Dengan nama Allah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Alhamdulillah masih diberikan nafas olehNya, diberikan kesempatan menulis sepatah kata di dunia fana ini. Baru-baru terjadi suatu peristiwa yang mengemparkan UTM. Kes yang tidak disangka-sangka. Namun semua itu urusan Allah. Manusia adalah petugas yang sepatutnya mengambil ‘ibrah daripada apa yang terjadi.
Hukum Allah.
Jika kita melihat dan merenungi kembali, banyak perkara-perkara yang tidak baik sering berlaku kebelakangan ini. Masalah social yang menjadi-jadi, Jenayah yang semakin ganas dan bertambah setiap tahun, semuanya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa. Walaupun wujudnya usaha untuk membanteras masalah ini, namun masih lagi di paras yang sangat lemah keberkesanannya. Inilah kesan yang jelas kelihatan tatkala runtuhnya khilafahh islamiyyah suatu ketika dulu. Saat keruntuhan sesebuah Negara kerana banyaknya masalah yang berlaku. Penulis pernah mendengar satu ungkapan, iaitu “Majunya sesuatu kaum itu kerana akhlaqnya, apabila hilang akhlaqnya maka mundurlah ia..”. Dan Malaysia sedang menghadapi krisis akhlaq yang semakin teruk sekarang….
Pada pandangan penulis inilah akibatnya apabila manusia yang bertaraf hamba ini, menolak sistem hidup yang telah ditetapkan oleh Penciptanya. Mereka menolak segala bentuk perundangan hidup dan juga sistem pendidikan yang dianjurkan Islam, seterusnya mengagung-agungkan sistem pemikiran ciptaan manusia itu sendiri. Maka apabila hukum Allah itu tiba, maka berlakulah apa yang dikatakan sebagai musibah kepada masyarakat. Memetik kefahaman kata-kata Umar Abdul Aziz, bahawa kemungkaran yang dibiarkan tanpa pencegahan akan menyebabkan turunnya musibah yang akan mengenai semua pihak.
Maqosid yang terabai
Rasanya seolah nilai hidup jadi terlalu murah dan tidak berharga sekarang. Pembunuhan berlaku di mana-mana sahaja dalam bila-bila waktu. Seperti nyawa sudah tidak bererti lagi. Tiada nilai lagi. Sedangkan maqosid amat mementingkan pemeliharaan nyawa. Ya, maqosid sudah terabai. apabila Agama yang menjadi maqosid utama diperkotak katikkan, maka maqosid yang kedua juga lebih-lbih lagi akan terancam. Begitu juga maruah, akal dan harta. Susunan tertib ini adalah sangat sangat sesuai dengan fitrah manusia. Sayangnya manusia sendiri yang menolaknya.
Muslimatku..
Pabila pemerintah tidak menjaga maqosid ini. Maka hendaklah individu itu sendiri menjaga dan berusaha memastikan agar maqosid ini terus terpelihara. Tanggungjawab menjaganya menjadi fardhu Ain keatas setiap umat. Lalu penulis terpanggil untuk menyatakan sesuatu kepada golongan muslimat.
“Muslimatku,
Berhatilah dalam setiap tuturmu,
langkahmu,
senyumanmu
dan juga gerak perasaanmu,
kamu insan yang istimewa yang Allah kurniakan pelbagai kelebihan.
Kamu memiliki kelembutan yang padanya ada cebisan kekuatan yang bisa mengegarkan alam.
Kamu diberikan anugerah melenturkan hati sekeras waja.
Kamu miliki separuh keindahan dunia.
Namun, dalam segala yang Allah berikan itu, kamu juga boleh bertukar menjadi pemusnah semuanya.
Oleh itu muslimatku,
Hijabkanlah diri kamu keseluruhannya,
Janganlah dikejar kemasyhuran sementara,
Sedang dengan kemasyhuran itu engkau ‘membunuh’ manusia.
Melahirkan ‘haiwan’ yang akhirnya mencederakan dirimu jua,
Usahlah dipamer keindahan pinjaman dari Yang Esa,
Bimbang benar pameran itu melahirkan saka yang mengganggumu setiap masa,
Dan Jangan kamu seberaninya melanggar batasan ketetapan agama,
Berjalan sendirian tanpa teman di malam hari,
Hingga banyak musibah yang mengelilingi..
Muslimatku,
Kamu sudah cukup ayu dengan hijabmu,
Kamu sudah cukup indah dengan sopanmu,
Peliharalah ia sebaiknya.”
Semoga Allah memberikan kekuatan untuk pejuangnNYA meneruskan langkah juang di penjara dunia ini. Ameen.
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”
Ameen ya Rabbal ‘Alamin.