Monday, March 26, 2012

Bingkisan Mac 2012

Kesabaran yang berpanjangan diperlukan oleh seorang guru untuk menghadapi apa sahaja kerenah dan perilaku pelajar, yang mungkin berlaku sepanjang tempoh bersama pelajar, khususnya ketika P&P sedang berjalan dan umumnya ketika berada bersama-sama pelajar sama ada di sekolah mahupun ketika berlangsungnya aktiviti ko-kurikulum (boleh jadi di luar kawasan sekolah). Pengawalan emosi guru serta taktik dan teknik yang tepat dalam menegur dan menyelesaikan sesuatu masalah pastinya akan dapat membantu pelajar. Ini termasuklah tindakan pantas ketika berlakunya apa-apa kecemasan yang tidak diduga. Guru, adalah insan yang telah dilatih untuk semua ini!”

Kedengarannya senang, namun hakikatnya payah. Itulah sedikit sebanyak yang dapat penulis huraikan mengenai melatih kesabaran guru menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku ketika bersama pelajar. Guru yang bernasib baik, mereka akan menemani pelajar bukan hanya disekolah sebaliknya dalam urusan ko-kurikulum yang mungkin melibatkan aktiviti perkhemahan dan sebagainya. Jika kena dengan bidang dan pengetahuan guru tersebut, maka beruntunglah. Namun jika agak berlainan malah mungkin terlalu berlainan, maka belajarlah..bukankah guru itu manusia yang terlatih dan boleh dilatih?

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (١٢٥)

125. Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

(An-Nahl : 125)


Hakikatnya, cabaran dan dugaan dalam mendidik itu adalah lumrah yang perlu sentiasa dihadapi. Meskipun banyak ujian dan masalah yang bakal menimpa, ia tetap perlu diteruskan walaupun terpaksa merangkak, mengesot malah apa jua caranya, pendidikan perlu terus diberikan kepada para pelajar demi keberlangsungan sebuah generasi ilmu dan pembentukan akhlaq mulia. Kesabaran para pendidik amat ditagih meskipun kadang-kala kesabaran mencapai garis penamatnya.


Dan untuk diri sendiri, penulis berpesan untuk terus-terusan meningkatkan kesabaran dan memandang setiap pelajar dengan kacamata kasih sayang. Moga-moga mereka akan mendapat hidayah dan petunjukNya, walau jika bukan hari ini, mungkin esok mereka akan memperolehnya.

p/s: Jika berhadapan dengan pelajar yang tiba-tiba bertumbuk dalam kelas, nak tak nak kena jadi orang yang ditengah-tengah, dah tak boleh takut kena belasah dengan budak dah…J


*******************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

0 sahabat/iah: