Tuesday, January 5, 2010

SABAR (p.2)

Di dalam sifat sabar terdapat beberapa maqam atau tingkatannya yang tersendiri. Ulama’ membahagikan maqam sabar kepada tiga bahagian[1]. Ibnu Qayyim membahagikan kesabaran kepada tiga : iaitu kesabaran dalam mentaati Allah, kesabaran dari melakukan maksiat kepada Allah, dan kesabaran terhadap takdirnya.[2] Dr Yusof Al-Qardawi dalam bukunya ‘Sabar dalam Islam’ meletakkan bidang-bidang sabar kepada sabar diatas bala bencana dunia, sabar dari dorongan nafsu,bersabar diatas mentaati Allah, sabar di atas kesulitan berdakwah, sabar di kala peperangan, dan sabar di dalam hubungan kemanusiaan.

Imam Al-Ghazali membahagikan sabar kepada tiga bahagian: iaitu bahagian pertama yang berkaitan dengan ikhtiar sendiri; sabar atas ketaatan dan sabar atas kemaksiatan. Bahagian kedua yang tiada berkaitan dengan ikhtiar, tetapi boleh berikhtiar untuk menolongnya[3], dan bahagian ketiga ialah yang tidak berkaitan dengan lingkungan ikhtiar sama sekali, seperti kematian dan bencana.[4]

Untuk memudahkan lagi pemahaman tingkatan maqam sabar ini, penulis hanya mangambil tiga tingkatan umum yang mana didalam setiap tingkatan ini terdapat beberapa lagi bahagian maqam kesabaran. Tingkatan ini ialah:

Tingkatan pertama: Bersabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, seperti meninggalkan zina, mencuri dan pergaduhan. Juga meninggalkan mengumpat, makan yang terlalu banyak dan tamak haloba.

Tingkatan kedua : Bersabar dalam melakukan segala perintah Allah yakni bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menuntut ilmu, menunaikan haji, bersedekah, bersabar di dalam urusan dakwah dan sebagainya.

Tingkatan ketiga : Bersabar di atas ujian dunia, qada’ dan qadarnya, seperti bersabar di atas kematian orang yang disayangi, bersabar di kala kemiskinan, dan sebagainya.



[1] Ibn Ata’illah.

[2] Dr Said bin Musfir al-Qathani (2003), Buku Putih Syaikh Abdil Qadir Al-Jailani

[3] Seperti orang yang diganggu orang lain, mengumpat dan sebagainya.

[4] Imam Ghazali, Mau’izatil mukmin min ihya ‘ulum addin.

0 sahabat/iah: