Saturday, December 29, 2012

Hati itu..


I

Diam dan sunyi di rumah batu. Tamannya besar tapi entah mengapa sunyi yang menyapa diri. Sebentar  tadi keriuhan “berperang” dengan seekor katak di bilik air mengubat kesepian. Namun kini, perasaan tiba-tiba letih. Bila sendiri, dan bila hati berbelah bahagi, airmata mudah mengalir dan tubuh seiring menuju ketidakselesaan yang panjang. Mungkin ingatan pada yang ditinggalkan tambah menyakitkan. Panas mula terasa di seluruh anggota. Letih tubuh bila perasaan letih memang berat, berbeza dengan letih tubuh ketika perasaan kuat, pasti dapat bertahan.

Akhirnya keputusan dicapai. Beg dibuka dan pakaian dihitung satu persatu. Mari bermusafir ke sebuah tempat yang lebih baik. Untuk sementara waktu, melarikan diri dari dilambung perasaan itu bagus juga, beri masa untuk sembuh walaupun mungkin sedikit lama.

Dalam resah gelisah, rupanya banyak lagi tugasan yang tertinggal. Tidak diselesaikan, namun hati tak dapat bertahan. Siaran perasaan yang terlalu banyak menyinggah benar-benar merumitkan. Lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang tertangguh dan kini terusan tertangguh. Ah, lemah benar hati dalam mengingati ALLAH..sebab itulah ketenangan hilang dengan mudah...

Atau sebenarnya, hati memberatkan pada kebimbangan yang berpanjangan...hampir sama! Terlalu bimbang, tidak baik juga untuk kita. Meniti hari dengan pelbagai siaran perasaan yang tidak menentu tidak akan dapat membantu apa-apa. Adakalanya siaran perasaan yang satu itu perlu dimatikan agar siaran yang satu lagi dapat fokus dengan lebih baik. MAtikan bukan bererti tamat, cuma akan dihidupkan semula pada waktu yang lebih sesuai. Ini kerana perjalanan sentiasa perlu diteruskan.


II

Ketika tiba, benar, demam kebah dengan segera. Ya ALLAH, benarlah manusia itu perlu saling berhubungan. Ia penawar dalam racun, racun dalam penawar..kita yang memilih mana satu yang mahu diperolehi dalam sebuah perhubungan, sesama insan. Dan keramahan menyuntik kelegaan, bual bicara mengusir sepi pergi. Ya, matikan siaran yang satu. Hidupkan yang satu sahaja, agar fokus lebih jelas dan ketara. 

Dan antara ubat yang terbayang mujarabnya, namun pahit untuk ditelan adalah perkhabaran-perkhabaran tentang hebatnya ujian. Ujian yang menimpa,tapi bukan untuk kita. Ia turun menghujan sahabat-sahabat yang sentiasa “berkeliaran” di lapangan perjuangan. Mereka yang terusan berlari menuju destinasi agung meskipun dirempuh badai dan taufan. Mereka yang degil untuk mengundur diri walau luka menitis di pipi. Airmata mereka terlalu mahal, ia hanya ekslusif untuk jalan Tuhan. Milik ALLAH SWT sahaja, airmata mereka turun ketika disisi Rabbnya.

Allah, dan diri ini masih lemah. Sedikit teruji sudah mula resah, sudah mula terasa payah. Sedangkan ALLAH telah janjikan ketenangan dengan sebuah ingatan. Adakah berfikir itu sudah melebihi zikir? Hingga ujian hilang nikmatnya..hilang pandangan mata hati pada hikmah disetiap ujian yang menyapa. 

Merenung diri sahabat, terasa hina dan rendahnya diri. Terusik hati, dan semerta cuba menguatkan diri. Allah..ini hanya secebis dari secebis..kuatkanlah kekuatan pada dugaan yang tak seberapa. Melihat sahabat-sahabat yang tegar berjuang tanpa sebarang pengharapan pada pengiktirafan dunia, hati terusik. Semoga ALLAH sentiasa memberikan mereka ketenangan dalam hidup, diberkati setiap langkah dan pilihan, serta dipermudahkan urusan. Maaf sahabat, hanya doa yang termampu untuk kalian. Moga daku mampu membantu dengan lebih lagi..ameen T_T


III

Maka, hari akan terus dilalui. Dan kekuatan dipohon lagi.

Ya ALLAH
ampunkan dosaku dan dosa kedua ibubapaku
Berikanlah kasih sayangMu kepada mereka seperti mana
Mereka mengasihiki semasa kecilku
Lindungilah mereka dari ujian dunia
Dan berikanlah kepada mereka kesihatan dan kemudahan pada urusan
Dan golongkan mereka dalam golongan yang mendapat redhaMU
Amen...

Ya ALLAH,
Rahmati dan lindungilah ahli keluargaku, kaum kerabatku
Adikberadikku
Limpahkanlah nur iman kedalam hati mereka
Teguhkan hati mereka dengan iman
Dan pimpinlah mereka menuju jalanMu yang lurus...

Ya ALLAH,
Berikan ketenangan dan kelapangan kepada sahabat-sahabatku
Agar mereka terus tabah dalam ujianMU
Redhailah mereka dan berkatilah mereka
Kekalkan mereka dalam keimanan dan keikhlasan
Dan dekatkanlah hambaMu ini kepada mereka agar dapat
Kutingkatkan kekuatan untuk seiring dengan mereka,
Dan kekalkan ukhwah antara kami ya ALLAH
Sesungguhnya aku tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat
Seperti mereka...
Amen..


Dan, bila rindu bertamu..doaku terus berlagu...insyaALLAH.


 




************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Wednesday, December 26, 2012

Antara



Januari semakin hampir, bermakna sekolah dan sesi pengajian akan bermula dengan segera. Sekolah akan dibuka. Pembelajaran akan bermula. Tugas yang tertinggal semasa bercuti akan disambung segera. Terdapat pelbagai perkara yang perlu diuruskan dan juga disusun atur semula. Ya, sekolah bukan tempat pengajaran semata. Ia juga sudah menjadi pusat dokumentasi dan rekod.

Anak-anak murid yang ditinggalkan. Mereka yang punya pelbagai ragam akan ditemui kembali. Nilai dan ciri pendidikan mesti terus disematkan agar mereka sekurangnya dapat menjalani kehidupan sebagai seorang insan dengan baik. Baik pada jiwanya, baik pada zahirnya. Dan baik itu bukan diukur pada neraca fikiran manusia semata, ia perlu berlandaskan syariah dengan sebenar-benarnya. Ianya sebuah perjuangan yang perlu diteruskan selagi ada yang bergelar manusia. 

Ada sahabat yang telah pulang awal ke sekolah. Demi menggalas tanggungjawab yang diberikan, perlukan persediaan yang rapi supaya prosesnya nanti dapat berjalan dengan selesa. Status mereka di FB juga turut meransang semangat untuk kembali bersedia.



Antara yang telah kembali...

Cuma, kali ini hati ada yang terbelah bahagi. Ada semangat, tapi masih perlu diperkuatkan lagi. Melihat keadaan ayah yang masih perlukan sokongan dan bantuan untuk berjalan. Malah mak juga yang semakin kurang upayanya. Hati bagaikan tak sudi melangkah untuk kembali ke sana. Asasnya mudah dan jelas, hanya tinggal emak, ayah dan adik sahaja di rumah. Adik akan mulai pengajian semula hujung bulan ini sementara menanti keputusan peperiksaan. Situasinya, agak payah untuk proses kehidupan seperti sebelum ini berjalan. Ayah masih perlukan rawatan susulan dan emak memang tak boleh tinggalkan ayah. Abang,kerja...dan banyak tanggungjawab lagi. Anak-anak lain semuanya di perantauan.

Allahu Akbar!! Adakah terlalu bimbang pada ketetapan sebuah taqdir? Bukankah ALLAH masih ada walau apa jua keadaan dan tempat? Astagfirullah...ya, keyakinan itu masih ada. Namun, maaf...sebak dan sedih itu tak dapat disisa.

Jadi, pergi tetap pergi kerana tugas dan tanggungjawab yang menanti. Meskipun sebenarnya terasa bagai meninggalkan satu tanggungjawab yang amat berat di sini. Kadang-kadang tak pasti jika akur itu adalah satu-satunya jalan yang wujud. Oleh itu, kita usahakan juga, walau tak pasti bila keputusannya. Kalau ada pilihan, tentu jawapannya ada. Akan tetapi bila tiada pilihan, apa yang ada hanyalah terpaksa. Namun, terpaksa itu biarlah ikhlas jua. Mudah-mudahan, Allah terima akan amalnya. Ameen.

dan...
 
Untuk pertama kalinya, menitis airmata mereka.

Ya Allah, ampunilah dosa mereka..berikan mereka kehidupan yang Engkau redhai di dunia dan Akhirat. Ameen.

[ somewhere and somehow, tears become a part of my strength]


p/s: Anak kunci Syurga di depan mata perlu ditinggalkan....T_T

************************

Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”


Thursday, December 13, 2012

Seorang...




 Dengan nama ALLAH...


Seorang lelaki dan sebuah rumah. Pengunyahan kisah hidup seorang insan biasa yang telah lama saya ingin tulis. Ramai orang telah melalui hakikat menjadi insan ini. Seorang lelaki dan sebuah rumah, bukanlah tentang kisah cinta, walaupun sebenarnya ia benar-benar adalah sebuah kisah cinta yang dalam. Tapi, saya yakin, kunyahan ini tidak cukup hancur, apatah lagi lumat. Ya, hanya coretan mengenainya sahaja. Susah mahu mengunyah kisah yang cukup panjang dan dalam ini. Tunggulah suatu masa nanti. Hanya seorang lelaki sahaja, saya kira, mampu mengunyahnya dengan hadam. Bila dia juga telah sampai ke suatu “situasi” itu!


**************

Tiada pelajaran, tiada harta tinggalan. Lelaki itu hanya seorang lelaki biasa yang belajar untuk hidup sama seperti insan/lelaki lain yang juga lahir sama sepertinya. Apa yang disyukuri, dia lahir sempurna dengan segala kurniaan ALLAH, diberikan kesihatan yang kadang kala disapa ujian. Dia benar-benar seorang lelaki biasa dalam kelompok masyarakat yang biasa. Kerjanya membanting tulang seperti lelaki-lelaki lain. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Lihat dan dengar semua itu, memang terasa kebiasaannya.

Alah! Mari memudahkannya! Lelaki itu adalah seorang ayah, yang berusaha bekerja membesarkan anak-anaknya. Dia menyara atas bantingan tulang dan perahan keringat. Bertungkus lumus di bendang dan ladang, di sawah dan padang. Semuanya tempat berkampung demi rezeki dan nafkah. Dan dalam kedaifan hidup itu, seorang ayah tetap juga membina sebuah rumah, yang kadang kala bagai tak logik dipandangan mata. Rumah yang mungkin, kita lihat seperti biasa sebab kita benar-benar dah biasa, tanpa tahu betapa tinggi nilainya…

**************

Maaf. Sudah tak dapat mencoret lagi. Cukuplah dulu setakat ini jika masih ada ‘nanti’.

****************

Petang tu semua pakat jadi buruh binaan. Abang Own pegang kepala tiang konkrit 8 kaki tu, kami yang  berenam ni (K.Syikin, Nadia, kak long, Asyraf yang tingkatan 1 tu dan Aiman yan darjah 5 tu) pakat pegang bahagian tapak. Ya Rabbi! Memang berat tahap gaban kot! Tiang konkrit la. Huhu, nak buat bilik air belakang umah tu, untuk bilik orang sakit. Dulu,,,,masa ayah buat semua tu memang tak kacau kami pon. Buat sendiri saja. La ni sebab ayah dah tak boleh lagi, baru kami jadi kerahan tenaga semua. Tak terjangka kan! ALLAH…mesti ayah sedih dan susah hati tengok kami semua petang tu….tapi itulah hakikatnya, hidup perlu diteruskan. Moga ayah cepat sembuh semula. BUKAN untuk buat kerja lagi…cukuplah sembuh seperti layaknya insan tua yang biasa…Ameen.

Kesian jugak kat mak…

Alhamdulillah ‘ala kulli hal wa niqmah.

( Buat para pemuda : bila kita sibuk nk cari bidadari, mungkin dia ada di tepi.. tapi kita tak sedar siapa.. Cuma, ALLAH dah bagi yang jelas di depan mata..dua anak kunci syurga..pilihlah untuk pegang ia dengan seteguhnya)


**********

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”