Wednesday, February 2, 2011

In What ways are families good for society?


Keluarga adalah satu unit kecil yang terdiri daripada beberapa individu yang menganggotainya. Sesebuah keluarga biasanya terdiri daripada seorang bapa atau suami yang menjadi ketua dalam organisasi keluarga. Di bawahnya pula adalah ibu atau isteri yang menjadi pembantu tetap dalam urusan pengurusan dan pentadbiran sesebuah keluarga dimana ahli-ahli seterusnya adalah anak-anak yang terdiri daripada pelbagai kerenah, minat dan bakat.

Melihat dari sudut sosialnya, sebuah keluarga merupakan unit kecil yang memberikan sumbangan kepada pembentukan sesebuah masyarakat, sama ada dari sudut modal insannya dan juga pembangunan akhlaq dan sahsiah yang membentuk identiti sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada enam orang ahli yang bersama-sama menghadiri gotong royong yang diadakan di sebuah kawasan perumahan sebenarnya telah memberikan sokongan modal insan kepada masyarakat dalam usaha membersihkan kawasan perumahan mereka.

Seterusnya, jika dilihat daripada sudut ekonomi pula, keluarga adalah isi rumah yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi sesebuah Negara. Berlakunya sesuatu urusan jual beli dan perdangan antara isi rumah dan peniaga membawa kepada berlakunya pergerakan nilai kewangan dalam masyarakat yang secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembentukan ekonomi Negara.

Dari sudut pendidikan pula, kecemerlangan anggota keluarga dalam pelbagai bidang intelektual merupakan suatu perkara yang membanggakan dan berfungsi untuk membantu membangunkan ketamadunan Negara. Oleh itu, saya berpendapat bahawa sesebuah keluarga itu dikira bagus atau keluarga sakinah untuk sesebuah masyarakat sekiranya, ia dapat menyumbang kepada keperluan modal insan, pembangunan akhlaq dan juga ketamadunan Negara dari sudut ekonomi mahupun intelektual.



Persoalan yang timbul, sejauhmanakah keseluruhan elemen yang disebutkan di atas mampu di terapkan ke dalam sebuah keluarga untuk menjadikannya benar-benar bagus untuk sesebuah masyarakat seterusnya sebuah Negara? Jika tidak, maka apakah aspek terpenting yang perlu diterapkan dan menjadi fokus utama dalam pembentukan sesebuah keluarga? Jawapannya adalah pendidikan rohaniah yang menjurus kepada pembentukan akhlaq dan sahsiah setiap keluarga. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith nabi Muhammad S.A.W. yang mafhumnya berbunyi “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq

Sesebuah keluarga tidak dapat dikatakan bagus untuk masyarakat walaupun keseluruhan ahli keluarga merupakan pemegang skrol sarjana dan menjawat jawatan yang besar, tetapi gagal untuk menunjukkan akhlaq dan sahsiah yang terpuji di dalam masyarakat. Bukanlah sebuah keluarga yang baik itu diukur kepada taraf akademik ahlinya semata, walhal dari satu sudut yang lain terlibat dengan korupsi dan penyelewengan kuasa, sombong dengan masyarakat serta tidak tahu menilai halal dan haram dalam kehidupan seharian. Keluarga sebegini hanya berperanan untuk merosakkan sesebuah masyarakat.

Sesebuah keluarga itu tidak dianggap baik jika memiliki harta benda yang banyak dan kekayaan yang melimpah ruah sehingga berlakunya pembaziran dan tidak membantu dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah masyarakat.





Sebaliknya, intelektual, harta dan kekayaan itu semuanya boleh terhasil daripada sahsiah dan peribadi unggul yang sepatutnya menjadi asas dalam pembentukan sesebuah keluarga. Anak-anak perlu dibangunkan jiwanya dengan pembentukan sahsiah yang mantap dan berkualiti. Hidup secara saling hormat menghormati dan bantu membantu, mengambil berat urusan ahli masyarakat, sensitif dengan anasir-anasir luar yang boleh menggugat pembangunan moral masyarakat dan memandang serius dalam melaksanakan konsep keadilan yang sebenarnya.

Di dalam surah Luqman, bermula ayat ke 12 sehingga 19, Allah telah meletakkan beberapa panduan dalam pendidikan anak-anak melalui pesanan Luqmanul Hakim. Intisari daripada ayat ini adalah menekankan mengenai syukur sebagai aspek yang perlu ditranam di dalam diri anak-anak. Seterusnya mentauhidkan Allah serta percaya bahawa adanya pembalasan pada hari Akhirat kelak. Demikian anak-anak akan terdorong untuk melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan jahat. Malah, terdapatnya perintah supaya melakukan Amar ma’ruf dan nahi munkar yang secara tidak langsung mengajar anak-anak untuk menjadi berani menyatakan keadilan dan mengambil cakna kepada situasi masyarakat serta peka kepada perubahan. Begitu juga disebutkan solat sebagai tiang agama dan menghindari sikap sombong sesama manusia.

Justeru itu, pembentukan keluarga yang mempunyai ciri-ciri keluarga sakinah harus dimulai dengan penerapan nilai-nilai rabbaniah dan ihsan di dalam diri anak-anak. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh ibu bapa menjadi sangat berat dan penting agar setiap anak-anak dididik dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Ciri-ciri kreatif yang terdapat pada setiap anak-anak perlu diraikan selaras kehendak syara’. Malah, perlu diperkembangkan sebaiknya seperti mana kenakalan bukanlah untuk dihapuskan tetapi hanya perlu dikawal kerana kenakalan adalah sebahagian daripada kekreatifan anak-anak.

Kerukunan ikatan hati antara suami dan isteri juga menjadi tunjang kepada pembentukan keluarga sakinah. Sewajarnya seorang suami dan seorang isteri melatih diri mereka untuk menjadi seorang yang muslih ( baik dan memperbaik yang lain) semenjak awal lagi, malah semenjak belum bergelar bakal suami dan bakal isteri lagi. Hal ini akan membentuk individu muslim yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Bermula daripada pembentukan individu muslim inilah yang akan membawa kepada pembentukan keluarga muslim dan seterusnya kepada masyarakat muslim lalu membentuk Negara Islam yang sebenarnya. Perkara ini bukanlah suatu yang disandarkan kepada ilusi atau impian semata-mata tapi benar-benar telah terbukti ketika kegemilangan tamadun Islam di Tanah Arab pada suatu masa yang lalu. Ketaqwaan yang tinggi kepada Allah, dan pengharapan hanya untuk menemuiNya di Akhirat nanti telah mencetuskan ruh keilmuan yang tinggi dan ketamadunan yang maju.

Secara ringkasnya, pendidikan anak menurut Abdullah Nasih Ulwan perlulah merangkumi aspek Aqidah, Ibadah dan juga Akhlaq. Demikian juga yang membawa kepada sesebuah keluarga itu menjadi keluarga sakinah yang memberikan sumbangan penting di dalam sesebuah masyarakat.

Wallahu’alam.




p/s: di edit daripada tugasan pendidikan kekeluargaan.

***************


“ Ya Allah Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang menggembirakan hatiku dan keyakinan yang sebenar-benarnya sehingga aku mengetahui ia tidak mengenaiku melainkan apa yang Engkau tuliskan bagiku dan Redha daripada Engkau dengan apa yang Engkau bahagikan kepadaku, Engkaulah pengawalku dunia dan akhirat, matikanlah aku dalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh”

Ameen ya Rabbal ‘Alamin.


2 sahabat/iah:

kita sebaya tapi anda kakak bg saya! =D said...

salam.

wah, artikel yang bagus.
thumbs up!

*kak, inikah tempias cinta pada PSM?
winkwink.
keep going on sis!

tasnim said...

Wslm.

siapa ya yang sebaya ni? =)
Trima kasih krn menziarah...

Cinta PSM? ~~ Cinta ilmu la dik ^_^