Thursday, December 31, 2009

Tahun 1996, SRIPS – Kenangan yang menggamit.

“nanti siapkan karangan mengenai sirah rasulullah sebanyak 200 perkataan dalam tulisan jawi” suara ustaz Rospanizam kembali kedengaran di telinga. Aduh! Ustaz serius ke ni? Ish..masa ustaz cakap tu selamba je, macam tak serius pon. Ni Anas la punya pasal, kenapa la dia ingatkan ustaz pasal ni. Penulis merungut-rungut juga. Bukan tak buat, tetapi tak mencukupi 200 patah perkataan, tapi kebanyakan rakan sekelas yang lain memang tak buat kerja yang diberikan ini. Yalah, ustaz cakap pon macam main-main ja, mana tahu ustaz serius pulak nak kami serahkan.

“Ha, Wan, mana kerja kamu?” sempat ustaz nak mengenakan penulis.

“Ada ustaz, ..er…tapi..tak cukup 200 perkataan”..penulis menjawab lambat-lambat.

“Berdiri atas kerusi..” Ustaz mengarah selamba. Mak aih, kali pertama sebagai budak yang di cop “baik” di sekolah kena berdiri atas kerusi. Wah! Tapi itu boleh tahan lagi, 4/5 daripada kawan-kawan sekelas yang lain di denda junjung kerusi kayu dan berlari mengelilingi kawasan sekolah yang boleh tahan jugaklah luasnya.Malah sepupu penulis, Siti telah tersepak batu semasa berlari dan terjatuh. Akibatnya, kain sekolahnya koyak dan lututnya berdarah, maklumlah batu lada. Tapi lari tetap kena lari. Entah berapa pusingan penulis pon tak berapa pasti, yang jelas agak lama mereka diluar dan kembali ke kelas hampir tamat masa ustaz. Sebelum masa tamat ustaz memberikan beberapa peringatan untuk kami. Dan menghantar tugasan.

Itu antara apa yang kami tempuhi setiap hari menjadi pelajar SRIPS selama 6 tahun. Denda diberikan sebagai didikan supaya lebih berdisiplin. Rotan adalah rencah harian jika sering melakukan kesilapan dan kenakalan. Dalam didikan guru-guru yang sangat ikhlas. Dan ustaz Rospanizam juga telah tiada. Allahyarham telah kembali kepada Penciptanya ketika penulis di tingkatan 3 (seingat penulis) iaitu 3 tahun selepas penulis meninggalkan SRIPS. Sesungguhnya ustaz telah mengajar kami tentang sirah, kepayahan dan keperitan baginda Rasulullah. Dan ustaz memberikan kami praktikal (melalui denda) secara tidak langsung supaya kami lebih menghargai. Terima kasih ustaz. Al-Fatihah.

Penulis tahu, ustaz adalah seorang pejuang agama ALLAH. Ustaz-ustazah yang lain juga berjuang dijalan ALLAH. Tak mudah untuk kekal di SRIPS, gajinya tidak cukup makan, Bukan senang nak hidupkan SRIPS, banyak mengharap ehsan masyarakat, dan terlalu payah nak mempertahankan SRIPS, terlalu banyak dugaan yang mendatang, acapkali berupa ancaman dan sindiran. Tapi ustaz-ustazah itu kekal berdiri di SRIPS dengan berani dan tabah! Subhanallah!

Dan kini, SRIPS juga telah tiada. Hanya bangunannya yang kekal. Insan-insan disisimya telah tiada, begitu juga dengan namanya.

Monday, December 7, 2009

SABAR (p.1)

Perkataan “sabar” di dalam Al-Qur’an.

Sabar merupakan semulia-mulia akhlaq Islamiyyah yang dianjurkan kepada setiap umat Islam. Sabar juga merupakan kunci kemenangan suatu perjuangan. Perkataan sabar banyak diulang di dalam al-Quran;

Al-Imam al-Ghazali di dalam kitab as-sabr wa as-syukr daru rubu’ al-munajiyat, dari kitab induknya Ihya’ U’lum al-Din: Allah Ta’ala telah menyebutkan kalimah sabar di alam al-Quran melebihi tujuh puluh tempat.

Al-Alamah Ibnu Qayyim di dalam Madarij as-Salikin, memetik daripada Imam Ahmad, katanya: Perkataan sabar di dalam al-Quran disebut melebihi sembilan puluh tempat.

Abu Talib al-Makki di dalam kitabnya : Qut al-Qulub, telah memetik dari sebahagian ulama’, katanya: Manakala satu perkataan yang melebihi kalimah sabar, sesungguhnya Allah Ta’ala telah menyebut tentangnya melebihi sembilan puluh tempat.Dan kami tidak mengetahui sesuatupun yang disebut oleh Allah sebanyak ini melainkan kalimah sabar.

Di dalam Al-Mu’jam al Mufahris li Alfaz al-Qur’anul Karim di bawah tajuk
( ( صبرdengan segenap pecahannya menuliskan di dalam al-Qur’an terdapat sebanyak lebih dari seratus kali sebutannya.

Perkataan sabar disebut sebanyak 115 kali di dalam 102 surah di dalam al-Quran. . Berdasarkan pernyataan-pernyataan di datas dapatlah disimpulkan bahawa perkataan sabar banyak disebutkan di dalam Al-Qur’an. Ini jelas menunjukkan kepentingan dan kedudukan sabar kepada orang mukmin adalah terlalu berat dan penting dalam menkjalani kehidupan seharian.

Pengertian sabar

Sabar dari segi bahasa membawa maksud menahan dan tidak bertindak, yakni diam dan tidak melawan. Allah berfirman:


“ Dan bersabarlah engkau bersama-sama orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, mereka menginginkan keredhaan Tuhan mereka dan janganlah engkau hindarkan pemandangan dari mereka”
(Al-Kahfi: 28)

Maksud sabar di sini ialah : Tahanlah (teguhlah) hatimu bersama mereka.


Sabar dari sudut istilah ialah هو ترك الشكوى من ألم البلوى لغير الله الا الله yang bermaksud, tidak mengadu kepada sesama manusia di atas segala sesuatu yang menimpa dirinya, kecuali kepada Allah s.w.t.

Menurut Dzun Nun al-Mishri, sabar adalah menjauhi hal-hal yang bertentangan, bersikap tenang ketika menelan pahitnya cubaan, dan menampakkan sikap kaya dengan menyembunyikan kefakiran di medan penghidupan. Menurut Ibnu Atha’, yang dimaksudkan sabar adalah tertimpa cubaan dengan tetap berperilaku yang baik.

Menurut Amr bin Utsman, sabar adalah tetap bersama Allah s.w.t dan menerima cubaanNya dengan lapang dada dan senang hati. Ibrahim al-Khawwash mengatakan sabar adalah konsisten terhadap hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah.

Abu Muhammad Ahmad Al- Jariri mengatakan sabar adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang tenang, sedang yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi cubaan dengan mendapatkan beratnya ujian.

Sabar adalah tidak mengeluh kerana sakitnya musibah yang menimpa kepada selain Allah, tetapi jika mengeluh kepada Allah tidak apa-apa keran Allah memuji Ayyub a.s dengan firmanNya, “ Kami mendapatinya sebagai orang-orang yang sabar,” Padahal beliau berdoa kepada Allah untuk menghilangkan musibah yang menimpanya seraya berkata,


“ Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru tuhannya,’( Ya Tuhan-ku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua Penyayang’,” (al-Anbiya’: 83)

Diketahui jika seseorang hamba berdoa kepada Allah untuk menghilangkan musibahnya tidak mengurangi kesabarannya.




Berdasarkan takrif sabar yang telah dinyatakan di atas dapatlah difahami bahawa sabar adalah menerima segala yang ditetapkan Allah, baik dalam bentuk arahan, larangan, nikmat atau musibah yang menimpa diri seseorang dengan hati yang tenang dan mengembalikan semuanya kepada Allah. Di samping berusaha untuk mencari penyelesaian yang sesuai berlandaskan syariat Islam.