatlah diyakini bahawa ketentuan Allah itu terlalu pasti.
2008 – Allayarhamah Kak Hanan dalam kenangan.
2010 – Allahyarham Akhtar meninggalkan kami.
Dalam tempoh 3 tahun setengah di UTM, dua jiwa yang ku kenali telah kembali menyahut panggilan Illahi. Memulangkan kembali apa yang telah dipinjamkan. Masih berbaki satu semester di UTM. Lamaran apakah pula yang bakal menemui….
**********
Mungkir nikmat…
وَإِذَا مَسَّ النَّاسَ ضُرٌّ دَعَوْا رَبَّهُمْ مُنِيبِينَ إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا أَذَاقَهُمْ مِنْهُ رَحْمَةً إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ (٣٣)
33. Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka Dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadanya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadanya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu Yang lain Dengan Tuhannya; (Ar-Rum :33)
Tabiat manusia, apabila menghadapi kesesakan dan kesempitan, pasti mencari tempat mengadu, tempat menangis dan memohon pertolongan. Pada masa inilah kebanyakan manusia meminta dan mengadu kepada ALLAH. Mereka tunduk sujud menghadapnya dengan penuh lemah dan mengharap sepenuhnya hanya kepada Dia.
Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. Dia tidak pernah membiarkan hambaNYA sendirian, lalu dikurniakan segala kebaikan dan nikmat kepada mereka untuk disyukuri. Tapi sebaliknya yang terjadi. Manusia yang lemah itu, tatkala mendapat nikmatNYA merasakan cukup besar dan hebat, sehingga mereka kufur nikmat itu dan lalai dalam mengingatiNYA. Sujud yang tika susah itu lama dan damai, menjadi sepantas kilat dan kelam kabut. Terlalu banyak urusan untuk diselesaikan sehingga ALLAH bukan lagi pilihan utama.
Itulah sikap manusia, yang selalu terlukis di pentas noda dunia. Astagfirullah al –Azim.
Semakin tua..
Julai 2010 – Spek mata hilang (RM 200 )
Ogos 2010 – Kitab tafsir yang dipinjam dari PSZ hilang (anggaran RM180 ke atas)
September 2010 – Handphone pemberian kak hilang (anggaran RM 300 ke atas)
Setiap sesuatu yang menjadi milik kita, amanah kita, hendaklah dijaga dengan sebaiknya. Jangan lalai dalam memegang amanah, jangan leka dalam menjaga hak dan milikan.Jadi, setiap yang dimiliki perlu dihargai, harta benda perlu diuruskan dengan baik, dan penting juga jangan asyik hilangkan barang-barang…(dengan sikap sambil lewa).
Namun…
Tua…, ujian…, teguran…, atau kifarah? Erm, yang paling penting adalah tazkirah/peringatan. Allah sedang memberitahu secara langsung bahawa setiap yang dimiliki itu adalah milikNYA. Duit yang dimiliki, barang-barang keperluan dan semua yang ada disekeliling itu adalah milikNYA belaka. Bila-bila masa sahaja akan ditarik kembali. Andai ditakdir sesuatu itu bukan milik kita, maka apapun yang dilakukan, meskipun telah berada di dalam genggaman…ia tetap akan pergi jua.
Jadi belajarlah erti ikhlas dan redha…dan bersedia…
*******
Bersedia untuk masa depan yang belum pasti….bersedia untuk kehilangan….
Masa depan yang indah, masa depan yang kelam kabut….
Kehilangan barang kesayangan, kehilangan orang kesayangan…
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ (٥٧)
57. Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).( Al-Ankabut :57)
Alfatihah untuk arwah Akhtar
********
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Ameen ya Rabbal ‘Alamin.