Monday, November 9, 2009

Alhamdulillah..erm,(natijah terendah di UTM)


Dengan nama ALLAH, Maha Pengasih, Maha Penyayang,..

Alhamdulillah, hari ini di saat sebahagian sahabat masih bertempur dengan imtihan, kami pula mencapai keputusan perjuangan di sepanjang semester ini. Segala puji bagi Allah yang mentakdirkan segala sesuatu dengan hikmah, tak pernah takdirNYA berlalu tanpa sebarang pengajaran dan kasih sayang.


Natijah kali ini adalah yang terendah diperolehi sepanjang 5 semester berada di Bumi UTM. Walau hanya satu subjek sahaja yang didaftarkan semester ini, ia membawa 8 krdt. Cukup banyak untuk menentukan PNG seseorang pada semester ini . Tiada yang dapat membantu, hanya satu subjek..maka itulah segala markah yang diperolehi, dan itulah keputusannya. Alhamdulillah..Gred A- yang berjaya diperolehi menyebabkan PNGK menurun sebanyak 0.03 daripada PNGK semester lalu. Allahu Rabbi, Dia yang Maha Kaya, Maha Kuasa menentukan segalanya.


Subjek yang didaftarkan adalah SPA 3008 – Latihan Mengajar

****

Mengingat kembali detik perjalanan semester ini, setiap hari bagaikan imtihan. Walau tanpa tugasan khusus subjek yang asyik membelit diri seperti semester lain, tapi kali ini terasa lebih mencabar. Berhadapan realiti sememangnya tak selancar teori. Mulanya memang amat menitik beratkan penyeliaan yang akan dibuat oleh pensyarah pada bila-bila masa sahaja (on d spot exam), tetapi akhirnya itu sudah tak menjadi main point lagi, sebaliknya bagaimana untuk “menang” dalam realiti yang kami tempuhi, itu lah yang menjadi titik penting hala tuju di masa akan datang.


Berhadapan dengan penyeliaan pensyarah, itu satu imtihan. Berhadapan dengan penyeliaan guru pembimbing (kadang-kadang on the spot juga) adalah hal yang kedua. Tapi, hal utamanya adalah setiap hari perlu turun berhadapan dengan pelajar. Bersediakan seorang guru menangani sekurang-kurangnya 30 orang pemilik hati (pelajar) di dalam kelasnya? Mampukah seorang guru mengawal peribadi mereka dan melancarkan pengajaran..erm, kadang kala, berhadapan dengan pensyarah atau guru pembimbing lebih mudah berbanding berhadapan dengan pelajar.


Skinner (1969), mengatakan “teacher fail not because of any human limitations, but because they are not prepared to manage students behaviours..”


Setiap kali melangkah memasuki kelas, hati sudah mulai mencongak-congak situasi yang bakal berlaku di dalam kelas nanti. Banyak perkara yang di luar jangkaan yang boleh berlaku secara tiba-tiba. Apakah nada yang perlu digunakan? Rendah, sederhana atau tinggi? Pernah ana menghadapi kesakitan kerana terpaksa menyaringkan suara melaung para pelajar yang berkejar-kejaran tidak mempedulikan guru di hadapan. Semuanya perlu bersedia, jika tidak mahu menjadi guru yang gagal. Apa yang perlu dilakukan jika:


- Setelah guru meminta pelajar membuka buku masing-masing, seorang pelajar menjawab, “saya memang malas cikgu, saya tak bawak buku”

- Setelah guru meminta bantuan pelajar menghidupkan suis kipas, pelajar menjawab “buat sendiri la cikgu.”

- Guru masuk dan berdiri di hadapan kelas, pelajarnya berkejaran dibelakang kelas, ada yang berbual-bual, seolah-olah guru itu makhluk ghaib yang tak kelihatan.

Apa yang perlu dibuat?


“ Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”


Inilah “azimat” yang menjadi penguat, kekuatan dan ketabahan ana. Ayat ini mengajarkan kaedah terbaik dalam proses menyeru. Mungkin ketegasan itu perlu tetapi, ketegasan yang keterlaluan kerapkali memantulkan respon yang negatif, lalu pendekatan yang bersederhana perlu diambil. Tegas dan bertolak ansur. Setiap pelajar mempunyai “cerita” dan situasi yang tersendiri, jadi pendekatan terhadap setiap pelajar juga berbeza mengikut apa yang terbaik untuk mereka.


Itu masalah umum yang dihadapi setiap guru.

********


“kita perlu menghormati ibubapa kita, ibu melahirkan kita, bersusah payah membesarkan kita, dari kecil sehingga dewasa. Ayah pula bekerja keras menyara kita sekeluarga, berhujan panas demi anak-anak. Oleh itu, sewajarnya kita menghormati ibubapa kita”, ana menyimpulkan topik berbakti kepada ibubapa.


“Tapi ustazah…mak saya yang buat semua, jaga kami, bekerja, ayah saya tak buat apa pon…duduk rumah saja, semua mak yang buat! Mak yang bekerja! Bayar yuran, makan minum! ” seorang pelajar membantah. Ana diam dan tersenyum. Otak ligat berfikir untuk mencari kata-kata yang sesuai. Hm, inilah cabarannya, sebagai seorang guru yang mengajar pendidikan Islam. Benar! Islam itu indah, namun kadang-kadang keindahannya kabur oleh perbuatan penganutnya. Bukan mudah menjernihkan kembali hati seorang remaja yang sudah sangsi dengan nilai yang sepatutnya diamalkan. Dia seoalah ingin berkata, tak perlu lah hormat ayah sebab emak yang buat semua!


Pengalaman setiap daripada pelajar yang duduk di dalam sebuah kelas amat berbeza. Latar belakang yang berbeza menyebabkan pola pemikiran mereka juga berbeza. Pemahaman mereka juga berbeza. Ana bukan berbicara mengenai mengajar untuk mereka lulus peperiksaan, pastilah ianya sama kerana ia mempunyai skema tersendiri, tetapi nilai! Ustazah Rokiah (seorang ustazah di sekolah ana, juga ibu kepada seorang sahabat ana) ada mengatakan, bahawa kita mengajar pendidikan Islam bukan untuk pelajar lulus peperiksaan, tetapi penghayatan dan nilai! Itu yang utama!


Jadi, setiap kali melangkah ke kelas, berhadapan dangan pelajar, pasti dada berdebar-debar. Janganlah muncul situasi yang tak mampu untuk dihadapi, kerana ana bimbang benar tersilap menghuraikan sesuatau keadaan atau pertanyaan yang diajukan. Bimbang tidak mampu memurnikan apa yang dikusut masaikan oleh pengalaman pelajar itu sendiri. Dan, tak kira lagi topik yang pelajar suka melencong!

- Topik beriman kepada Allah yang diajar, pasal gitar yang ditanyakan.

- Topik Isra mikraj yang bincangkan, soal malaikat mengajar sihir yang dibangkitkan.

- Topik Allah Maha Mendengar yang disebutkan, bab solat istikharah, dengan dua salam yang diajukan soalan.

- Topik tayammum yang diajar, hal nyanyian pula yang dibisingkan.



ILMU! Seorang guru mestilah seorang yang berilmu. Bukan hanya didalam bidangnya tetapi merangkumi hampir keseluruhan bidang. Ini disebabkan setiap patah yang diajarkan berkait rapat dengan seluruh kehidupan. Apatah lagi belajar agama, ia bermaksud belajar mengenai kehidupan. Jadi ilmu perlu dipertingkatkan setiap masa.



Imam Al-Baidhawi ada menyebut ;” pendidikan itu adalah menyampaikan sesuatu secara peringkat berperingkat” dan itulah yang cuba dipraktikkan. Mengajar mengikut peringkat pelajar. Menjawab juga mengikut peringkat pelajar. Semuanya tertumpu kepada pelajar. Mengikut kemampuan dan keselesaan mereka untuk belajar. Semua untuk pelajar.



Dan demikianlah, penyeliaan pensyarah, penyeliaan guru pembimbing menjadi kurang penting lagi (masih juga diberi perhatian). Perkara terpenting adalah pelajar, penghayatan dan nilai yang perlu diterapkan kepada mereka.

********



Sejujurnya ana sedih menerima keputusan semester ini, kerana sepanjang 5 semester berada di bumi UTM, pointer sebanyak 3.67 ini adalah yang terendah pernah ana perolehi. Jika ini berlaku di semester lain, tentunya ana sudah meraung kegeraman pada diri sendiri yang lalai dan leka dari pembelajaran. Akan tetapi kali ini ana menerima dengan terbuka, dan puas hati! Gembira dengan usaha yang telah dilakukan selama menjalani latihan mengajar ini. Cukup puas hati. Dan ana tahu banyak persediaan lagi yang diperlukan untuk menjadi guru terbaik. Pengalaman dan pengajaran yang ana perolehi setiap hari berhadapan dengan para pelajar jauh lebih bernilai lagi. Jadi, ana bersyukur dengan keputusan ini. Alhamdulillah..syukran ya ALLAH, atas hikmah yang Engkau berikan.



Buat sahabat-sahabat ana yang mendapat gred A, TAHNIAH, entum/na semua dapat PNG 4.00 semester ni. Bukan mudah menjadi guru yang baik, apatah lagi menjadi yang terbaik. Teruskan usaha menjadi yang terbaik. Syabas!



*********

The task of excellent teacher is to stimulate “apparent ordinary” people

To unusual effort.

The tough problem is not in identifying winners ;

but it is in making winner out of an ordinary people

-K. Patricia Cross

0 sahabat/iah: