Thursday, September 29, 2011

Ijazah Pertama


Pingat Anugerah Dekan & Pingat Emas Tun Fatimah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

26 September 2011, tarikh yang menemui ketetapannya bahawa seseorang dan beberapa orang juga akan menerima penganugerahan ijazah pertama mereka. Dalam debaran mengenangi sepenuh jiwa akan setiap perjalanan sepanjang melalui pengajian, akhirnya hari itu tiba.


Kami berkumpul semula pada pagi itu, berbaris dengan segak dan berarak masuk. Satu demi satu aturcara program dilalui hingga giliran kami tiba juga. Dalam kegembiraan, sebak dan entah apa perasaan yang lain. Kesibukan dan kegelisahan., entah apa yang dilalui, ditempuh, kami selesai menerima ijazah pertama selepas empat tahun meneruskan pengajian di bumi UTM ini.


Bagaikan mimpi, apa yang berlalu terasa mudah pula meskipun sebelumnya terasa perit dan payah. Sakit dan susah. Tapi, bila kaki tetap cekal melangkah, dan tangan tabah menerjah maka hasilnya tetap adalah kepuasaan atas segala usaha yang pernah dicurahkan. Yang jatuh dan masih tertunggu pula bukan kalah, tp mereka masih lagi di alam ketabahan itu, sedang kami perlu bersedia untuk mencarik ketabahan pada situasi yang baru.



***********


“Seperti orang lain, kami juga masuk ke sini dengan cita-cita untuk mendapat husnul khatimah, di Universiti, kami ingin mencapai yang terbaik dan bergraduasi dengan kepujian kelas pertama” Inilah antara tutur kata yang pernah penulis sampaikan di hadapan kelas. Penulis masih ingat, ketika tutorial Aqidah di semester pertama pengajian. Penyampaian dalam bahasa Inggeris itu agak tersekat-sekat tapi jelas pada maksud dan harapannya.


“Saya nak grad dengan 3.9 ke atas” Ini pula target penulis ketika berada di tahun empat semester pertama. Agak lambat azam ini ditanam sehingga ia agak lewat juga untuk direalisasikan. Alhamdulillah, kepujian kelas pertama tetap berjaya dirangkul walaupun tidak terrealisasi harapan yang kedua itu.


Melihat kepada situasi ini, penulis ingin menyatakan bahawa azam mestilah dilakukan sejak dipermulaan jalan lagi. Dan digilap dan di”panas”kan apinya dari semasa ke semasa. Bukan bererti azam di pertengahan itu tidak boleh, tetapi azam yang masih di awal perjalanan itu lebih segar untuk diingati dan direalisasi. Sedang azam dipertengahan jalan menuntut lebih banyak pengorbanan dan kepenatan untuk direalitikan.



*************


Sebuah pesanan buat diri dan sesiapa yang masih di alam kampus. Pengajian di Universiti banyak peluang dan manfaatnya jika digunakan sebaiknya. Setiap peluang dan kesempatan mestilah direbut dan digunakan sebaiknya. Pada masa inilah sebenarnya, ruang keemasan untuk menggilap bakat dan kemampuan. Mengejar kebolehan dan keistimewaan diri, malah peluang untuk "memilih" jalan hidup yang terbaik. Menjadi mahasiswa cakna yang tahu halal dan haram, atau mahasiswa yang "buta" dengan akademiknya hingga buntu dalam kemahiran insaniah yang lain.


Menyertai persatuan dan aktiviti keilmuan + sosial tidak akan mengurangkan masa anda untuk menuntut ilmu, Kerana menyertainya juga sebenarnya anda sedang belajar! Belajar tentang manusia, tentang kehidupan! Belajar menjadi manusia yang tahu fungsi dan tugas dirinya, mengetahui apa itu perasaan dan keadilan, apa itu kebenaran dan kebatilan.


Penulis sendiri terlibat dengan aktiviti di kampus, malah di sekolah lagi. Di kampus antara kelab dan persatuan yang pernah melibatkan diri adalah Kelab Iqra, JKSK, PMI, IMPI, program-program motivasi dan kem di sekolah-sekolah, dan juga Global Outreach. Semua ini membantu mengenalkan dan menjadi pengalaman yang terbaik dalam proses pembelajaran.



********************


Paling penting jangan jadi lokek untuk turun padang menegakkan kalimah ALLAH! Ihfazillah, yahfazik!


"Penerima anugerah akademik seterusnya, Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim, Wan Nurulhuda binti Wan Jusoh, Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam) "


Alhamdulillah, semua itu rezeki daripada ALLAH. KetentuanNya, kurniaanNya. Kita sebagai hamba hanya berusaha mengikut landasan syarak yang telah ditentukan. Allahlah yang meninggikan darjat seseorang, juga menghinakan seseorang..semua itu adalah di dalam kekuasaanNya. Oleh itu, jangan takut untuk mengatakan kebenaran, menegakkan kalimah-Nya.


Apa yang paling penulis harapkan, adalah keistiqamahan diri dalam jalan yangtelah dipilih ini. Memohon agar thabat dalam kebenaran dan dijauhkan daripada penyimpangan serta penyelewengan. Jauh daripada takabbur dan sombong....Ameen.



************



sekalung TAHNIAH buat semua yang telah memiliki ijazah masing-masing. Semoga Ijazah yang diterima akan menjadi pemangkin untuk terus memberikan kebaikan dan manfaat kepada sekalian alam. InsyaALLAH.


Dan secebis ingatan buat Allahyarhamah Kak Hanan, Al-Fatihah.



***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Tuesday, September 20, 2011

pada yang masih bertahan denganku..Terima kasih..

It’s me

“Pernah suatu masa, saya rasa seperti mahu bersembunyi daripda seseorang. Tak mahu jumpa dia, tak mahu lihat dia. Malah tak mahu langsung ada kaitan dengan dia. Bayang-bayang pon harap tak nampak!”


Pernahkah anda hadapi hal seperti ini? Terasa lemas untuk berhadapan dengan seseorang, tidak selesa, cemas dan resah. Jika diikutkan hati anda pasti sudah melarikan diri, mematikan semua talian yang ada untuk memastikan tiada satu panggilan pon daripada orang yang anda ingin bersembunyi daripadanya itu. Anda ingin pergi jauh! Segera dan sekarang!!



Jika pernah, bolehkah anda nyatakan punca-punca perkara ini berlaku? Faktor-faktor pemangkin yang boleh menyebabkan hal yang diimpikan anda itu menjadi satu realiti?


  • Kerja yang diminta tidak selelsai.
  • Tertekan dengan tindakan, gaya dan tindakan orang itu.
  • Dia yang terlalu bermulut lancang dan sering memalukan anda di depan orang lain.
  • Anda terlalu menyayanginya dan tidak mampu mengatakan tidak kepada dia. Bersembunyi adalah jalannya untuk mengatakan tidak.
  • Dia hanya tahu membebankan anda.
  • Anda telah melakukan sesuatu kesalahan kepada dia.

Penulis tidak pandai untuk mengulas daripada perspektif psikologi, Cukuplah sekadar sudut pandangan penulis sendiri. Hal seperti ini adalah perkara yang sering berlaku dalam urusan seharian kita. Tekanan sebagai seorang pelajar mahupun seorang pekerja adakalanya menyebabkan perkara ini terjadi. Malah tidak mustahil hal seperti ini turut berlaku di dalam ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Kita dan dia. Ada perkara yang menjadi penghalang sehingga kita terasa lemah untuk terus bertahan.


Halangan yang dimaksudkan diatas boleh berlaku kerana wujudnya pertentangan atau ketidakupayaan. Pemikiran dia yang berbeza dengan kita sehingga menyebabkan berlaku pergeseran, perbalahan pendapat dan ketidakpuasan hati. Boleh jadi juga kerana permintaannya yang terlalu tinggi terhadap keupayaan kita yang terhad. Bahkan, harapannya yang menggunung pada sebuah ketidakmampuan untuk menunaikan sehingga kita terasa terlalu sesak dan penat untuk berhadapan dengan dia.


Dalam hal ini, kita perlu melihat dengan pelbagai sudut (angle) seperti kita melukis kehidupan dalam frame yang berbagai angle juga. Angle yang jauh, hanya memberikan bird view sahaja untuk kita. Angle helicopter terbang rendah pula lebih jelas, namun masih ada angle lain yang dapat menjelaskan kepada kita tentang sesuatu itu. Pandang depan, sudut sisi kiri dan kanan, serta belakang. Jangan pilih salah satu, tetapi pilih semuanya.



Yang bererti hargai dan syukuri

Penulis tidak berminat mengemukakan cadangan atau pandangan bagaimana untuk menyelesaikan hal diatas. Bukan juga kata-kata nasihat atau sokongan untuk mereka yang menghadapi hal seperti ini untuk meyelesaikannya. Tetapi penulis ingin berfokus kepada “kita” dalam situasi yang sama tetapi di kedudukan yang berbeza. Kita yang mungkin menjadi “dia” yang menyebabkan perasaan “kita” menjadi perasaan “dia”. Bahasa mudahnya, kita sebagai individu yang menyebabkan seseorang itu hampir lari atau ingin bersembunyi daripada kita.



Realitinya, setiap daripada kita mempunyai kelemahan dan kedegilan yang tersendiri. Ego dan pendirian yang tegas, kata-kata yang lancang dan sindiran yang tajam, baik untuk musuh mahupun orang sekeliling yang akrab. Sehinggakan secara tidak sedar kita menjadi “dia” yang menakutkan dan tidak ingin ditemui oleh sesiapa termasuk rakan baik kita sendiri. Tekanan dan permintaan yang kita pikulkan ke bahu orang-orang sekeliling dengan perasaan “aku boleh buat, kenapa dia tak boleh?” tanpa memikirkan perbezaan kemampuan sehingga menyebabkan hal di atas berlaku. Cara dan gaya kita yang seperti tidak endahkan orang lain, tidak peduli atau “aku mahu kau lebih kuat”, “aku mahu begini, begini dan begini” seringkali berlaku tanpa sedar bahawa itulah kita.



Atau mungkin kita hanya mahu membantu mereka, dan kita beranggapan kekerasan beginilah yang mampu membantu…cara ini yang terbaik untuk mereka.


Cuma, sila sedar sesuatu,


Bahawa kita, masih ada mereka…dan mereka masih berdiri di hadapan kita, kerana mereka mampu untuk menghadapi kita, dan menelan segala kepahitan dan kepenatan untuk bertemu kita. Mereka cukup sabar dan tabah untuk itu.


Jadi hargailah mereka, dan kurangkanlah melukai mereka.


Kadang kala kita akan menyebabkan seseorang itu terasa ingin melarikan diri dan bersembunyi daripada menemui kita. Cuma, dia sedikit lebih tabah dan bertahan untuk terus menghadapi kita, barulah dia masih berdiri di depan kita pada masa ini


Hargai mereka yang masih disisi, bertahan dengan kita. Dan sukurilah Allah mengurniakan mereka untuk kita.



***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Thursday, September 15, 2011

Aidilfitri 2011

Dengan namaMu ya ALLAH..daku mulakan..


Aidilfitri tahun ini, ulangan kisah tahun-tahun lalu barangkali, cuma kelainan pada masa dan rasa. Juga secebis suasana yang mungkin menerima "pembaharuan" dalam hidup. Sama ada yang baharu itu lebih baik, atau sebaliknya, diri sendiri yang memutuskan keputusan itu.


Insan-insan yang melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan hati sebagai magnet penyerap kebaikan, pasti ada pengijazahan yang diperolehi. Bagi insan yang sebaliknya pula, kesia-sian jugalah yang menjadi hamparan laluan mereka sepanjang Ramadhan. Keistimewaannya terlepas dan berlalu terus tanpa sebarang sisa tinggalan.



My Eid~~


Tahun ini, penulis menyambut Eid-Fitri sebagai salah seorang ahli keluarga yang sudah bekerja.
Bahasa mudahnya "kena bagi duit raya". Dan memang perlu melibatkan diri dalam urusan perbelanjaan hari raya, cuma dalam urusan yang melibatkan angka yang kecil. Yalah, kerja kecil-kecilan sahaja. Aim utama kerja adalah untuk menguruskan pembayaran dan belanja untuk majlis konvokesyen kali ini.


Rezeki yang melimpah, penulis berpeluang untuk pulang berhari raya lebih awal dan kembali bekerja lebih lewat daripada orang lain. Memandangkan kepulangan yang lebih awal daripada adik beradik yang lain, maka tugas untuk menyelesaikan hal-hal yang perlu sebelum aidilfitri jatuh ke bahu penulis. Beberapa jenis kuih raya sudah penulis beli sebelum pulang lagi. Membeli barang-barang yang diperlukan serta menjalankan operasinya.


Hutang-hutang yang tertangguh telah diselesaikan kecuali PTPTN. Yang ni hold dulu. Giliran sampul-sampul kecil pula untuk diisi, ya angkanya pun kecil-kecil sahajalah. Bilangan sampul ini secara wajibnya ada 16 untuk yang kecil-kecil, satu untuk separuh besar dan 2 untuk yang paling besar. Bilangan mengikut keperluan.



Majlis Keluarga.

Raya pertama, biasa sahaja. Tahun ini giliran rumah mertua belaka. Raya kedua barulah riuh dengan ketibaan abang-abang dan kakak-kakak dengan bala tentera mereka. Raya ketiga ada majlis keluarga. Dua ekor kambing ditumbangkan. Semua yang dijemput hadir, kakak sepupu, abang sepupu, mak saudara dan bapa saudara, yang tak pernah kenal pon hadir. Penulis dan kakak pulak terperangkap di dapur. Dengan baju yang lusuh kami kelam kabut menyediakan permintaan tetamu. Kaunter air, kaunter kuih raya, kaunter ketupat, kaunter lauk, kaunter nasi dan entah apa-apa kaunter lagi. Kenduri kecil-kecilan seperti ini memang sepenuhnya diuruskan oleh ahli keluarga sendiri., abang -abang pula sudah berada di depan. Awal pagi tadi mereka sudah "berkapak" dengan kambing.


Dan kaunter pembersihan, amalan paling biasa untuk orang-orang bujang yang muda-muda. Akhirnya bala tentera muda yang manis-manis diberikan peluang berbakti. Kak Long, Kak Ngah, Kakak dan Mak Su menjadi anggota sementara menguruskan operasi basuh membasuh pinggan kenduri. Sebelah petang, penulis yang berpanggilan "mak cik" inilah yang mengambil alih tugas membersihkan periuk yang besar-besar. Abang-abang sibuk lain, kakak-kakak semua ada anak kecil yang perlu diuruskan. Anak-anak hilang entah kemana. Lesap dengan mood raya mereka.


Malam terbaik!

Malamnya, dimulai dengan pak lang (abang y ketiga) ramai yang menjerit-jerit nama adik beradik sendiri untuk berbaris menerima sampul raya masing-masing. 12 sampul dikeluarkan pak lang memandangkan anaknya sendiri ada empat orang. Jadi jimat lah empat sampul. Diikuti Pak Long dengan 10 sampul.

[ Formula sampul : Jumlah bala tentera (tolak -) jumlah anak sendiri ..heheh]

Tiba-tiba ada yang menjerit,

"Mak Cik nak bagi duit raya! cepat, cepat!!"

Memandangkan mak cik belum memiliki anak sendiri untuk menyumbang kepada bilangan bala tentera yang ramai itu, maka 16 sampullah yang perlu dikeluarkan. Berebut-rebut mereka beratur sepanjang beberapa depa. Kemudian sampai giliran Pak Teh dan Mak Ngah. Riuh rendahnya seolah-olah sedang berada di pasar malam yang sangat sibuk. Tapi ia amat bermakna, kerana itulah pertama kali aidilfitri menghulurkan kesempatan buat penulis untuk memberi seperti mana orang lain biasa memberi.


Selepas Pulang

Tidak lama cuti mereka. Semua keriuhan itu mulai beransur pulang. Rengekan Haziq, Kenakalan Asyraf, senyuman kak ngah, kemanjaan kakak dan Zulaikha yang cerdik juga turut pergi bersama. Mak cik yang terakhir pula kembali bertugas seperti kebiaasaan orang terakhir pulang.

Namun, kesibukan itu sempat terisi dengan operasi jalan-jalan bersama sahabat lama. Entah Raya keberapa..7@8, kami merayau-rayau sekitar Kedah dan singgah juga di RFC. Majlis Aidilfitri sekolah berjalan lancar, namun kerana tarikhnya sama dengan majlis di rumah penulis maka tidak dapat dihadiri. Jadi, kami bertemu beginilah, sambiil berjalan-jalan, ziarah dan bercerita. Adakala terkena adakala saling mengenakan satu sama lain.

Hari-hari seterusnya rumah saudara mara pula dilawati. Awal Syawal orang sibuk puasa 6, jadi kurangkan berjalan..^_^. Dan akhirnya sampailah masa bersiap-siap untuk pergi sekali lagi...



Kembali ke UTM, dan bersedia untuk majlis hujung bulan ini....
Moga jalan hidup ini berterusan mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH SWT. Ameen.



***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Wednesday, August 24, 2011

Salam Lebaran~~



Salam Lebaran buat semua sahabat dan kenalan. Moga amalan sepanjang Ramadhan diberkati Allah selamanya. Ameen


*********************


Ya ALLAH sesungguhnya aku memohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku,

dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku,

melainkan apa yang telah Engkau catatkan untukku,

dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku,

Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat,

Matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh.


Tuesday, August 23, 2011

Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbir~~~


Tolong jangan datang

Sekadar untukmenyakitkan,

Walau tanpa sedarmu.

Hingga aku sesak

Lantas kerap aku lari

Agar kau tidak kelihatan lagi..


Bunyian unggas malam mengamit pendengaranku untuk menjadi lebih peka. Cenggerik yang berbunyi, desir-desir angin yang menyapa, menjadikan hutan di malam hari tidaklah sesunyi mana. Namun iramanya tenang sekali berbanding keriuhan malam di desa. Kakiku semakin lemah, terasa menggigil dan kesejukan yang teramat. Penat sudah mulai menguasai hingga akhirnya sudah tidak lagi sedar dimana ku berdiri.


Siang harinya, wajah datuk menyapa pandangan pertamaku. Ya, agaknya semalam datuklah yang membawaku pulang. Berjalan di hutan rimba seperti itu adalah kemahiran datukku. Abah pernah bercerita bahawa datuk sangat mahir dengan selok belok hutan belantara di pergunungan ini. Nenek pula tak sudah-sudah mengetawakanku. Katanya sikit sahaja berjalan sudah penat, gelap sahaja sudah takut. Bagaimana mahu menempuh hidup tanpa kemewahan dan tanpa kesenangan suatu hari nanti?


“Bisanya biar ketemu harimau dahulu, baru pengsan, ini ngak..laju aja jatuhnya sedar-sedar sudah ke tanah..” ujar nenek sambil tersenyum kepadaku. Aku hanya membalas senyum. Malu juga bila pengsan begitu, Nampak benar lemahnya.


“Jatuh itu biasa. Kadang-kadang kita capet bangat, tapi jangan ajarin diri untuk lari, jangan biasain jatuh..nanti jadi habit..” Giliran datuk menyapaiku. Aku angguk-angguk.


“Seperti itu juga jangan lari dari masalah, tiada yang susah, ttiada yang mudah..hadapinya baru bisa selesai” Datuk menambah tuturnya. Mukaku kelat. Ya, benar kata datuk itu. Aku rasa datuk dan nenek tahu kenapa aku tiba-tiba sahaja ingin bercuti di kampungg bersama mereka. Masalah! Pandai benar nenek dan datuk membaca hatiku. Mungkin mereka cuma tidak tahu masalah apa yang aku hadapi..


“Jangan menawan hati jika tidak mahu mentadbirnya, sebab itu pergaulan harus dijagain, di teliti, terutamanya dengan anak laki-laki,” Aku tergamam, nenek membaca hatiku bagai buku.


Malam itu, nenek dan datuk bercerita lagi, pasal kehidupan, pasal dongengan, pasal ketaatan dan pasal pegangan. Kata mereka, Allah jadikan kita dengan hati, yang merupakan suatu kekuatan bagi kita. Namun kadang-kadang hati juga jadi kelemahan. Apatah lagi jika gagal mentadbirnya. Cuma anehnya, kadang-kadang kita mampu menawan hati orang lain, tetapi kita juga tidak mahu mentadbirnya. Maka timbullah masalah seperti apa yang sedang aku hadapi ini.

“Jagain akhlaqnya, pergaulannya..” itu pesan terakhir nenek ketika menghantarku di perhentian teksi. Aku mahu pulang hari ini. Mahu menghadapi masalah supaya mampu untuk ku selesaikan.


Perasaanku pada seorang teman membuatku buntu. Hatiku sudah ditawannya, tetapi dia tidak mahu mentadbirnya. Sedang, aku sendiri sudah menawan hati orang lain tanpa sengaja. Dan bila dimaklumkan, aku melarikan diri juga kerana tidak mahu mentadbirnya. Salah aku atau siapa dalam hal seperti ini?


"Barisan yang paling baik bagi lelaki ialah yang paling hadapan sekali dan barisan yang paling tidak baik ialah yang di penghabisan (paling dekat dengan barisan wanita) dan barisan yang paling baik bagi wanita ialah yang paling belakang dan yang sebaliknya ialah yang hadapan (yang hampir belakang lelaki)."

(Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa'I, Ahmad)


Aku sebak. Mungkin pergaulanku selama ini yang telah menjeratku ke lembah ini. Aku yang sering tersenyum riang di depan mereka. Aku yang melayan mereka dengan sebaiknya, hingga mudah sekali perasaan itu tumbuh di dalam hati. Sama seperti dia yang melayanku begitu, aku menganggap dia juga selesa denganku. Tidak terduga tiba-tiba temanku pula menjadi pilihannya, dan dia pula menyampaikan hasrat teman yang lain kepadaku. Aku sakit. Hingga aku lari jauh ke pergunungan itu, bertemu datuk dan nenek, mencari ketenangan di rimba yang menghijau.

“Tidak salah lelaki dan perempuan saling bantu membantu, Allah sendiri mengatakan bahawa lelaki yang beriman dan perempuan beriman itu adalah pembantu antara satu sama lain. Namun, batasannya tetap perlu dijaga. Hati mudah tertawan dengan kebaikan, mudah terluka juga kerana mentadbirnya kadang-kala perlu lebih daripada seluruh tenaga yang ada..” Usrah petang itu mengetukku berkali-kali. Aku lemah terus! Tapi aku tetap ingin bangun!



Jika tersenyum,

Biarlah pada tempat dan waktunya

Kerana aku enggan lari lagi

Bila hati tertawan tanpa tadbiran

Juga enggan menyakiti hati yang kutawan tanpa sedar

Namun tak mampu pula kumentadbirnya

Andai sayang simpanlah

Jangan pamerkan pada yang tiada kelayakan

Cukup-cukuplah dosaku menadahkan keriangan pada kesilapan

Moga-moga Allah ampunkan,

Jadi pedoman pada masa depan

Dan ditemukan dengan insan pilihan…

Yang menawan hati dengan tadbirannya jua..




P/s : Dalam ibadah juga kita di ajar agar menjaga pergaulan sebaiknya, apatah lagi dalam kehidupan harian.

***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”