Monday, July 11, 2011

Cinta itu membunuhku,,,[ pinjam] ]


gambar hiasan

kau membuat ku berantakan

kau membuat ku tak karuan

kau membuat ku tak berdaya

kau menolakku acuhkan diriku

bagaimana caranya untuk

meruntuhkan kerasnya hatimu

ku sadari ku tak sempurna

ku tak seperti yang kau inginkan

kau hancurkan aku dengan sikapmu

tak sadarkah kau telah menyakitiku

lelah hati ini meyakinkanmu

cinta ini membunuhku

bagaimana caranya untuk

meruntuhkan kerasnya hatimu

ku sadari ku tak sempurna

ku tak seperti yang kau inginkan


****************


Saya terjumpa lagu ini ketika melihat-lihat di laman youtube. Mula melihat tajuk, saya tertarik untuk mendengarnya. Sejauhmanakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan cinta yang membunuh? Adakah cinta yang dikuasai oleh sikap cemburu, dengki atau cinta oleh orang psiko yang tidak terbalas?


Tika mendengar kali pertama, seolah ia menjurus kepada seorang lelaki yang merintih terhadap seorang wanita yang tidak menginginkannya. Tidak menerimanya. Tapi, saya terasa sesuatu yang lain, jadi saya dengar lagi untuk kali yang kedua..dan saya membina pandangan sendiri.


Dari sudut persahabatan, saya mungkin tujukan lagu ini untuk beberapa orang yang disayangi, namun berbeza pandangan. Benar, kerana sayang dan kerana cinta kita terasa makin lelah dan terdesak untuk menjadikan kita dan “dia” serupa. Kita mahu meyakinkan mereka dengan jalan dan cara yang terbaik. Tapi bukan semudah itu apa yang kita mahu dan rasa itu dapat dirasai dan juga dimahukan oleh “dia” yang kita sayang.


Lihat kepada kisah Nabi Nuh yang didurhakai oleh anaknya, Nabi Luth yang dikhianati isterinya, mereka itu tentunya adalah orang-orang yang disayangi secara wajar. Namun, kegagalan tetap juga menyapa kerana hati manusia itu tetap milik Allah. Manusia sama sekali tidak berkuasa sedikitpun ke atas hati manusia yang lain. Upaya manusia amat terbatas dalam hal berkaitan hati. Seperti mana kita mengasihi seseorang namun hatinya lekap ke seseorang yang lain, itukah yang menjadikan cinta itu membunuh kita? Hancur hati tak berganti? Erm, saya tidak mahu menguraikan isu cinta.


Berbalik kepada persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang. Tak mustahil kita “terserempak” dengan perkara seperti ini. Hingga kita terasa lelah dan kesayangan kita kepada dirinya itu ibarat meracun diri sendiri rasanya. Ada masa terasa penat kenapa dia masih tidak faham-faham pada jalan yang kita pilih, perjuangan yang dilalui dan perbezaan pemikiran. Cinta untuk dia seolah membunuh diri sendiri. Hari demi hari perhubungan dan ikatan kasih semakin hampir berantakan, berceraian.


Dalam hal sebegini, usaha berbincang, berdiskusi, penerangan dan penjelasan harus acap kali dibuat. Agar kemelut dan perselisihan dapat dihindari. Dan semestinya adalah DOA. Itu yang paling utama untuk kita lakukan dalam setiap sujud dan sembah kepada Yang Maha Esa. Mohon moga Allah tunjukkan jalan kebenaran, untuk kita dan juga untuk dia, moga Allah satukan hati di landasan syariatNya yang lurus.



Jika masih ditakdirkan bercanggahan, disinilah cinta kadang-kala membunuh. Demi kasih sayang ada suami yang luput dari perjuangan ekoran permintaan isteri, ada jua isteri yang tamat kisah juang kerana tuntutan suami. Namun, lihatlah kepada situasi, dimana masih menuju Illahi yang satu dan tidak tersasar, maka berunding dan berbincang. Namun tahap perpisahan perlu andai langkah sudah terlalu tersasar dari syariat Allah. Inilah yang berlaku kepada Putri Rasulullah SAW suatu ketika dulu, ketika beliau memilih Iman lebih daripada suami yang kufur. Begitu jualah dalam persahabatan.



Cuma saya masih berpandangan tentang sesuatu, meski cinta itu membunuh hingga diri hampir terbunuh. Janganlah membenci secara keterlaluan kerana ia akan merosakkan hati kita sendiri. Biarpun tercedera, sedihlah sekadarnya, dan bencilah sekadarnya. Doakan ada peluang berubah. Zahir tampak bertentangan, hati teruslah mendoakan agar yang pecah kembali bersatu, yang patah kembali tumbuh. Dan ia perlulah seiring dengan usaha.



Saya berfikir, tidak mustahil hingga saat anaknya tenggelam Nabi Nuh masih menyayanginya dan mengharapkannya kembali, dan mungkin jua di saat isterinya dibinasakan kasih Nabi Luth masih mendoakan agar isterinya sempat bertaubat. Seperti mana jua putri Rasulullah menghulurkan kalung kenangan demi suami yang tertawan, kasih kekal dalam hati walau zahir seakan membenci dan meninggalkan yang ingkar.



Rasulullah sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada bapa saudaranya Abi Talib yang sangat disayanginya sehingga hujung usia bapa saudaranya itu. Ketika baginda mengharap hadirnya keislaman dalam diri Abi Talib, lalu Allah menegur Rasulullah berkaitan hidayah itu hanya milik Allah sepertimana firman Allah dalam surah Al-Qhasaas : ayat ke-56


إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (٥٦)

56. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).


Namun hati perlu ditetapkan terus di landasan iman. Sepertimana Abdullah bin Ubay yang sanggup untuk membunuh ayahnya demi Islam. Beliau memohon daripada Rasulullah untuk membunuh ayahnya kerana beliau tidak mampu melihat orang lain yang membunuh ayahnya. Ini disebabkan kasihnya pada si ayah akan membuatkan beliau menyerang pula orang yang membunuh ayahnya itu (Ayah beliau adalah Ubay bin Khalaf, ketua kaum munafiqin Madinah).



Justeru itu, ia juga berkaitan dengan kecintaan kepada Agama dan Negara. Selepas berdoa, maka usaha terus perlu dilakukan. Berterusan walaupun kadang kala terasa penat dan tercedera. Namun cinta yang membunuh itu (kelihatan membunuh di dunia), adalah syarat yang sangat tinggi untuk insan pejuang menemui jalan keredhaan Illahi. (Al-Fatihah buat para pejuang yang terkorban di jalan kebenaran)


Lalu, yang mengalami situasi seperti ini haruslah lebih kuat dan tabah. Yakin dengan kurniaan dan rahmat Allah. Ujian kasih sayang benar-benar menyakitkan, namun Allah hanya menguji hambaNya dengan apa yang mampu tempuhi. FirmanNya:


لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

286. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya.


Moga yang mengalami situasi seperti ini, dikuatkan kesabaran dan diteguhkan iman. Dalam persahabatan, perhubungan dan apa jua situasi antara kita dan dia. Mungkin dia kelihatan memanipulasi atau menduga kita. Malah mungkin mengintip. Teruskanlah bersabar dan bertahan hingga kemuncaknya. Atasilah semua itu dengan kebijaksanaan, berunding, berbincang namun tetap berjaga-jaga. DOA biar terus seiringan kerna doa itulah senjata orang-orang mukmin.


p/s: Ini tak ada kaitan dengan cinta hackers atau stalker yang membunuh kerana nafsu sendiri. Ini cinta yang tampak membunuh di dunia, tetapi menghidupkan jiwa dan menyuburkan cinta di Akhirat.


***************

“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”


0 sahabat/iah: