Sunday, July 22, 2012

Menemani (ahlan ya Ramadhan)


Alhamdulillah, masih bernafas, dan masih berpeluang menjadi tetamu Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah, ia bukan perkara yang mudah, kerana ada insan yang sudah hampir dengan Ramadhan namun di"jemput" terlebih dahulu sebelum sempat menjengahnya. Oleh itu, bagi diri penulis yang mampu menjejak ke Ramadhan, ia adalah suatu rahmat yang perlu disyukuri.

Baru-baru ini, ada beberapa perkara yang berlaku sehingga menggugah kesabaran. Terasa letih dan penat serta perasaan takut untuk meneruskan setiap langkah. Dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya tempat baru, ada saja perkara-perkara yang perlu ditempuh terutamanya hal-hal yang diluar jangka. Dalam keadaan yang agak tertekan, ALLAH menghadiahkan "Ramadhan" datang. Alhamdulillah sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan bebanan perasaan. 

Ramadhan yang datang dengan seribu satu rahmat dan nikmat, mengurangkan beban dan penat. Penulis sendiri tidak tahu bagaimana mengungkap rasanya, Namun Ramadhan seakan datang menjadi teman disaat bersendirian di sini. Dia datang dengan rahmat dan kasih sayang yang mengamankan hati dan perasaan. Ramadhan kali ini tidak seperti Ramadhan yang sebelumnya.

Bila Ramadhan datang dengan rahmat dan keampunan, kemustajaban doa dan permintaan, keseorangan bukanlah lagi rintihan. Kerana Ramadhan yang datang benar-benar menjadi peneman dan pengubat kerinduan. Ya ALLAH, selama ini, memang terlalu daif hambaMu dari merasai hadiahMu ini..


Ramadhan,
seakan teman yang berbicara
tentang kesabaran dan ketabahan
mengubat hati yang hampir retak
dan jiwa yang tandus,
Sapaan Ramadhan
menghilang resah
menanam Redha
Bulan Tarbiyyah,
Alhamdulillah ya ALLAH..
masih Kau izinkanku bertamu di RamadhanMu..



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”

  Riwayat Bukhari & Muslim



*******************
“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

0 sahabat/iah: