Tuesday, March 1, 2011

Qulubun Hanajir


Adam menguak langsir jendela yang menutupi jendela biliknya. Di tangannya ada beberapa buah buku yang dipegang. Beberapa buah kotak kelihatan di dalam biliknya. Suasana petang itu agak berbeza dari biasa. Hikayat petang itu juga berbeza.

“Selama ini, saya beri kamu kemudahan, jawatan dan pangkat..tapi kemudiannya kamu membantah saya? Kamu memang tak sedar diuntung! “ Pak Tua kelihatan benar-benar marah. Hatinya bagai tertusuk duri. Anak kesayangannya..arh, insan yang disayangi bak anak sendiri sedang menentangnya. Jantungnya perit dihiris sembilu, bagai tersiat-siat.

“Pak Tua, bukan kemudahan, jawatan dan pangkat itu yang saya perlukan,,tapi kebenaran. Kebenaran yang pasti..” Suara Adam mendatar, bimbang melukai insan yang dihadapannya. Dia tahu pasti masalah akan terjadi antara mereka.

Kebenaran?! Kebenaran apa?!! Kamu terpengaruh entah dengan siapa-siapa dan menentang orang tua ini? Yang telah memberikan kamu kemudahan selama ini!” Pak Tua menjegilkan matanya. Jantungnya berdegup kencang. Sakit sekali bila insan kepercayaan mengkhianatinya.

Kebenaran tentang kehidupan kita sebagai hamba kepada Khaliq..kebenaran sebagai khalifah Allah yang mentadbir dengan peraturanNya..kalamNya..” Adam masih mendatarkan suaranya. Tetapi nadanya tegas. Yakin dengan keputusannya. Adam tenang.

Dah siap kemas? “ Suara Syafiq yang muncul tiba-tiba memotong lamunan Adam. Adam tersenyum. Hasrul, Naufal dan Wajdi yang turut muncul bersama Syafiq menebarkan senyum. Adam angguk-angguk.

Petang itu, mereka membantu Adam menyiapkan dirinya, beransur dari kediaman lalu demi sebuah perjuangan. Sebuah kebenaran.

Pak Tua diam di kamarnya. Bilik insan itu, yang pernah dipercayai dan disayangi kini sepi. Kosong tidak berpenghuni. Pak Tua sedih benar kerana dikhianati. Kenapa? Kenapa Adam sanggup melakukan itu semua terhadapnya. Namun, disebalik itu, dia juga bertanya kepada dirinya, kenapa dia pula sanggup melakukan ini kepada Adam? Bukankah apa yang dilakukan Adam itu adalah haknya? Argh..budak muda tidak sepatutnya menentang orang yang lebih tua. Adabnya tidak sopan!

Malam itu, di tempat yang baru, Adam menyusun barang-barangnya ala kadar. Sementara mendapat tempat yang lebih tetap, dia menumpang sebentar sahabatnya. Sepi dan sunyi, hanya zikir yang menemaninya. Adam yakin bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dia tidak menyesal menyatakan kebenaran itu, malah dia sedikit pun tidak curiga kepada Allah akan akibat yang diterimanya. Sebaliknya Adam bersyukur kerana diberi peluang mendekatkan diri kepada Allah. Fitrah manusia yang ditimpa musibah, pasti kembali kepada Allah! Tapi,perasaan geram dan marah ke atas insan yang telah menghalaunya itu masih bersisa..sampai hati dia!

Termenung ja, teringatkan buah hati? “ Syafiq menatang sedulang air. Lalu meletakkannya di atas meja berhadapan dengan Adam.

Buah hati pengarang jantung…haha Hasrul pula muncul dengan sepinggan jemput-jemput di tangannya. Sebelah kiri pula memegang botol sos. Adam tersenyum, hatinya bersyukur dengan kehadiran sahabat-sahabat yang banyak membantu.

buah hati tu mungkin bukan, tapi seseorang itu semestinya..” tutur Adam dengan nada yang antara marah dan sedih. Dia duduk di depan Hasrul. Syafiq menepuk-nepuk bahu Adam.

Kau sesal?”

Tidak…mustahil aku menyesal.”

Jadi kau geramlah ya..haha,”

“Aku digelar pembangkang, pengkhianat.”

“Semestinya..lagipun kan memang kau membangkang!” Tempat itu riuh dengan tawa mereka bertiga. Masing-masing tahu situasinya, lalu semua itu ditukar menjadi gurauan yang boleh mengelakkan situasi menjadi suram dan menyakitkan.

“Sedangkan Ibrahim A.S membantah ayahnya demi kebenaran, sedangkan Musa A.S. menentang Firaun yang membesarkannya demi kalam Tuhan, begitu jugalah kita yang ingin membawa risalah Allah ini, kebenaran dan keadilan yang dipertahankan bukan nilaiannya dugaan yang kamu terima.” Adam terasa bahunya ditepuk orang. Naufal di belakangnya yang hadir tiba-tiba dengan seungkap madah cinta. Ya, madah cinta untuk pejuang kebenaran!

Naufal menyambung katanya,

“ Berkata benarlah ya akh, dalam nada tegas kau berhikmah dengannya. Bukankah itu yang diajarkan Allah kepada Musa dan Harun A.S? Itu juga yang dilakukan Nabi Ibrahim.” Wajdi yang turut muncul bersama Naufal mengangguk-angguk.

Bencilah kemungkaran dan kebatilan itu akh, namun masih kemarahan itu jangan menjadi racun mazmumah dihatimu. Bencilah perbuatan itu, namun simpan sedikit kasih dan kemaafan demi ikatan seIslam itu. Doakan dia kembali pulang ya Akh! Doakan dia tanpa henti!” Tepukan Naufal di bahu Adam menggoncang hati dan perasaannya. Astagfirullah, kemarahan itu membuka ruang syaitan menyelinap masuk rupanya. Adam beristigfar berkali-kali.

Naufal dan Wajdi duduk. Kini mereka membentuk bulatan. Halaqah iman yang menusuk dalam santainya bahasa dan singkatnya masa. Tidak kira Adam, Syafiq, Hasrul, Wajdi malah juga Naufal mendalami perasaan dan hati sendiri. Mengusir kebencian itu dari menjadi mazmudah dalam diri, dari membusuk menjadi dendam yang bernanah.

“Lawan tetap lawan kerana kebenaran perlu diperjuangkan, waspada tetap perlu demi sebuah keselamatan,malah strategi penting untuk kemenangan. Namun, kebencian jangan sampai menghancurkan! Amarah jangan memakan tuan!”

Naufal membaca sepotong ayat al-quran :

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٩)

“.. Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil..”

(AlHujurat :9)

Adam meraup wajahnya, hatinya aman. Benar, amarah boleh membuatkan dia lupa, membuatkan dia kecewa dengan manusia. Lalu semua itu bisa menghadirkan dendam. Kini tidak lagi, perangkap syaitan itu tidak akan mengenainya lagi. Allah telah menghantarkan murabbi dan sahabat yang membantunya melalui perasaan itu. Pantas bibirnya mengukir senyum penuh syukur, tiada lagi garis pudar dan duka diwajahnya, tiada lagi warna sengketa di matanya.

“Wah! Sudah sejuk jemput-jemput aku ni! Hey, cepatlah makan, kalau tak aku habiskan!” Hasrul yang sememangnya ceria itu memecah suasana sepi, mereka yang ada semuanya tertawa. Hurm, pengisian rohani dan jasmani! Malam itu mereka menjamah hidangan dengan tenang dan redha. Kalam Allah mengisi jiwa dan menyengat minda. Tabir hikmah kian terungkap. InsyaALLAH, hati mereka sudah bersangka baik dengan Allah. Itulah yang membawa mereka semakin akrab kepadaNya!




**********




Sebuah harapan
bukan kesempatan
yang dikejar-kejar
hingga tergadai perasaan
bukan untuk melukakan
tapi demi memulihkan

pengorbanan
yang kadang kala
mencederakan..
hati yang punah kerana rapuh

benci lalu bertapak
sehingga hilang matlamat asal..

Perjuangan bukan kerana kita ditindas
tetapi kerana kebenaran disembunyikan...

Jika ada peluang berbaik
dengan kebenaran di hadapankan
berbaiklah..
jika tidak,
teruskanlah...

Ya ALLAH
hatiku ini jauhilah dari membenci
moga bencinya hanya pada kemaksiatan dan kekufuran..

Selitkan kasih sayang,
doa dan harapan..
agar yang muslim itu kembali ke pangkal jalan..

1 Mac 2011
2:33pm
KTF, UTMJB



***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

2 sahabat/iah:

saya murihah wee said...

ada org reti berkarya di sini!

=)

tasnim said...

moga ada manfaatnya aja..itu yang penting..:)