Monday, March 7, 2011

terik dan basah


dah lama motor ni berjasa..


Pagi itu, seperti biasa ayah akan bergegas pulang dari masjid sebaik sahaja selesai rukun solatnya. Saya sudah menunggu di rumah. Dalam pakaian seragam sekolah saya menanti di depan pintu. Ayah balik dengan payung di tangannya. Hujan masih renyai-renyai. Saya sempat menyarungkan beg sekolah dengan bungkusan plastik yang dihulur oleh mak. Beg plastik yang selalu kita beli di kedai, jika agak besar muat betul untuk masukkan beg sekolah. Kemudian telangkupkan di dalam raga motor. Macam tulah caranya nak elakkan beg dan buku basah disimbah hujan.


Ayah bersiap tak lama. Selepas menghirup kopi mulalah ayah menghidupkan enjin motor. Mak pula sibuk mengkarungplastikkan saya, yalah hujan yang renyai-renyai pon boleh membasahkan secara keseluruhan memandangkan perjalanan ke sekolah akan mengambil masa lebih kurang 20 -25 minit terutamanya dalam keadaan jalan yang basah, motor hanya akan bergerak secara perlahan-lahan. Seingat saya, kasut sekolah akan dikarungkan, hanya selipar yang disarung ke kaki. Mak akan selubungkan saya dengan plastik yang pelbagai dan besar-besar untuk elakkan anaknya yang seorang ini basah. Hanya hanya memakai baju hujan yang lama. Di sarung terbalik ke bahagian depan semantara hujung baju itu dibungkuskan beg sekolah yang terletak di dalam raga motor. Saya akan menekapkan muka di belakang ayah bagi mengelakkan basah.

Dan ayah akan memandu dengan tenang dan lambat-lambat demi keselamatan. Itulah rutin ayah dan mak setiap pagi menjelangnya musim hujan setiap tahun. Seperkiraan saya, ayah dan mak mengharungi hari-hari seperti itu selama 12 tahun sepanjang saya bergelar pelajar. Cuma dari tahun ke tahun, ayah akan belikan baju hujan disamping plastik-plastik besar dan tuala besar yang dijadikan pelindung hujan. Dan secerah fikiran saya, hanya satu matlamat mak dan ayah pada setiap pagi yang begitu, iaitu saya dapat sampai ke sekolah dalam keadaan yang baik dan tidak basah meskipun hujan. Jadi, bolehlah saya belajar dengan baik nanti.

Menjelang musim panas, keadaan itu berubah. Namun panas terik pula yang dilalui ayah. Rutin ayah yang biasa, bangun pagi, ke masjid, bergegas balik untuk menghantar saya ke sekolah, kemudian menghantar adik perempuan bongsu saya pula dan barulah keluar bekerja. Tengah harinya mengambil adik dari sekolah, kemudian mengambil saya pula dari sekolah. Jaraknya rumah dengan sekolah adik boleh dikira dekat, tapi jarak rumah dengan sekolah saya agak jauh, dari Pauh hingga ke Kodiang. Paling cepat 15minit dengan kelajuan motor hampir maksimum bolehlah sampai. Pernah orang tanya kenapa saya tak tinggal di asrama, jawab ayah anaknya yang sorang ni kurang sihat dan ayah sendiri kurang percaya untuk biarkan anaknya tinggal sendiri di asrama. Kenapa? Hehe, sedangkan tinggal di rumah pon hampir setiap minggu akan demam. Keadaan ini hanya berubah ketika saya berada di tingkatan enam. Ketahanan semakin Ok, demam hanya sebulan sekali!

Selepas saya berpindah ke Universiti, adik pula menyambung warisan dan meneruskan pembelajaran di sekolah lama saya. Jadi rutin harian ayah masih lagi seperti biasa kini. Cumanya agak berkurangan kerana hanya tinggal adik seorang sahaja. Tapi bila difikirkan, hampir sama jua memandangkan keupayaan ayah juga semakin kurang kerana umurnya yang semakin meningkat.

Jadi, saya selalu mengatakan pada diri sendiri bahawa saya mengenal semua ini, tahu menulis dan mengira adalah melalui basah dan teriknya kasih sayang mak dan ayah. Ayah selalu mendahulukan bayaran yuran sekolah anak-anaknya meskipun duit yang ada hanya cukup-cukup. Makan lain kira katanya, bayar dulu. Nak makan cari kemudian.

Kakak dan abang selalu juga ingatkan, keadaan kami (Saya dan adik) sudah dikira senang lenang kerana zaman kehidupan mereka dulu jauh terlebih susah berbanding kami. Dulu rumah hanya sebesar 2/3 bilik double di kolej kediaman kita. Disitulah makan, disitulah tidur disitulah semuanya. Dinding dan lantai rumah disusun daripada buluh yang jarang-jarang. Tempatnya dalam hutan kerana zaman itu masih banyak lagi kawasan yang belum diterokai. Duit ibaratnya tiada, makan ikut apa yang sempat dan ada disekeliling. Pakaian tak pernah bertukar. Kata Mak, selama lebih 5 tahun, mereka pernah tidak bertukar pakaian. Yang koyak dijahit yang lompang ditampal. Itu sahajalah yang menemani. Sebab itu, hingga sekarang mak sangat simple dan kurang peduli dengan fesyen dan juga apa-apa perkara yang hanya bertujuan menghias diri. Bagi mak, cukup untuk hidup itu sudah memadai.


Tapi, sekarang keadaan semakin baik, rumah semakin besar, rezeki semakin murah. Sebab itulah kami (saya dan adik) dikira senang lenang berbanding keadaan kakak dan abang dulu. Tapi kami (adik dan saya) juga tak terlepas merasai penatnya berkebun dan bercucuk tanam. Untuk RM10 betapa penatnya sehingga tidur malam tak mampu bergerak. Walaubagaimanapun, mak kurang menyertakan kami dalam aktiviti berkebun kerana tidak mahu kami keletihan dan kedemaman memandangkan kami masih bersekolah. Terutamanya saya yang silap sikit pasti demam. Kesian mak dan ayah, tentu susah menjaga anak yang seperti saya ini.


Dan, sampai sekarang saya kira…tradisi meredah hujan dan terik itu masih diteruskan mak dan ayah. Dari muda sehingga tua, tugas dan rutinnya masih sama. Saya sangat mengharap, andai Allah berikan saya kejayaan suatu masa nanti…biarlah sebelum mereka menutup mata, saya mampu menyediakan “bumbung” yang melindungi mereka dari hujan dan panas itu, tak kira kemana mereka pergi. InsyaALLAH. Saya akan cuba merealisasikannya.


************************

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (٢٤)

“Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."


:::: Home Sick :::::

Bilalah nak cuti ni..saya nak balik..T_T

Tapi dengan PSM yang selesai..Mak dan ayah nak tengok yang terbaik kan!


************************************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

1 sahabat/iah:

murimurihah said...

Betul.
Balik rumah biar dengan muka yang berbunga.
Sebab siap semua kerja.

Selain mak dan ayah nak tengok yang terbaik, saya juga begitu kak.

Malah, seluruh umat menantikannya!


Kak, rabbuna yusahil..