Tuesday, July 19, 2011

Keturunannya..

“Keturunan dia…”

Saya terkejut mendengar bisikan itu. Perlahan tapi masih jelas kedengaran. Suatu masa dulu, pernah timbul isu keraguan pada sebuah perkahwinan. Namun hal itu telah dijelaskan dan diperbetulkan dengan sebaiknya. Kini, satu lagi perkahwinan mungkin dibimbangi terjadi perkara yang sama.

Saya membetulkan duduk demi mendengar kisah yang selanjutnya. Curi-curi dengar.

“Setahu orang kampung, mak dia tu mengandungkan dia dah baru nikah dengan ayah dia tu, anak perempuan, tak ingatlah berapa bulan terus lahir anaknya.”

“Habis tu ni, budak perempuan tu nak kahwin, ayah dia jadi wali? Sah ke? Bukan anak luar nikah kena wali hakim ke?” suara yang satu itu bertanya kebimbangan.

“Tak tau la, mereka ambil wali hakim la kot, kita ja la kot yang tak tau”

“ Baik macam tu, ambil jalan selamat!”

Saya menghela nafas panjang. Allahumma anta rabbi…moga jalan yang ditempuh ini akan jadi jalan yang diredhai. Saya teringat pada kata-kata seorang ustaz yang pernah menyebutkan soal zina ini suatu masa dahulu, beliau ada menyebutkan bahawa zina itu kacau, kacau, kacau, kacau sampai berketurunan-keturunan. Macam mana boleh jadi begini?

Sedikit kebimbangan untuk anak gadis yang “wujud” terlebih dahulu di dalam perut ibunya sebelum ibunya berkahwin dengan ayahnya. Hatta, meskipun lelaki itu adalah pasti ayahnya, jika tidak cukup syarat kandungan itu yakni sekurang-kurangnya lahir 6 bulan selepas perkahwinan, maka ia tetaplah tidak berhak dinasabkan kepada ayahnya. Tiada hak pewarisan dan sebagainya.

Itu, saya kurang bimbang. Paling dibimbangi adalah anak itu tetap dinasabkan dan suatu hari nanti ketika anak itu akan diijabkabulkan maka ayahnya menjadi walinya sedangkan hal itu adalah dilarang. Maka, jadilah nanti perkahwinan itu suatu yang tidak sah dan kedudukan mereka menjadi seperti penzina dan anak-anak yang dilahirkan juga dalam keadaan yang sama. Hal ini akan berterusan generasi demi generasi tanpa kita sedari. Membarah dalam bentuk masalah sosial yang tidak henti-henti dan kian bernanah.

Jika anak itu lelaki, maka terputuslah sedikit masalah zina itu kerana anak lelaki tidak memerlukan wali untuk menjadikan sesebuah perkahwinan itu sah!

Seruan saya untuk ibubapa yang terbabas ke lembah ini, sehingga anak sulung mereka hampir tidak sah tarafnya…sembunyikan keaiban itu bagus sekali namun haq perlu dinyatakan agar generasi seterusnya tidak menanggung sengsara dan derita akibat perbuatan kita. Sikap malu untuk menyatakan kebenaran hingga akhirnya memudharatkan keturunan sendiri sangatlah merugikan. Tak perlu anda hebohkan kedudukan anak sulung anda itu, cukuplah meminta ia diwalikan hakim. InsyaALLAH, orang yang mencari keredhaan Allah itu akan dilindungi dan diampuni oleh-NYA.

p/s : Masih memerlukan penelitian yang panjang dalam bab-bab hukum.

***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

0 sahabat/iah: