Thursday, February 4, 2010

Tingkatan Pertama: Bersabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.


Allah berfirman:


“..Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

(Ali –‘Imran : 14)


Allah telah menjelaskan di dalam kitabNya mengenai sikap menusia yang suka kepada keindahan dunia dan sering mengikut nafsu syahwatnya sendiri. Manusia seringkali mengabaikan larangan supaya menjauhi kemaksiatan dan juga mengikut nafsu semata. Oleh itu, untuk menjauhi segala laranganNya dan mengekang keinginan nafsu yang tidak terbatas, manusia amat perlu untuk bersifat dengan sifat sabar.


Sabar terhadap maksiat adalah mengendalikan diri supaya tidak melakukan perbuatan maksiat. Sabar dalam hal ini bukan sahaja berkenaan diri sendiri, akan tetapi juga berkenaan dengan diri orang lain. Iaitu kita harus berusaha supaya orang lain juga jangan sampai terjerumus ke jurang kemaksiatan, dengan cara melaksanankan amal makruf dan nahi mungkar.[1] Sabar terhadap maksiat , merupakan sejenis unsur pertahanan yang melawan dorongan-doronagn yang menggoda manusia dalam perjalanan hidupnya, serta menyingkirkan perbuatan yang tercela. Rasulullah s.a.w bersabda:


”Syurga itu dikelilingi dengan kebencian-kebencian hawa nafsu, sedangkan neraka itu dikelilingi oleh kesenangan-kesenangan hawa nafsu”

(H.R Muslim)


Menahan diri daripada melakukan maksiat dan dosa kepada Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Di sinilah kesabaran amat memainkan peranan yang penting. Hanya orang yang benar-benar dapat bersabar dengan tipu daya dunia dapat melepaskan dirinya daripada terbelanggu dengan segala bentuk noda dan tipu daya syaitan, seterusnya mengangkat darjat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, kita hendaklah banyak berdoa sebagaimana yang tersebut di dalam al-Qur’an:


” (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, Limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".” ( Al-A’raf: 126)


[1] Kasmuri Selamat MA (1998), Rahmat di sebalik dugaan

0 sahabat/iah: